Saturday, December 11, 2010

Zizan Nin Digugurkan, Permintaan Melampau


Teater Muzikal Tun Mahathir bakal dipentaskan kembali atas permintaan ramai. Pementasan semula ini menjadikan ia sebagai teater pertama di negara yang dipentaskan dalam tempoh yang singkat iaitu hanya tiga bulan.

Namun banyak pelakon digugurkan daripada pementasan ini. Antara nama besar yang tidak turut serta adalah Erra Fazira dan Zizan Nin. Menurut Siti Rohayah Attan selaku penerbit Teater Muzikal Tun Mahathir, pengguguran pelakon tidak menjejaskan sesi latihan walaupun mengakui kesuntukan masa sebelum tarikh tayangan pada bulan Januari tahun depan.

"Sebaik sahaja selesai pementasan yang lalu, saya utuskan surat kepada Tun Mahathir meminta kebenaran mementaskan semula teater ini dan tidak sampai tiga hari saya dapat jawapan yang positif. Kata Tun "saya tiada keberatan untuk dipentaskan semula dan kalau boleh saya mahu melihat sendiri teater tersebut".

"Dan untuk musim kedua Erra Fazira dan Zizan Nin tidak akan bersama kita. Banyak pelakon lama digugurkan kerana sifat diva yang mereka bawa semasa teater. Ini pengajaran kepada mereka yang tidak menghargai peluang yang diberi, dan kebanyakan mereka hanyalah watak sampingan namun mengalahkan artis ternama. Saya sifatkan orang begitu tidak layak menyelami semangat Tun Mahathir.

"Zizan pada mulanya bersetuju untuk berlakon dalam musim kedua, namun segalanya musnah selepas pengurus Zizan memutuskan untuk tidak bersetuju kerana bayaran yang diterima kurang memberansangkan.

"Memang terjadi dalam setiap produksi selalunya bayaran pertama akan lebih banyak kerana masa latihan panjang yang diperuntukkan. Musim kedua sepatutnya lebih mudah kerana masing-masing telah pun mengetahui perwatakan dan jalan cerita.

"Pengurus Zizan meminta harga yang tidak pernah terjadi dalam sejarah Istana Budaya, even Maya Karin tidak dapat harga tersebut untuk teater. Dan dia meminta royalti ke atas setiap barangan yang tertera gambar Zizan.

"Sungguh sayang kerana Zizan pelakon yang bagus namun pengurusnya menutup peluang untuk dia berkembang," ujarnya yang sedang mempertimbangkan Ady Putra menggantikan watak Tun Mahathir sewaktu remaja.

Mengulas ketiadaan Erra membawakan watak Tun Siti Hasmah, Rohayah menjelaskan kesukaran mendapatkan khidmat pelakon jelita itu berikutan dengan jadualnya yang padat. Beliau juga menolak dakwaan Erra menolak watak tersebut kerana tidak puas hati dengan watak yang diberi.

"Kami tiada masalah dengan Erra dan saya begitu kecewa dia tidak dapat bersama kerana komitmennya bersama program realiti nyanyian. Saya ada dengar gosip mengatakan Erra malu dengan watak tersebut. Jika benar kenapa tidak menolaknya awal-awal lagi sewaktu menerima skrip. Dia ada masa untuk menolak sebelum memalukan diri sendiri di atas pentas.

"Namun saya tak percaya gosip tersebut. Mungkin ada yang sengaja menyebarkannya untuk merenggangkan hubungan kami," jelasnya.

Tak Emosi Dengan Kritikan


Setiap individu mempunyai perspektif masing-masing terhadap sesuatu yang berlaku. Biarpun dikritik hebat terhadap perkembangan cerita Teater Muzikal Tun Mahathir yang lepas, Rohayah menerimanya dengan tenang.

"Saya tak emosi dan tak kisah dengan kritikan kerana semua orang layak memberi komen. Ada yang katakan kehebatan Tun tak terserlah dalam teater ini, namun bagi saya kehebatan Tun tak mungkin dapat dipentaskan kerana Tun adalah insan yang sangat istimewa.

"Tak mungkin kami dapat membina karektor hebat Tun dalam jangka masa yang singkat. Namun semua layak beri pendapat kerana Tun adalah milik semua," katanya.

Teater Muzikal Tun Mahathir
bakal dipentaskan semula pada 21 hingga 30 Januari 2011 di Panggung Sari Istana Budaya. Tiket berharga RM32, RM52, RM82, RM102, RM152 dan RM302 boleh diperoleh melalui www.ticket2u.biz.

Antara nama yang menjadi sebutan yang bakal menggantikan Erra Fazira adalah Vanidah Imran. Apa-apa pun kita nantikan sahaja waktu pementasan nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: