Friday, January 27, 2012

Aroma menu Arab


Abdulqader Abdulelah Ahmed Bahamid bersama sajian istimewa nasi mandy di Restoran Alsaeedah.


SATU ketika dahulu, kehadiran nasi mandy yang menjengah restoran-restoran sekitar Lembah Klang mungkin hanya dinikmati segelintir masyarakat yang ingin merasai keenakan menu tersebut.

Tetapi hari ini nasi mandi bukan sahaja merupakan menu pilihan masyarakat setempat malah keenakannya menjadi sebutan ramai.

Dimasak dengan menggunakan rempah ratus asli yang diimport dari negara Arab, tidak dinafikan nasi mandy bertambah sedap apabila disertakan sekali dengan lauk pilihan sama ada ayam mahupun kambing.

Yang pasti, hari ini, sekiranya anda ingin menikmati keenakan nasi mandy, ia sudah boleh didapati di mana-mana restoran bertemakan timur tengah yang semakin banyak bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Bagi mereka yang tinggal di sekitar kawasan Seri Kembangan, anda bolehlah mengunjungi Restoran Alsaeedah yang terletak di No. 37-1, Jalan SP 2/1, Serdang Perdana.

Yang pasti, apa jua menu yang ditawarkan di sini memang membangkitkan selera.

Pemilik restoran tersebut, Abdulqader Abdulelah Ahmed Bahamid berkata, hidangan yang menjadi menu wajib di restorannya sudah pasti nasi mandy dan juga roti Arab.

Selain menggunakan kepakaran tukang masak dari Yaman dan juga Pakistan, penggunaan rempah ratus serta herba juga diimport sepenuhnya dari negara Arab dalam usaha menjaga keaslian rasanya.

"Selain menggunakan bahan-bahan asli dari negara Arab, kami juga mengekalkan cara memasak setiap menu yang disediakan di sini.

"Oleh yang demikian, Insya-Allah para pelanggan dapat merasai keenakan menu yang tidak lari daripada rasa sebenarnya.

"Di sini juga kami cuba sedaya upaya menghidangkan masakan terbaik Arab buat penduduk tempatan," ujarnya ketika ditemui di premisnya baru-baru ini.

Memulakan operasi sekitar November tahun lalu, restoran tersebut mampu memuatkan lebih 100 pengunjung pada satu-satu masa.

Walaupun restoran tersebut baru sahaja beroperasi, tetapi disebabkan mendapat sambutan menggalakkan terhadap menu Arab, ia mendorong Abdulqader menonjolkan pelbagai hidangan baru dan hari ini para pengunjung boleh memilih lebih daripada 70 hidangan yang disediakan.

Dibuka 24 jam setiap hari, Restoran Alsaeedah turut menyediakan hidangan secara bufet pada setiap hari Jumaat serta musim perayaan.

Yang pasti, setiap hidangan yang disajikan enak dimakan panas-panas kerana aromanya akan lebih terasa dan menggamit selera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: