HANGUS...sebuah butik pengantin yang terbakar, semalam.
SIASAT...anggota bomba menjalankan siasatan di tempat kejadian.
KUALA LUMPUR: Angkara khianat. Empat butik pengantin di SS2, Petaling Jaya, tidak dapat menjalankan perniagaan masing-masing selepas tiga musnah dalam kebakaran manakala sebuah lagi dipecah masuk, sejak dua minggu lalu.
Difahamkan, semua butik berkenaan dipercayai dipecah masuk sebelum dibakar berdasarkan kesan pecah pada pintu premis.
Terbaru, sebuah lagi butik pengantin dua tingkat menerima nasib sama apabila musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam. Kebakaran kira-kira jam 5 pagi itu disedari orang ramai yang melalui kawasan berkenaan selepas melihat kepulan asap dari premis itu sebelum menghubungi bomba.
Pengurus Operasi butik berkenaan, Soo Soon, berkata dia menyedari butik itu terbakar selepas menerima panggilan telefon daripada seorang kakitangannya.
“Saya amat pelik dengan kejadian ini. Sebelum itu, premis berhampiran kami terbakar, tetapi hari ini premis kami pula.
“Anggaran kerugian mencecah RM500,000. Bagaimanapun, polis dan bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran itu,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, jurucakap bomba ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang orang awam yang menyaksikan kebakaran itu pada jam 5.30 pagi.
Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dikejarkan ke tempat kejadian dan api dipadamkan sepenuhnya 15 minit kemudian.
“Hanya tiga kebakaran dilaporkan dalam tempoh terdekat sejak 31 Disember lalu. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kejadian itu. “Kami masih mengesan suspek terbabit, namun setakat ini kami tidak menolak kemungkinan motif awal kejadian perbuatan khianat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: