Sunday, January 16, 2011

Nenek Ana Raffali Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Ketika gembira meraikan kemenangan Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) minggu lalu, penyanyi Ana Raffali (gambar) dikejutkan dengan berita neneknya meninggal dunia, Sabtu.

Zaleha Ariffin meninggal dunia pada umur 79 tahun di Hospital Pakar Ampang dekat sini kerana sakit tua setelah menerima rawatan di hospital itu sejak 12 Januari lalu.

“Nenek tinggal bersama-sama kami sekeluarga di Kuala Lumpur. Dia sudah terlantar sakit sejak 10 tahun lalu dan tidak larat berjalan lagi beberapa tahun lalu.

“Saya berasa sedih apabila mengenangkan nenek selalu menghadiahkan duit apabila hari jadi saya semasa kecil-kecil dulu. Bagaimanapun, bapa saya nasihatkan supaya tidak pulang ke Kuala Lumpur dengan tergesa-gesa,” kata Ana yang sedang mengikuti program Santai@Langkawi Green Tourism Roadshow di Langkawi, Kedah mulai Jumaat hingga Ahad ini.

Jenazah neneknya dibawa ke Temerloh, Pahang sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di sana pada Ahad.

Ana bersama dua abang dan seorang adiknya yang turut serta dalam program itu dijangka akan pulang pada Ahad untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah neneknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: