![]() |
| KEvin Sim (tiga dari kiri) bersama Chef Wan (dua dari kanan) melihat ais kacang gergasi semasa pelancaran Mountain of Food di Genting Highlands, baru-baru ini. |
KOTA Keriangan, Genting Highlands yang cukup dikenali sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia kini mencipta satu lagi sejarah mengagumkan.
Sempena tahun baru 2011, Resort World Genting melancarkan pameran juadah besar-besaran Mountain of Food bagi memperkenalkan pusat pelancongan itu sebagai syurga makanan.
Naib Presiden Eksekutif Resort World Genting, Kevin Sim berkata, pameran itu juga bagi menunjukkan usaha resort berkenaan dalam mempromosi ratusan juadah daripada kaum, bangsa dan negeri berbeza.
"Kami menganjurkan Mountain of Food sepanjang masa mulai 15 Januari lalu di lebih 100 restoran yang ada di seluruh Genting Highlands. Di resort ini sahaja kami mempromosikan kira-kira 200 sajian.
"Bermula daripada menu di kedai kopi atau kopitiam hingga masakan bertaraf mewah, Resort World Genting menyajikan makanan lazat yang pasti menyelerakan setiap pengunjung.
"Sejajar dengan namanya sebagai sebuah kota hiburan yang menyediakan keperluan dan kelengkapan terbaik, Mountain of Food pasti menambah tarikan dan kepuasan pengunjung ke Genting Highlands," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Mountain of Food di Genting Highlands, baru-baru ini.
Turut hadir, Chef Selebriti, Datuk Chef Wan, Naib Presiden Kanan Operasi Hotel, Edward Holloway, Naib Presiden Kanan Perhubungan Awam dan Komunikasinya, Datuk Anthony Yeo dan 200 tetamu istimewa.
Pada pelancaran itu, tetamu undangan menyaksikan penyediaan ais kacang gergasi yang dicampur ramuan dan perasa berwarna-warni serta lazat sebelum berpeluang menikmatinya.
Chef Wan pula berkata, Mountain of Food adalah sesuatu yang mengagumkan dan menjadikan waktu makan pengunjung adalah sesuatu yang menyeronokkan.
"Ia sudah pasti memberi kelainan kepada pengunjung yang dapat menikmati bermacam-macam juadah berbeza.
"Pameran ini amat mengagumkan dan berdasarkan perjalanan saya sebagai seorang chef selama bertahun-tahun, saya secara ikhlas sangat menyambut baik usaha ini.
"Kunci kepada kejayaan ini adalah kerjasama di antara kakitangan, bahagian operasi, peringkat penyeliaan dan proses kawalan kualiti," ujarnya.
Bagi permulaan Mountain of Food, resort berkenaan menawarkan Festival Makanan Penjaja Pulau Pinang mulai 15 Januari hingga 23 Januari di Coffee Terrace, Lobi Maxims Genting Hotel.
Restoran di bawah Resort World Genting seperti The Olive, Lao Di Fang, Pizza Factory, Hainan Express, Hou Mei dan First World Cafe pula akan menyediakan ratusan hidangan untuk waktu makan sepanjang pameran.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: