JIKA sebuah buku berada di depan mata kita, apakah yang dapat kita terangkan mengenainya? Lazimnya perkara pertama yang kita semak sudah pasti penulis atau pengarang buku tersebut.
Kemudian, barulah kita membaca sinopsis yang dicetak di bahagian belakang buku berkenaan. Jika berkenan, barulah kita akan mengambilnya untuk dibaca. Namun, jika ia tidak menepati cita rasa, tentunya buku itu akan ditinggalkan tanpa dibelek sepenuhnya.
Itu mungkin perkara yang pernah dilakukan oleh sebilangan besar masyarakat hari ini yang menganggap budaya buku sekadar melalui pembacaan sesebuah buku.
Hakikatnya, budaya buku bukan sekadar aktiviti membaca, bahkan ia mempunyai skop yang sangat luas.
Hal itu ditegaskan oleh penerbit merangkap pengacara program travelog Kembara Buku, Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar yang menjelajah ke empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Mesir dan Arab Saudi untuk merakam pelbagai kisah menarik di sebalik buku. Sebagai individu yang menjadikan lapangan buku sebagai tempat permainan, Sayed Munawar, 38, berkata istilah budaya buku sangat luas.
“Sebenarnya, budaya buku bukan sekadar membaca, sebaliknya ia melibatkan seluruh ekosistem perbukuan itu. Daripada penulis, penerbit, pencetak, pengedar, penjual dan juga pembeli, semuanya terlibat dan itu yang kami panggil budaya buku. Proses penggambaran Kembara Buku ini mengambil masa kira-kira lima bulan. Penggambaran di Arab Saudi bermula pada pertengahan bulan November hingga awal bulan Disember 2009.
Rakaman di Malaysia antara bulan Disember 2009 hingga Mac 2010 manakala rakaman di Mesir memakan masa selama 12 hari iaitu pada 4 hingga 15 Februari 2010. Akhir sekali rakaman di Indonesia dijalankan pada 1 hingga 9 Mac 2010.
Rakaman dalam bentuk audio visual itu dilaksanakan oleh krew penerbitan daripada Layar Consult Sdn. Bhd.
Ditanya mengenai relevan pemilihan empat buah negara tersebut, Sayed Munawar berkata, ketika rakaman diadakan, acara Pesta Buku Antarabangsa di negara-negara tersebut juga berlangsung.
“Tetapi untuk musim kedua kelak, dokumentari ini akan membawa penonton menjelajah pula ke Eropah dan negara Asia Pasifik yang lain.
“Namun, antara simbolik rakaman di Arab Saudi bertujuan untuk mengingati peristiwa penurunan wahyu pertama kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W di Gua Hira’ di Mekah sekali gus sebagai perintah daripada Allah kepada umat manusia untuk membaca menerusi turunnya lima ayah terawal dalam surah al-A’laq,” ungkap beliau
“Jika kita mengetahui apa-apa buku dan kita tahu apa yang berada di sebalik buku tersebut seperti kisah tentang penulisnya, ia akan menjadikan kita lebih teruja untuk mendapatkannya,” ujar Sayed Munawar yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Buku Malaysia dan Setiausaha Majlis Industri Buku Malaysia.
Tambah beliau, karya Laskar Pelangi tulisan Andrea Hirata dari Indonesia boleh dijadikan contoh untuk memberitahu masyarakat tentang cerita unik dan menarik di sebalik dunia buku.
Bongkar rahsia
Dalam program dokumentari Kembara Buku, Sayed Munawar berpeluang menemubual Andrea dan mengorek rahsia yang mungkin tidak diketahui oleh peminatnya.
“Bayangkan, Andrea bukan berlatarbelakang bidang sastera, tetapi seorang ahli ekonomi. Tetapi, Laskar Pelangi adalah novel sulung beliau. Penulisan kali pertama tanpa guru yang memberi tunjuk ajar.
“Namun, novel tersebut meletup dan menjadi fenomena hingga terjual melebihi 15 juta naskhah di seluruh dunia. Cerita beginilah yang kami ketengahkan dalam dokumentari ini,” jelasnya. Syed Munawar berpendapat, ibu bapa yang mahu memberi buku kepada anak-anak, mereka perlu menceritakan tentang kehebatan buku tersebut untuk menarik minat si anak.
“Contohnya buku Harry Potter karya J.K Rowling, apakah yang diketahui mengenainya? Kenapa penulisnya menukar nama menjadi lelaki? Di manakah dia mengarang cerita itu? Mengapakah dia menulis di kafe siber? Adakah orang tahu bahawa dia membawa anaknya sewaktu menulis? Adakah orang tahu bahawa manuskrip Harry Potter sebenarnya sudah berkali-kali dihantar untuk diterbitkan tetapi ditolak mentah-mentah? Tahukah kita Rowling adalah billionaire pertama di kalangan penulis buku? Sebelum ini tidak pernah ada penulis buku yang mampu bergelar jutawan. Itulah fenomena.
“Apabila cerita-cerita begini ditampilkan, masyarakat akan mempunyai perspektif baru tentang sesebuah buku tersebut,” ujar Sayed Munawar sambil memberitahu bahawa di Indonesia dan di Malaysia juga sudah ada penulis novel yang bergelar jutawan. Malah, penulis buku resipi di negara ini mampu memperoleh pendapatan RM17,000 sebulan hasil royalti buku yang terjual.
Salinan buku
Menceritakan pengalaman membuat rakaman dokumentari Kembara Buku di Mesir, pengacara segmen bual bicara Di Luar Lingkungan itu juga ghairah berkongsi maklumat tentang Perpustakaan Iskandariah atau Bibliothecca Alexandrina.
Dianggap sebagai perpustakaan paling canggih di dunia, Bibliothecca Alexandrina dilengkapi dengan planetarium, dua buah muzium, arkib negara, dewan pameran dan menjadi satu-satunya perpustakaan yang ada filharmonik.
“Mengikut catatan sejarah, pada zaman keagungan Mesir, semua kapal yang masuk berdagang ke Iskandariah yang membawa apa-apa buku, kerajaan Mesir akan mengambil buku itu. Salinan buku itu akan dibuat dan dipulangkan semula.
“Bayangkan kerajaan dahulu mempunyai inisiatif untuk membuat salinan secara manual dengan menulisnya semula satu persatu di atas permukaan kulit kayu.
“Situasi itu menunjukkan komitmen ilmu mereka sangat tinggi. Jadi apabila mengembara, kita beritahu orang tentang cerita sebegini atau istilahnya book trailers iaitu orang yang mengembara untuk mencari buku atau pemburu buku,” tuturnya.
Apa yang pasti, dalam setiap episod Kembara Buku, terdapat tiga cerita atau perkara yang akan dimuatkan. Ada kisah individu, acara dan institusi yang menyimpan koleksi buku.
Sementara itu, penulis buku tersohor di Malaysia, Rejab F.I atau nama sebenarnya Rejab Ismail yang turut ditemubual dalam program tersebut juga memuji usaha yang dilakukan pihak berkenaan dalam menerbitkan Kembara Buku.
Melalui penerbitan dokumentari sebegini, masyarakat akan lebih menghargai nilai sesebuah buku.
“Secara peribadi, saya gembira dengan inisiatif krew penerbitan Kembara Buku termasuk PNM yang sanggup menjadi penaja dalam usaha menggalakkan masyarakat memahami apa yang dimaksudkan dengan budaya buku.
“Sebagai penulis, saya juga rasa dihargai apabila mereka sudi menampilkan cerita atau dunia kami yang tidak seberapa ini,” kata Rejab atau lebih mesra dengan panggilan Pak Rejab sambil merendah diri.
Pengarah dokumentari terbabit, Abu Hassan Morad, turut berkongsi pengalaman menarik. Menurut Abu Hassan, antara cabaran yang dihadapi sewaktu proses rakaman berlangsung adalah masa yang diperlukan untuk menemubual tokoh-tokoh penulis.
“Mereka kadang-kadang mempunyai jadual yang sangat ketat. Justeru, kami perlu menyusun waktu dengan baik agar pertemuan dapat dijalankan.
“Kami juga berdepan cabaran di mana bahan atau maklumat terlalu banyak, tetapi bagi setiap episod hanya 30 minit diperuntukkan. Jadi, kami perlu memaparkan apa yang terbaik,” katanya.
Impak besar
Antara catatan menarik sepanjang kembara itu, krew rakaman berpeluang membawa masuk kamera ke dalam Masjid Nabawi di Madinah dan mengetahui bahawa di atas masjid itu terdapat sebuah perpustakaan yang dibuka kepada orang ramai.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar melahirkan harapan agar rancangan itu mampu memberi impak yang besar kepada masyarakat di Malaysia.
“Saya percaya, Kembara Buku dapat meningkatkan ilmu berkaitan perbukuan dan menghindari persepsi negatif di kalangan masyarakat bahawa buku itu sesuatu yang membosankan.
“Dengan pendekatan yang santai dan segar, dokumentari ini secara tidak langsung boleh memberi gambaran sebenar kepada rakyat Malaysia berkaitan budaya buku sama ada di dalam mahu pun di luar negara sekali gus melahirkan rakyat yang mampan dalam aspek intelektual,” katanya.
Program dokumentari Kembara Buku mula disiarkan pada 12 Disember lalu setiap hari Ahad pada pukul 2 petang di saluran RTM1. Disiarkan dalam 13 episod, dokumentari itu membawa penonton menyelami dunia buku daripada dimensi yang berbeza-beza.
Ia merupakan rancangan terbitan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Malaysia/Radio Televisyen Malaysia (RTM).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: