SELALUNYA kalau kita menikmati sesebuah lagu, biasanya kita akan dihidangkan dengan lagu yang dinyanyikan secara solo atau duet. Agak jarang untuk kita mendengar lagu dinyanyikan melalui paduan suara sehingga tiga orang, melainkan ketika persembahan di acara-acara pentas sahaja.
Bagaimanapun kini satu pendekatan baru telah diambil dengan terhasilnya album yang berjudul 3 Suara. Album berkenaan yang telah dipasarkan baru-baru ini menggabungkan paduan suara tiga orang penyanyi.
Menariknya, tiga orang penyanyi yang terbabit dalam album berkenaan bukan calang-calang penyanyi. Pembikinannya dibuat dengan memilih penyanyi yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri seperti Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Sheila Amzah.
Pengarah Urusan Sony Music Entertaiment Malaysia Sdn. Bhd., Adrian Lim berkata, album 3 Suara mengandungi sembilan buah lagu yang dihasilkan oleh beberapa orang komposer seperti Kevin Chin, Irwan Simanjuntak dan Aylwin Santiago.
“Album yang telah dihasilkan ini berdasarkan kepada inspirasi sewaktu era kegemilangan lagu-lagu Melayu yang cukup popular sekitar tahun 80-an dahulu.
“Tentang keistimewaan album ini pula, tiada lagu yang dinyanyikan secara solo atau duet. Sebaliknya kesemua lagu dinyanyikan oleh ketiga-tiga penyanyi tersebut,” ujarnya pada sesi pradengar album tersebut.
Antara lagu-lagu yang terkandung di dalam album itu seperti Semua Isi Hatimu, Di Mana Di Mana, Hanya Satu, Mengenangmu,Teman, Tomorrow's Calling, It's A Beautiful Life dan Beribu Sesalan yang turut terdapat dalam versi akustik.
Menurut Adrian, selain menampilkan konsep tiga vokalis, album berkenaan juga menggabungkan beberapa elemen seperti balada, dangdut dan disko yang cukup dikenali dalam muzik Melayu.
“Untuk edisi pertama, sebanyak tiga ribu unit akan dicetak dan kami juga turut merancang untuk menghasilkan video klip lagu-lagu dalam album tersebut sebagai cara memperkenalkannya ke luar negara,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pihak Sony Music juga kini sedang dalam merangka siri jelajah album berkenaan di seluruh negara sebagai salah satu langkah promosi yang akan dilakukan.
Reaksi peminat
Salah seorang penyanyi dalam album 3 Suara, Shila Amzah menyatakan bahawa dapat bergandingan dengan dua orang penyanyi yang lebih senior merupakan satu pengalaman yang cukup menarik.
Menurut Shila, dia berasa sangat gembira sepanjang proses rakaman berlangsung memandangkan tiada jurang antara mereka bertiga meskipun dia merupakan penyanyi yang paling muda.
“Sudah tentu saya tidak sabar menunggu reaksi daripada peminat. Pada saya, album ini cukup unik kerana ia adalah paduan suara kami bertiga yang diketahui memiliki gaya nyanyian tersendiri,” katanya.
Tambah Shila, dia mengharapkan agar kelahiran album itu juga menjadi pengubat rindu memandangkan kebanyakan lagu-lagunya agak jarang ke udara di stesen radio tempatan.
Sementara, bagi Jaclyn Victor pula, cabaran yang paling besar untuk menghasilkan album tentunya faktor masa memandangkan mereka bertiga sibuk dengan jadual masing-masing.
Menurutnya lagi, biarpun berdepan dengan cabaran tetapi dia akhirnya meluahkan rasa puas hati setelah siap dihasilkan dan sangat yakin bahawa ia akan mendapat sambutan yang baik.
“Apa yang lebih penting, kesemua lagu telah dinyanyikan oleh kami bertiga dan tiada dominasi antara satu sama lain. Sebab itu saya merasakan ia sebuah album yang cukup unik dan peminat tidak harus melepaskan peluang untuk mendapatkannya,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: