Boost Juice Bars luaskan francais

Rantaian runcit antarabangsa berpangkalan di Australia yang khusus menyajikan minuman daripada buah-buahan, Boost Juice Bars menyasarkan membuka 15 cawangan baru tahun ini sebagai tambahan kepada 13 cawangan sedia ada di Malaysia.

Pengarah Urusan Malaysia dan Singapuranya, Dr Soraya Rahim Ismail, berkata, perniagaan itu dibawa ke Malaysia oleh pemilik francais tunggalnya, Vitality Boost Sdn Bhd, pada 2009 dengan pembukaan kedai pertama di Suria KLCC.

Menurutnya, setiap pembukaan cawa­ngan baru menggunakan pelaburan antara RM150,000 dengan RM350,000, bergantung kepada saiz dan lokasi.

“Kami sedang mempertimbang dengan serius untuk membuka beberapa cawangan utama di Sabah dan Sarawak tahun ini selepas mula menawarkan peluang francais.

“Boost Juice Bars pertama yang difrancais akan dibuka di Ikano, Damansara, yang dijadualkan selepas Tahun Baru Cina,” katanya. Beliau berkata, syarikat akan lebih fokus de­ngan sesebuah cawangan dan tidak berhasrat meluaskan rangkaian secara agresif, kemudian terpaksa mendengar rungutan daripada pelanggan tentang kualiti produk.

Soraya berkata, pengguna Malaysia perlu lebih sedar tentang pentingnya gaya hidup dan makanan sihat.

“Dengan kadar kegemukan yang tinggi di sini (Malaysia), saya rasa sudah tiba masanya rakyat Malaysia menjadikan buah-buahan sebagai snek yang berkhasiat,” katanya.