COMEL...penguin yang muncul dari laut berkumpul sebelum berbaris kembali ke sarang.
BEBERAPA kali saya tersasar susur keluar ke lebuh raya M1 dari pusat bandar Melbourne. Lebuh raya di sini dipanggil Freeway bermakna laluan bebas halangan manakala Highway pula merujuk kepada jalan raya biasa.
Untuk mendapat pandu arah betul selepas tersasar, GPS berulang kali menyatakan “We are calculating” untuk mengesan hala tuju pemanduan saya.
Tidak lama selepas itu saya memasuki Freeway M1 bertol, tetapi tidak ada plaza tol dibina sama ada untuk mengutip tol mahupun menyerahkan tiket transit.
Oleh kerana ia berkonsep laluan bebas halangan, pemanduan lancar tanpa berhenti di laluan masuk Freeway. Jadi bagaimana tol dikutip?Deretan kamera dipasang di atas laluan bermulanya sempadan Freeway akan mengambil gambar kereta berserta nombor pendaftaran yang melaluinya.
Bayaran tol boleh dibuat dalam tempoh 24 jam melalui Internet atau di pejabat pos dengan me�nyatakan nombor kereta dan waktu kita melaluinya.
Segala-galanya mudah dengan mereka memaksimumkan peng�gunaan Internet untuk urusan harian. Tidak timbul soal menipu kerana rakyat negara maju biasa�nya berfikiran matang.
Begitu juga apabila mengisi minyak di stesen minyak. Isi dulu bayar kemudian, tetapi saya yakin jika cara sedemikian diamalkan di Malaysia, tauke boleh muflis manakala tol tidak boleh dikutip kerana tahap disiplin masih rendah dan penipu masih berlegar dalam masyarakat.
Perjalanan melalui Freeway M1 lancar dengan had laju 100 kilometer sejam, tetapi saya nampak ramai juga pemandu tempatan memandu melebihi had.
Saya berhenti di tempat rehat di Freeway yang turut disediakan pusat maklumat pelanco�ngan dan membeli buah-buahan segar dari ladang.
Petugas pusat penerangan adalah sukarelawan sama ada warga emas atau suri rumah. Kami sempat berbual dengan mereka dan seorang menyatakan dia baru pulang dari Petaling Jaya.
Selepas dua jam pemanduan, kami sampai ke tempat penginapan Big4 di Geelong. Kedudukannya di tepi sungai dan tidak jauh dari penempatan penduduk.
Keesokannya kami berjalan di Water Front Geelong dan kebetulan di sini dipamerkan pelbagai kereta lama oleh pemilik sama ada untuk dijual atau sekadar mempamerkan kereta.
Dari Geelong, saya menuju Philip Island jauh ke selatan Victoria yang terkenal dengan Penguin Parade. Philip Island adalah sebuah pulau tetapi dihubungkan dengan jambatan.
Tempat ini menjadi destinasi pelancong menarik selain acara sirkit Formula Satu, kehidupan harian dan penempatan penduduk tempatan juga menarik untuk diketahui.
Bagaimanapun bila sampai di sini, pengunjung pasti ingin melihat perarakan penguin yang muncul dari laut. Oleh kerana penguin pasti muncul, bayaran masuk dikenakan untuk melihatnya.
Selepas membeli tiket, kami menunggu di tempat duduk di tepi pantai di Summerland Beach dalam kesejukan yang teramat sangat. Petugas di Phillip Island Nature Park Penguin Parade memaklumkan, penguin biasanya muncul jam 6.30 petang.
Apabila hari hampir gelap sekitar jam 6.30 petang, kami melihat penguin keluar dari laut, bermula dengan seekor demi seekor dan seterusnya dalam bilangan lebih banyak.
Penguin yang tiba awal menunggu rakan mereka sebelum berjalan dalam satu perbarisan ke sarang yang dijadikan kompleks melihat penguin.
Tidak lama selepas kumpulan pertama, beberapa kumpulan lain muncul yang mengambil masa sejam untuk kembali ke darat.
Sebaik perbarisan selesai, orang ramai bersurai dan di kiri kanan laluan pejalan kaki ke kompleks dapat dilihat penguin yang baru keluar dari laut. Kedai menjual cendera hati juga penuh dengan pengunjung membeli cendera hati penguin.
Keesokannya kami pergi ke Nobbies Boardwalk untuk melihat singa laut, tetapi di sini tidak dikenakan bayaran kerana pihak berkuasa tidak menjamin kemunculannya.
Selepas sejam di situ ia tidak muncul, namun melihat ombak besar menghempas batu hitam di pantai juga membuat kami terpegun.
Saya mengambil kesempatan memandu mengelilingi Philip Island sebelum meneruskan perjalanan ke Melbourne.
Dalam perjalanan, kami menggunakan kesempatan akhir untuk membeli-belah di DFO (Direct Factory Outlet). Pelbagai barangan berjenama dijual di sini dengan harga lebih murah berbanding pusat membeli-belah di Melbourne kerana barangan yang dijual di sini di luar musim.
Selesai membeli-belah, kami ke Fawkner untuk penginapan. Tempat ini saya pilih kerana tidak jauh dari Lapangan Terbang Tullamarine dan memudahkan kami berlepas menaiki kapal terbang awal pagi untuk ke Christchurch, New Zealand.
Saya pulangkan kereta di pusat penghantaran kereta sewa di lapangan terbang dengan minyak penuh dalam tangki. Begitulah amalan biasa di sini - ambil kereta dengan minyak penuh, dipulang�kan dalam keadaan sama juga. Sayangnya, amalan kejujuran seperti ini tiada di tempat sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: