CASABLANCA, Maghribi 15 Jan. - Kebiasaannya hotel lima bintang menjadi pilihan para pelancong asing kerana dianggap lebih selesa selain menyediakan pelbagai fasiliti yang diperlukan.
Terdapat beberapa hotel lima bintang di bandar raya ini, tetapi yang menarik perhatian penulis ialah sebuah hotel yang agak eksklusif kerana mengekalkan ciri-ciri seni bina tradisionalnya.
Melangkah di pintu masuk Moroccan House - Hotel Casablanca ketika berkunjung ke Maghribi baru-baru ini, penulis berasa terpegun melihat hiasan dalaman dan struktur seni binanya yang begitu cantik.
Keseluruhanan hiasan dalaman termasuk perabot, lampu, tingkap, dinding, permaidani, pintu malahan katil sekali pun, semuanya mempunyai identiti dan ciri-ciri struktur seni bina tulen tempatan.
Konsep pembinaan hotel ini seperti dalam taman atau dalam bahasa Arabnya iaitu 'riad' dipercayai gabungan hasil seni bina silam pada abad ke-11.
Tidak hairanlah juga, jika anda memasuki bilik di hotel ini akan terasa seolah-olah berada dalam bilik pengantin yang dihiasi indah bagaikan berada dalam dunia fantasi.
Katil besi yang dihiasi dengan tirai kain langsir corak beropol-ropol dengan sulaman bunga begitu mempersonakan dan sudah pasti anda tidur nyenyak dibuai mimpi indah.
Inilah keunikannya dan tidak hairan ia menjadi pilihan pelancong yang mahukan satu kelainan dan menikmati keindahan semulajadi ketika berada di negara jajahan Perancis ini.
Seorang petugas di kaunter yang hanya mahu dikenali sebagai Khalil, 27, memberitahu, hotel itu mula beroperasi pada Februari 2011. Hotel setinggi 10 tingkat ini mampu menampung kira-kira 110 tetamu pada satu-satu masa.
Hotel bertaraf tiga bintang ini menyediakan 40 bilik standard untuk seorang, dua orang, tiga orang dan empat orang serta lima bilik jenis suit.
"Moroccan House menjadi pilihan pelancong kerana mereka suka melihat seni hiasannya dan makanan yang disediakan. Lagi pun kadar bayaran sewa biliknya tidaklah begitu mahal.
"Walaupun ia baru dibuka, sambutan yang diterima begitu menggalakkan, terutama pada hujung minggu dan kebanyakannya ialah pelancong dari luar negara," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kadar sewaan bagi bilik standard untuk seorang ialah 545 dirham (RM197) semalam, dua orang, 664 dirham (RM240), tiga orang, 839 dirham (RM303) dan empat orang, 958 dirham (RM346).
Bilik suit untuk seorang pula dikenakan bayaran 857 dirham (RM310), dua orang, 1,064 dirham (RM384), tiga orang, 1,264 dirham (RM457) dan empat orang, 1,578 dirham (RM570).
Apa yang menjadi istimewanya hotel ini, para pelanggan boleh membuat pilihan warna bilik yang mereka minati iaitu biru, kuning, hijau dan merah jambu.
Pelanggan hotel ini juga disajikan dengan lebih 30 jenis pelbagai makanan tradisional untuk sarapan di tingkat satu dalam suasana yang begitu nyaman. Moroccan House - Hotel ini juga ada cawangannya di Marrakech dan Chefchaouen.
Mungkinkah sebuah hotel yang mempunyai ciri-ciri seni bina tradisional Melayu juga perlu dibina di Malaysia sebagai satu tarikan kepada para pelancong luar negara?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: