Friday, January 20, 2012

Asma definisi baharu Wanita Pertama Syria



SEBUAH majalah terkenal Perancis, Paris Match menggelarnya, ‘cahaya yang menerangi negara yang penuh dengan zon bayang-bayang’. Majalah Elle pula menyatakan dia seorang wanita bergaya yang mewarnai dunia politik.

Malah, akhbar The Sun juga tidak mahu ketinggalan apabila mengeluarkan artikel, Si British seksi yang akan membawa Syria keluar daripada perang dingin.

Begitulah pesona, Asma Fawaz Akhras, 36, wanita pertama Syria yang sering mendapat liputan luas media tempatan dan antarabangsa berikutan penglibatan aktifnya dalam kerja-kerja kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan di samping menggalakkan generasi muda memainkan peranan utama dalam masyarakat negara itu.

Anak diplomat

Menyoroti sejarah hidupnya, Asma dilahir dan dibesarkan di Acton, barat London. Anak kepada bekas diplomat dan kardiologi di Syrian Harley Street, Asma dibesarkan dalam persekitaran sekular Muslim dan bertutur dalam bahasa Arab ketika di rumah.

Dia mendapat pendidikan awalnya di Church of England di Ealing dan sebuah sekolah perempuan, Queen College, Harley Street.

“Saya rasa orang tidak memanggilnya Asma, dia lebih dikenali sebagi Emma,” kata seorang rakan lamanya.

“Dia langsung tidak nampak seperti seorang wanita Islam, tidak seperti segelintir mereka yang berpakaian tradisional dan berhijab.”

Rakannya menambah, Asma seorang yang kelakar, baik hati dan peramah serta jarang menimbulkan sebarang masalah di sekolah.


ASMA membuktikan cinta sejatinya kepada Bashar apabila masih setia bersama pemimpin itu biar pun sedang berdepan dengan pemberontakan rakyat.


“Bagaimanapun, hatinya agak keras dan dia tidak suka sekiranya dimarahi gurunya,” kata rakannya itu.

Selepas menamatkan A-Level, Aswa kemudian menyambung pengajiannya di King’s College London dalam bidang Sains Komputer dan diploma dalam Kesusasteraan Perancis.

Dia berjaya menamatkan sarjananya dalam kelas pertama dan selepas enam bulan mengembara, beliau menyertai Bank Deutsche sebagai seorang penganalisis.

Kemudiannya dia berpindah ke bank, JP Morgan dan bekerja di Paris dan New York serta London.

Dalam satu percutian bersama keluarganya di Syria, beliau kebetulan bertemu Bashar.

Bashar ketika itu sedang menyambung pengajian dalam bidang optomologi di London tetapi, terpaksa pulang semula ke Syria selepas abang sulungnya Basil meninggal dalam kemalangan jalan raya.

Asma dikatakan mula berjumpa Bashar secara rahsia dan berhenti daripada JP Morgan sebulan sebelum perkahwinannya tanpa dapat memberikan sebarang alasan yang kukuh.

Dalam satu temu ramah kepada majalah America Vogue, Asma berkata, majikannya seakan-akan tidak percaya dia mahu melepaskan jawatan itu, lebih-lebih lagi selepas kejayaannya menutup satu urus niaga utama dan hanya dua bulan sebelum pembayaran bonusnya.

Asma kemudiannya berkahwin dengan Bashar, lima bulan selepas beliau dilantik menjadi presiden, menggantikan bapanya, Hafez al-Assad yang meninggal dunia pada tahun 2000.

Pasangan itu dikurniakan tiga orang cahaya mata. Syria tidak pernah mempunyai wanita pertama. Balu Hafez, Anisa Makhlouf sendiri jarang muncul di khalayak ramai sepanjang 30 tahun pemerintahannya, malah nama dan gambarnya juga tidak pernah kelihatan di dada akhbar tempatan.

Wanita Pertama moden


SELEPAS hampir 10 bulan menghilangkan diri, Asma muncul di Damsyik bersama anak mereka, Zein (kiri) dan Karim ketika Bashar memberikan ucapan kepada penyokongnya.


Bagaimanapun, Asma berjaya mengubah persepsi itu. Semuanya bermula apabila wajahnya berpakaian skirt sehingga ke paras lutut bersama suaminya dirakamkan buat pertama kalinya ketika menyambut kunjungan hormat Presiden Bulgaria, Petar Stoyanov ke Damsyik pada 2001.

Sejak itu, wanita tersebut terus mendapat tumpuan termasuk gambarnya di sebelah Pope John Paul II yang melakukan kunjungan hormat di Damsyik.

Statusnya sebagai wanita pertama juga membolehkan Asma digelar ikon fesyen dalam dunia politik. Beliau yang begitu menggilai produk-produk jenama Chanel dilaporkan sering dibandingkan dengan Puteri Rania dari Jordan dan wanita pertama Perancis, Carla Bruni.

Tinggi, bergaya dan berkarisma, imejnya sering menghiasi majalah dan akhbar tempatan dan antarabangsa.

Menggemari kasut tinggi ciptaan pereka, Christian Louboutin, Asma mencipta pesonanya yang tersendiri.

Seorang wartawan asing, yang pernah bekerja dengan Asma selama setahun di Damsyik, menggelarnya seorang wanita yang luar biasa, sangat menyinar dan kehadirannya di samping suaminya dianggap bernilai dalam memodenkan rejim itu.

Cara dia berpakaian, bertutur dan membawa dirinya seperti seorang wanita Inggeris. Apa yang lebih menarik, produk dari Acton itu memegang kunci kepada masa hadapan Syria.

Pasangan harapan Syria

Rakyat meletakkan harapan tinggi kepada kedua-duanya, seorang pakar bedah mata dan isterinya bijaksana untuk mengubah politik negara itu kepada era baharu.

Namun selepas hampir satu dekad, semua harapan itu terkubur, lebih-lebih lagi ketika Syria terjebak dalam krisis yang turut melanda seluruh benua Arab pada Mac tahun lalu.

Sejak itu, tiada berita mengenai Asma. Tidak jelas di mana beliau berada sepanjang konflik berdarah yang mengorbankan lebih 3,500 nyawa itu.

Terdapat khabar angin menyatakan Asma telah melarikan diri bersama tiga orang anaknya di sebuah lokasi rahsia di London.

Bagaimanapun, teka-teki kehilangannya terjawab pada 11 Januari lalu, apabila Asma dilihat bersama suaminya yang berucap di hadapan penyokong-penyokong setia rejim itu di Damsyik.

Gambar wanita itu bersama tiga anaknya, menjadi penghias muka depan beberapa akhbar berbahasa Arab dan Inggeris.

“Gambar itu menunjukkan dia berdiri di belakang suaminya, membuktikan dia dan Bashar adalah sama sahaja,” kata Andrew Tabler, seorang pakar politik Syria.

“Secara jelas, Asma merupakan sebahagian daripada rejim.”

Kemunculan pertamanya itu juga mengundang pelbagai kritikan pedas.

“Asma dan anak-anaknya gembira dengan tindak-tanduk diktator Bashar,” komen seseorang di sebuah laman Twitter.

Bagaimanapun, bekas kakitangan bank itu berterusan menarik kekaguman penyokong rejim Bashar.


BASHAR dan Asma bersama dua daripada cahaya mata mereka iaitu Zein (kiri) dan Hafez.


“Anda layak sebagai wanita pertama seluruh dunia,” komen di sebuah laman sosial Facebook yang merujuk kepada wanita berambut perang itu.

Pada tahun 2009, semasa di temu ramah CNN, Asma menyelar serangan Israel di Semenanjung Gaza dan menyifatkan perbuatan itu tidak bertamadun. Sebagai ibu dan manusia beliau menyeru, agar serangan itu dihentikan segera.

“Sekarang ialah abad ke-21. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku. Agak malang ia tetap berlaku,” katanya dalam nada tegas. Kini semua kata-kata itu menyerang balik dirinya.

“Berhenti menjadi hipokrit! Kamu telah menyembelih rakyat sendiri!” komen seseorang di laman YouTube yang memaparkan wawancara itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: