BAGI kebanyakan pengusaha hotel atau resort, pelaksanaan operasi perniagaan mereka lebih banyak difokuskan kepada kawasan-kawasan utama pelancongan.
Ia merangkumi tempat-tempat seperti tepi pantai, kawasan pusat bandar dan di pulau-pulau peranginan.
Pemilihan kawasan seumpama itu biasanya akan memberi jaminan bahawa bisnes mereka boleh dapat dijalankan sepanjang tahun kerana ia pasti dikunjungi oleh para pelancong dari dalam dan luar negara.
Berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh Suzielyn Dimie, 18, dia memilih untuk mendirikan resort di kawasan pedalaman berbukit-bukau di daerah Kimanis, Sabah.
Hotel yang didaftarkan atas nama Dimie Pedalaman Resort itu secara spesifiknya terletak di Jalan Batu 16 yang merupakan lokasi laluan utama antara Kota Kinabalu dengan kawasan perkampungan di sekitar Keningau, Tambunan dan Kimanis.
Menurutnya, selain bilik penginapan, resort itu turut tersedia dengan kemudahan restoran untuk membolehkan sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu singgah menjamu selera.
"Perniagaan ini sebenarnya bermula dengan gerai minuman yang dibina oleh ayah saya pada tahun 1999.
"Sehingga pada tahun 2003, ayah berminat mencuba perniagaan resort memandangkan kawasan kedai ini sangat strategik selain mempunyai pemandangan yang menarik,'' katanya ketika ditemui di resortnya di Kimanis, Sabah baru-baru ini.
Berkongsi lebih lanjut, Suzielyn memberitahu, dia bercita-cita untuk mewujudkan cawangan kedua bagi Dimie Pedalaman Resort.
Namun, disebabkan kekangan dana, dia terpaksa melupakan seketika hasrat itu dengan memberi fokus kepada perniagaan sedia ada.
Namun, berkat usaha keras dan usaha bersama keluarganya, dia kini sedang dalam fasa menggerakkan operasi pembinaan cawangan resort kedua di daerah Kundasang, Sabah.
"Projek pecah tanah baru sahaja dilakukan beberapa minggu lalu. Proses pembinaannya dijangka mengambil masa lebih kurang setahun.
"Ini merupakan satu permulaan yang baik untuk memberi semangat kepada saya dan keluarga terus memperkembangkan perniagaan ini ke cawangan-cawangan baru,'' katanya.
Selain bangunan, Suzielyn turut mengusahakan beberapa jenis tanaman tanah tinggi secara kecil-kecilan di kawasan resort.
Ia termasuk kobis, epal, strawberi, anggur dan pelbagai jenis sayur-sayuran.
"Hasil tuaian tanaman-tanaman ini akan digunakan untuk keperluan di restoran kami. Ini secara tidak langsung akan menjimatkan kos.
"Kita juga ada memelihara beberapa jenis ikan air tawar di kawasan berhampiran. Selain mencantikkan pemandangan, ikan-ikan ini juga boleh dijadikan sumber makanan,'' katanya.
Pada masa akan datang, Suzielyn bercadang untuk membina kawasan rekreasi di sekitar resort dalam usaha menambah lebih banyak kemudahan.
Maklumat lanjut mengenai resortnya, sila hubungi talian 019-5317775 atau 019-8096245.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: