Friday, December 10, 2010

Violet gembira menyatukan dua jiwa




MELIHAT ramai rakan-rakan sepejabatnya yang masih solo walaupun sudah menjengah usia pertengahan 30-an membuatkannya tertanya-tanya mengapa mereka tidak berkahwin lagi. Walhal masing-masing mempunyai rupa paras yang tidak kurang menarik.

Saban hari persoalan mengenai mengapa rakan-rakannya itu tidak berkahwin sering bermain-main dalam fikiran wanita pemilik nama Violet Lim yang kini merupakan pengasas bersama agensi mencari jodoh, Lunch Actually.

Tidak berpacaran

Selepas melakukan pemerhatian, ibu kepada dua anak itu mendapati rakan-rakannya yang masih solo itu bekerja terlalu kuat sehingga tiada masa untuk keluar berpacaran dan mencari teman lelaki.

“Saya lihat ada dua kumpulan. Satu kumpulan bertunang dan berkahwin manakala yang satu kumpulan lagi tidak keluar berpacaran. Puas saya fikirkan mengapa ini berlaku?

“Akhirnya saya menemui jawapan. Rakan-rakan saya yang berkahwin ini berjumpa dengan pasangan masing-masing di universiti iaitu cara yang sama saya berkenalan dengan suami saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jadi, Violet menyedari bahawa jika seseorang itu terlepas peluang untuk berjumpa pasangan masing-masing di universiti, lebih sukar untuk mereka berjumpa dengan seseorang apabila mereka mula bekerja.

Walaupun senario itu berlaku lapan tahun lalu ketika dia bekerja di salah sebuah syarikat kewangan di Singapura, ia masih berlaku pada masa sekarang, malah kini lebih ramai wanita yang hidup solo walaupun umur sudah mencecah 40 tahun.

“Bermula dari situlah saya bersama teman lelaki saya yang kini sudah menjadi suami membuka agensi mencari jodoh dengan konsep lunch dating yang sudah lama popular di Barat seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.


SEBELUM membuat temu janji dengan pasangan yang ingin berkahwin, Violet akan mendapatkan profil pelanggan bagi memahami dan mengenali mereka dengan lebih dekat.


“Ketika itu tiada siapa yang membawa konsep itu ke Asia. Jadi kami berdua melakukan sedikit kajian mengenai prospek konsep tersebut dan mendapati terdapat permintaan di sini. Kami bermula di Singapura pada 2004, di Malaysia pada 2005 dan kemudian di Hong Kong pada tahun 2008,” ujarnya.

Ketika dilontarkan soalan mengapa dia memilih menjadi pencari jodoh sedangkan dia mempunyai lulusan undang-undang dari Universiti Manchester, United Kingdom, Violet terdiam sebentar.

“Tipulah jika saya menyatakan bahawa menjadi pencari jodoh merupakan cita-cita dan impian saya sewaktu kecil lagi. Banyak sebab mengapa saya memilih bidang ini.

“Saya jenis orang yang prihatin dan suka buat kerja amal. Saya serasi dan suka dengan kerja sebagai pencari jodoh ini. Walaupun ia adalah satu perniagaan tetapi dalam masa yang sama, saya dapat membantu mereka untuk membina kehidupan berkeluarga,” katanya.

Pakar cinta

Violet selalu menjadi pakar rujuk kawan-kawannya setiap kali mereka ada masalah dalam perhubungan cinta. Jika mereka menghadapi masalah, Violet merupakan individu yang dicari bagi mendapatkan nasihat dan berkongsi masalah.

Menjadi satu kepuasan bagi dirinya untuk membantu dan menyatukan dua hati.

“Momen paling saya ingati apabila berjaya menyatukan seorang peguam dan seorang penghibur. Pada mulanya wanita ini enggan bertemu dengan lelaki yang kami padankan kerana faktor kerjaya yang dianggap tidak kena.

“Kami berjaya meyakinkannya kerana kami menilai perhubungan mereka berdasarkan personaliti. Mereka akhirnya keluar bersama, bertunang kemudian berkahwin dan kini memiliki dua cahaya mata,” ceritanya dengan penuh keterujaan.

Walaupun kerjaya sebagai pencari jodoh tidaklah seglamor kerjaya lain, Violet sangat puas dengan apa yang dikecapinya sekarang.

Baginya, dia sangat bahagia apabila dapat memberikan kebahagiaan dan perubahan kehidupan kepada orang lain.

“Banyak pasangan yang telah kami bantu. Mereka mungkin tidak akan berjumpa jika mereka tidak menggunakan khidmat kami. Sama seperti pasangan peguam dan penghibur yang saya ceritakan tadi. Walaupun latar belakang kerja yang berlainan tetapi mereka mempunyai banyak persamaan.

“Di sebalik banyak kisah kejayaan, terdapat juga pelanggan yang mengadu bahawa pasangan yang kami padankan tidak sesuai.

“Selepas setiap pertemuan kami akan dapatkan maklum balas daripada pelanggan mengenai apa yang mereka suka dan tidak suka mengenai lelaki atau wanita yang mereka jumpa supaya janji temu akan datang berjalan dengan lancar,” jelasnya sambil memberitahu bayaran konsultasi di Lunch Actually bermula dari RM1,000 ke atas.


MELIHAT kebahagiaan pasangan melayar bahtera cinta dan gerbang perkahwinan membuatkan Violet sangat gembira. - Gambar hiasan


Serasi tidak semestinya kekal

Violet seringkali mengingatkan para pelanggannya bahawa dia tidak boleh membuat padanan berdasarkan keserasian ataupun chemistry.

Katanya, kadangkala apa yang mereka (pelanggan) cari dan apa yang sesuai dengan mereka adalah dua perkara berbeza. Ramai orang bujang di luar sana masih ternanti-nanti pasangan yang ideal tetapi mereka tidak menemuinya.

“Berpacaran merupakan langkah pertama yang harus diambil. Pertama, being the right one; kedua, meeting the right one dan ketiga choose the right one.

“Sebenarnya pemikiran atau sikap dalam perhubungan perlu betul. Jika tidak, walaupun kita padankan mereka dengan pasangan yang betul pun perhubungan belum tentu berjaya,” katanya.

Violet tidak menolak faktor kesibukan kerja membuatkan seseorang individu itu terlupa atau tidak dapat mencari pasangan hidup masing-masing. Kebanyakan daripada mereka adalah daripada golongan profesional.

“Pelanggan yang mahu menggunakan perkhidmatan kami biasanya akan datang ke sini. Kami akan mendapatkan profil dan dalam masa yang sama mengenali serta memahami mereka selain bertanya apa yang mereka cari dalam diri pasangan.

“Selepas itu, kami akan carikan pasangan berdasarkan permintaan dan kesesuaian sebelum membuat janji temu untuk mereka bertemu. Kemudian kami akan menghubungi mereka semula untuk mengetahui perjalanan janji temu tersebut,” ujarnya.

Violet membuat padanan secara holistik dan bukan semata-mata tertakluk pada aspek biologikal sahaja.

“Kami tidak sasarkan pelanggan mengikut bangsa. Perkhidmatan ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa dan agama.

“Boleh dikatakan 75 peratus daripada pelanggan kami terdiri daripada kaum Cina dan selebihnya pula daripada kaum India dan Melayu. Wanita yang menggunakan perkhidmatan kami biasanya berusia pertengahan 20-an hingga 30-an manakala lewat 20-an hingga 40 tahun bagi pelanggan lelaki,” katanya.

Selain sibuk menyatukan banyak hati untuk mengecapi bahagia, Violet turut menulis buku berkisar tentang bagaimana mencari pasangan yang tepat bertajuk Lessons From 15,000 First Dates.


PENGALAMANNYA membina cinta banyak pasangan membolehkan Violet menulis buku berjudul Lessons From 15,000 First Dates.


Katanya, dalam setiap janji temu pertama, banyak perkara perlu diambil serius oleh mereka yang terlibat.

“Datang tepat pada waktunya dan jangan sesekali lewat kerana itu menunjukkan anda tidak serius selain mengundang persepsi pertama yang tidak baik.

“Selain itu, elakkan bercakap mengenai seks, politik dan agama bagi mengelakkan pertengkaran. Bagi lelaki, jangan memesan makanan yang boleh mengganggu perjalanan janji temu itu dan jangan mendominasi sesuatu komunikasi,” pesannya.

Bagi wanita yang baru putus cinta pula, Violet menyarankan supaya mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Jangan bazirkan masa untuk meratapi kehilangan orang yang kita sayang. Kita perlu sayangkan diri kita lebih daripada kita sayangkan orang lain. Binalah hidup baru.

“Bagi lelaki, mereka tidak kehilangan apa-apa. Mereka akan teruskan kehidupan seperti biasa. Apabila putus cinta, janganlah mengelak daripada berjumpa dengan seseorang yang baru,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: