Namun peranan mereka amat penting dan boleh diibaratkan seperti seorang pengarah kepada sesebuah pameran yang diadakan tidak kira di dalam galeri lukisan mahupun di muzium.
Sedar atau tidak, kebanyakan kurator pameran-pameran penting di negara ini terdiri daripada golongan artis yang berpengaruh dalam pengkaryaan seni, pameran dan tulisan mereka seperti Redza Piyadasa, Sulaiman Esa, Syed Ahmad Jamal, Ismail Zain, Hasnul Jamal Saidon, Nirajan Rajah dan Wong Hoy Cheong.
Kurator bukan sahaja berpendidikan, malah mereka merupakan artis yang 'bijak' selain mampu membincangkan pengaruh sejarah seni, idea, konsep, teori, estetik dan falsafah dalam pengkaryaan mereka secara khusus termasuk dalam praktis seni.
Sebagai kurator kontemporari, mereka bukan sahaja mengenal pasti dan memperkenalkan pendekatan baru dalam pengkuratoran, malah mereka juga bertindak serba boleh sebagai seorang pengkritik dan pentadbir seni dalam sistem dunia seni (artis, kurator, pedagang seni dan kolektor).
Pengkuratoran yang dilakukan oleh para kurator mengambil kira daripada aspek pengarahan artistik.
Dalam hal ini artis sebagai kurator lebih memahami apa yang hendak disampaikan kepada khalayak terutamanya daripada aspek pendekatan dan rekaan persembahan pameran serta perancangan untuk mencapai matlamat utama sesebuah pameran itu diadakan.
Kurator perlu kreatif
Antara artis yang juga salah seorang kurator tempatan, Profesor Madya Jailani Abu Hassan, yang boleh diibaratkan sebagai seorang pembina, pemelihara, pengurus dan pengusaha bertanggungjawab ke atas koleksi dipamerkan.
Beliau yang juga lebih dikenali sebagai salah seorang seniman kontemporari dari Malaysia berkata, pengarahan yang menarik membawa kepada penceritaan yang menarik perhatian penonton.
"Kurator seperti juga pengarah filem atau lebih tepat lagi sebagai pengarah pameran. Malah dalam melihat potensi kreativiti sesebuah pameran, seolah-olah menjadi trend semasa di mana peranan seorang kurator amat penting.
"Kebanyakan pihak penganjur pastinya menjemput artis sebagai pengarah seni atau kurator bebas bagi mengkuratorkan pameran tersebut.
"Selain itu, reputasi yang dicipta oleh artis sebagai kurator dengan pembinaan persembahan pameran yang luar biasa dan idea yang menarik pasti menjadi perhatian ramai pengunjung untuk datang melihat," kata Jailani.
Menurutnya, pendekatan artis sebagai kurator agak berbeza kerana dari segi kreativiti, kurator datang dengan idea terlebih dahulu sebelum mencari artis-artis yang sesuai dengan idea beliau.
"Kurator perlu meneroka sesuatu yang belum pernah dilihat oleh sesiapa dari segi rekaan artistik dan susun atur dalam sesebuah pameran.
"Kalau boleh biarlah pengunjung galeri atau muzium berasa seolah-olah masuk ke dunia baru dengan imejan aneh ciptaan artis.
"Dengan kata lain apabila ke galeri, pengunjung bukan lagi berada dalam kehidupan biasa sebaliknya seperti berada di dunia lain yang tidak boleh diucapkan dengan kata-kata," jelas Jailani.
Beliau berkata, untuk menjayakan sesebuah pameran, kurator perlu kenali artis itu dengan lebih dekat.
Ini kerana boleh dikatakan artis sebagai kurator bertindak sebagai 'saintis sosial' dan penghubung antara dunia visual dengan makna, visi atau manifesto tertentu.
"Apabila kurator itu kenal artis tersebut, sudah tentu memudahkan mereka untuk bekerjasama. Ada yang menjadi malah ada juga yang tidak berjaya.
"Bagi saya yang tidak menjadi itu bukan gagal tetapi itulah perjalanan mereka.
"Sebab itu, kurator perlu mempunyai pengetahuan mengenai kesenian dan lebih baik ia dipilih dari kalangan artis sendiri," ujar Jailani.
Kebolehan memproses bentuk diperlukan pada seseorang kurator kerana setiap daripada proses penghasilan karya seni itu merupakan ilmu yang boleh dikongsi bersama.
"Seni ini ada pelbagai jenis dan dari proses penghasilan sesebuah karya sehingga karya itu siap, ia boleh dipanggil sebagai bahan seni.
"Macam kita belajar, 30 peratus daripada apa yang kita pelajari sudah tentu merupakan proses teori, manakala 70 peratus pula proses praktikal.
"Tanpa proses yang baik, tidak akan ada karya yang bagus. Bagi saya, seorang seniman yang baik menghasilkan karya perlu berkongsi dengan peminat mereka mengenai proses pembikinan," kata Jailani.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: