Monday, December 6, 2010

Mahasiswa lawan robot


Pasukan dari UTM yang muncul juara kategori terbuka Robogamez 2010, sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM3,000 beserta piala dan sijil penghargaan.


PERTANDINGAN Uniten Robogamez 2010 yang bertemakan Rising of The Silent Tower : Resist or Surrender II membuktikan penciptaan robot kini telah memasuki era inovasi yang semakin canggih dan berteknologi tinggi.

Pertempuran antara robot-robot yang membanjiri Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) menyaksikan robot ciptaan pelajar berentap untuk menguasai 'menara' yang dibina khas.

Setelah lima kali dianjurkan, penyertaan pertandingan tersebut telah meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun ini sahaja sebanyak 80 penyertaan telah diperolehi dari sekolah rendah, menengah termasuk Singapura serta institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datin Paduka Profesor Dr. Khatijah Mohd. Yusoff berharap inovasi di bidang teknologi yang dipamerkan sepanjang pertandingan tersebut dapat memupuk minat lebih ramai generasi muda untuk menceburkan diri di bidang teknologi maklumat dan komunikasi, bioteknologi serta teknologi hijau.

"Sudah sampai masanya, pertandingan sebegini dibawa ke tahap yang lebih tinggi, dan seterusnya mampu menyumbang kepada proses transformasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Sehubungan itu, semua pihak perlu berganding bahu dalam usaha mencipta masyarakat yang lebih kreatif dan inovatif," ucapnya pada majlis penutup Uniten Robogamez di Bangi, baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Canselor Uniten, Profesor Datuk Dr. Mashkuri Yaacob.

Menurut Khatijah, apa yang lebih utama adalah diharapkan para peserta dapat menjadikan pertandingan ini sebagai medan untuk mempelajari bidang kejuruteraan dan menjadikan ia sebagai batu loncatan untuk kita mencapai matlamat.

Robogamez 2010 anjuran UNITEN diadakan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pertandingan akhir kategori terbuka menyaksikan pasukan TT02 dan TT01 dari Universiti Teknologi Malaysia mengganas dan menguasai dua tangga teratas apabila muncul juara dan naib juara, menumpaskan pasukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM2) di tempat ketiga dan Universiti Putra Malaysia (UPM B) di tempat keempat.

Reka cipta terbaik yang turut dipertandingkan telah dimenangi Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam bagi kategori sekolah rendah.

Sekolah Menengah Anderson, Ipoh menjuarai kategori sekolah menengah, manakala COE Kiosk memenangi untuk kategori terbuka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: