
KERJASAMA Universiti Wollongong, Australia dengan Kumpulan Pendidikan INTI di Malaysia bakal menjadi platform untuk perkembangan dunia pendidikan tinggi swasta di negara ini dalam melahirkan graduan bernilai tinggi dan menepati kehendak pasaran kerja.
Timbalan Naib Canselor Antarabangsanya, Profesor Joe F. Chicharo berkata, kerjasama INTI dan universiti itu dapat membantu melahirkan graduan Malaysia yang berkualiti serta mempunyai kepakaran tinggi dalam membantu membangunkan negara.
"Wollongong kini telah bekerjasama dengan Kolej Antarabangsa INTI di Malaysia dengan menawarkan beberapa kursus dan program Ijazah Sarjana Muda di enam cawangan kolej itu termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Kita juga akan menjangkakan lebih banyak lagi kursus program ijazah pertama ditawarkan pada masa hadapan," katanya selepas menerima kunjungan lawatan Bahagian Perhubungan Awam Kumpulan Pendidikan INTI dari Malaysia di universiti itu baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Pendidikan Transnasional, Dr. Bill Damachis; Dekan Eksekutif Perniagaan, Professor John Glynn; Pengarah Unit Sokongan Fakulti Antarabangsa, Robyn Phillips dan Pengarah Perhubungan Awam, Kumpulan Pendidikan INTI Malaysia, Koo Yi Lin.
Pada April lalu, satu memorandum persefahaman ( MoU ) telah dimeterai antara Laureate Malaysia dan Universiti Wollongong.
Laureate Malaysia telah diwakili Ketua Pengawai Eksekutifnya, Graham Doxey manakala Universiti Wollongong, Naib Canselornya, Professor Gerard.
Majlis MoU itu turut disaksikan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pendidikan Laureate, Douglas Becker.
MoU itu dimeterai bagi mewujudkan hubungan dan kerjasama yang lebih kukuh, teratur serta penting bagi pembinaan kapasiti di antara Malaysia-Australia terutama dalam dunia pendidikan.
Menurut Chicharol, Australia mengakui kebolehan Malaysia dan pelajarnya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi ( ICT ), kemahiran dan berhasrat untuk terus bekerjasama dengan INTI.
"Kursus-kursus yang ditawarkan nanti dilihat paling berpotensi memandangkan ia bidang yang semakin menepati kehendak pasaran pekerjaan di samping menggalakkan dan meningkatkan kerjasama penyelidikan antara INTI dan Wollongong.
"Kami juga berminat untuk menjalin kerjasama ijazah lanjutan, terutamanya program dua hala. Kami harap kerjasama ini memupuk dan mewujudkan peluang pendidikan tinggi yang akan menjadikannya setaraf dan setanding dengan institusi pengajian tinggi terbaik di dunia," katanya.
Sementara itu, Yi Lin berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan program pertukaran kursus, tenaga pengajar dan pelajar bagi kajian penyelidikan dan pembelajaran termasuk menyambung pengajian di peringkat tinggi di Universiti Wollongong.
"Kerjasama itu juga akan merangkumi pertukaran kakitangan akademik melalui bidang kajian dan hasil penemuan yang dibuat oleh kedua-dua pihak.
"Kerjasama yang telah terbentuk selama beberapa tahun ini diharapkan dapat diteruskan berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: