ENGGAN KENANG KISAH LALU...Noni tidak mahu dikaitkan mempunyai hubungan dengan suami orang.
BERBAKAT...Noni terima pelbagai tawaran lakonan.
GARA-GARA dikaitkan sebagai punca perceraian dramatis Nasriah Ngasri (Anne) dan bekas suaminya, Abdul Wafi Hassan (Wafi), nama bekas bintang Akademi Fantasia 5, Nonny Nadirah Zainuddin, 26, atau Noni pernah tercalar.
Lebih mengejutkan, ada segelintir pihak mula membuat prasangka buruk terhadapnya dan menganggap dirinya perosak rumah tangga orang.
Biarpun menolak sekeras-kerasnya dakwaan itu Noni menganggap isu berkenaan memberi pengajaran cukup berguna kepadanya.
Dia enggan lagi terjebak dengan perkara yang membinasakan kerjaya. Pun begitu gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini akui pernah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Wafi.
Begitupun, SMS itu cuma dianggap sebagai komunikasi persahabatan sesama rakan saja. Tidak terlintas langsung di hati Noni untuk menjalinkan hubungan dengan suami orang, apa lagi meruntuhkan mahligai rakan sendiri.
"Saya tak mahu lagi mengenangkan kisah lalu. Memang isu ini sedikit sebanyak menjejaskan reputasi saya.
"Ramai yang mula bertanya mengenai hubungan saya dengan Wafi, bekas suami Anne.
"Begitupun jawapan saya tetap sama memang kami tidak pernah ada apa-apa hubungan istimewa.
"Saya bersyukur kerana ibu dan keluarga saya mengetahui perangai saya. Memang ada yang membuat tuduhan macam-macam bagaimanapun saya tetap menafikannya.
"Tidak cukup dengan itu ada yang menuduh saya kaki mabuk dan seksi. Saya berani bersumpah sebab saya tak pernah teguk arak!
"Saya sendiri sudah ada teman lelaki dan kami sudah berkenalan lebih setahun.
"Malah, teman lelaki saya juga memahami dan tahu mengenai situasi yang berlaku. Kedua-dua belah pihak keluarga sudah mengetahui mengenai hubungan kami," katanya kepada Rap.
Noni yang baru selesai menjalani penggambaran untuk program majalah, Aspirasi Sabah berharap cerita berkenaan akan hilang pada masa hadapan.
Dia lebih suka menumpukan fokus kepada tugas dan menerima banyak tawaran berlakon dan mengacara. Terbaru, Noni membintangi drama bersiri Bujang Sepah yang ke udara di Astro Ria.
Selain itu, pengalaman pertamanya sebagai pengacara menerusi program Aspirasi Sabah turut membawa sinar positif buat dirinya.
Di samping mempromosikan lagu tradisi, program berkenaan turut mengetengahkan kehidupan pelbagai kaum etnik di Sabah. Secara tidak langsung, ia memberi ilmu dan pengetahuan berguna kepada penonton. Berbicara mengenai karier nyanyian, gadis manis yang pernah tampil bersama single pertama, Pesona, sekitar April tahun lalu menerima banyak tawaran lakonan drama TV. Noni tetap merancang untuk tampil bersama single kedua yang belum lagi berjudul.
"Sebenarnya sambutan terhadap lagu single pertama saya dulu sekadar OK. Mungkin promosi yang dijalankan kurang berkesan dan lagu berkenaan tidak mendapat tempat yang sewajarnya di kalangan peminat.
"Selepas keluar daripada AF5, saya pernah menyertai syarikat pengurusan F-Tersix Records sehingga Jun tahun lalu.
"Begitupun disebabkan beberapa perkara, saya lebih selesa menguruskan kerjaya sendiri. Saya akui berdepan kesukaran sedikit soal pengurusan namun saya bersyukur kerana pengalaman lalu banyak mengajar saya hal pengurusan," katanya.
Sepanjang empat tahun bergelar anak seni pelbagai pengalaman pahit manis dilalui Noni.
Dia akui tidak boleh bergantung kepada peluang berlakon dan menyanyi semata-mata.
Oleh itu, dia bersedia membuka syarikat pengurusan sendiri berkaitan perniagaan. Sebagai percubaan Noni pernah mengambil tempahan untuk makanan berasaskan rumpai laut.
Menurut Noni, perniagaan berkenaan walaupun dijalankan secara suka-suka, dia menerima permintaan menggalakkan daripada rakan-rakan.
"Pada mulanya saya hanya buat ini secara suka-suka, namun selepas ramai orang tahu, saya mula tidak menang tangan untuk menerima tempahan.
"Memang saya pernah merancang untuk menjadikan perniagaan ini secara komersial. Begitupun disebabkan sibuk dengan aktiviti seni, ia membuatkan hasrat saya untuk memperkembangkan perniagaan ini terbantut," katanya.
>PROFIL
NAMA PENUH: Nonny Nadirah Zainuddin
NAMA KOMERSIAL: Noni
TARIKH LAHIR: 21 Julai 1989
TEMPAT LAHIR: Kota Kinabalu, Sabah
ADIK-BERADIK: Anak kelima daripada tujuh beradik
PENCAPAIAN: 12 finalis Akademi Fantasia 5
KARIER: Pelakon, pengacara dan penyanyi
DRAMA: Pria, Papaku Rock, Cafe Akhil Hayy, Band Orang Buta, Aduhai Jiranku, Kau & Aku, Bujang Sepah, 3 Dara
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: