Sunday, January 16, 2011

Majlis nikah Rebecca tiga hari


REBECCA tetap ada rahsia. Jumlah hantaran perkahwinannya tidak mahu didedahkan.


SETELAH tiga tahun menyulam cinta dan menyelami hati budi masing-masing, Rebecca Nur Al-Islam, 25, akhirnya selamat diijabkabulkan dengan seorang duda, Nor Azam Sulaiman, 43, pada malam kelmarin.

Majlis akad nikah Rebecca dan pasangannya itu disempurnakan oleh penolong pendaftar nikah cerai dan rujuk Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Klang, Ustaz Muhammad Ibrahim.

Rebecca menerima mas kahwin sebanyak RM333.33 serta 13 dulang hantaran berbalas 15 kepada pihak lelaki. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Sebuah rumah mewah bernilai lebih RM500,000 turut dihadiahkan kepada Rebecca seabgai tanda cinta Nor Azam kepada isterinya sekali gus menjadi mahligai baru mereka berdua selepas ini.

Majlis resepsi pasangan pengantin itu berlangsung selama tiga hari berturut-turut sejak majlis akad nikah.

Pasangan yang akan berbulan madu di London dan Paris pada 14 Februari ini turut mengadakan majlis resepsi di Hotel Flamingo, Ampang pada malam semalam sebelum diikuti acara di Restoran Berputar Menara Kuala Lumpur pada hari ini.


NOR AZAM tersenyum di sisi Rebecca yang kelihatan gembira pada hari pernikahannya di Hulu Klang kelmarin.


Nor Azam merupakan peguam dan mempunyai dua cahaya mata hasil perkahwinan sebelum ini manakala Rebecca pula menjaga seorang anak angkat, Nor Adam Daniel yang kini berusia empat tahun.

Adakah anda benar-benar bersedia untuk menjadi seorang isteri dan ibu kepada anak-anak Nor Azam?

REBECCA: Alhamdulillah saya kini sudah bersedia untuk menempuh kehidupan baru bergelar isteri dan juga ibu. Saya sememangnya sangat menyukai kanak-kanak. Ramai juga sudah mengetahui yang saya turut mempunyai anak angkat. Jadi, saya sudah biasa dengan kehidupan seorang ibu dan tidak mempunyai masalah dengan kedua-dua anak Nor Azam.

Apa tarikan utama Nor Azam?

Sikapnya yang penyayang dan begitu mengambil berat terhadap anak-anak membuatkan hati saya terpaut dan terbuka untuk menerima lamarannya. Saya begitu gembira dan terharu dipertemukan jodoh bersama dengannya.

Adakah sukar untuk Rebecca memikat hati anak-anak Nor Azam?

Nor Azam merupakan seorang bapa yang sangat lembut, susah marah dan sangat manjakan anak-anak. Macam saya pula, saya adalah seorang yang tegas. Alhamdulillah mereka sangat menghormati dan saya juga sangat menyayangi mereka.


BARU berkahwin tetapi Rebecca sekali gus menjadi ibu kepada dua anak suaminya, serta anak angkatnya sendiri, Nor Adam Daniel (duduk di tengah).


Adakah Rebecca akan meneruskan karier lakonan setelah memegang status isteri?

Saya tidak akan meninggalkan dunia lakonan kerana ia sudah begitu sebati dengan jiwa saya. Mungkin dari segi lakonan saya perlu memilih skrip yang bersesuaian dengan status saya.

Bagaimana dengan perancangan anak?

Kami tidak mempunyai perancangan atau meletakan beberapa sasaran. Kalau ada rezeki kami akan menerimanya sebagai penyeri keluarga kami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: