
BOLEH atau tidak sutera yang dipakai oleh kebanyakan wanita dibawa sembahyang? Adakah berdosa jika seorang lelaki memakai pakaian yang dibuat daripada sutera dan apakah hukumnya jika ia digunakan untuk menunaikan sembahyang. Adakah sah sembahyangnya?
JAWAPAN:
Kepompong sutera adalah sesuatu yang keluar dari mulut ulat sutera yang kemudian dipintal menjadi kepompong yang membaluti dirinya. Ia bukan keluar dari jalan najasah (najis).
Dalam kitab Sabil-Al-Muhtadin, Syeikh Arsyad Banjari menyatakan ulat sutera dan telurnya adalah suci iaitu yang keluar daripadanya ulat sutera.
Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa sutera itu tidaklah najis, maka ia adalah sesuatu yang boleh disentuh, dipakai dan disimpan.
Hukum bagi seorang lelaki memakai pakaian daripada sutera adalah haram dan harus bagi wanita memakainya berdasarkan dalil hadis nabi yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dari Abu Musa Al-Ansary. Katanya: "Rasulullah S.A.W bersabda: Telah diharamkan memakai sutera dan emas pada orang lelaki daripada umatku dan dihalalkan bagi orang perempuan mereka."
Lelaki muslim adalah berdosa memakai sesuatu yang diharamkan oleh syarak, sama ada ia dipakai dalam solat ataupun di luar solat. Diriwayatkan oleh Abi Daud, daripada Ali, katanya: "Aku melihat Rasulullah S.A.W memegang sutera di tangan kanannya dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Kedua-dua ini haram kepada orang lelaki daripada umatku."
Solat bagi lelaki dan wanita yang memakai pakaian daripada sutera adalah sah kerana sutera tidak dikira najis. Ini kerana syarat sah solat menyatakan pakaian hendaklah suci daripada najis.
Pengharaman memakai sutera bukan kerana kenajisan sutera tersebut di mana hanya lelaki yang dilarang memakainya dan tidak pada perempuan. Jika sekiranya sutera itu sesuatu yang najis, maka sudah tentu keharamannya juga meliputi kaum wanita.
Asma al-Husna ketika haid
SAYA berumur 23 tahun dan ingin bertanya, bolehkah seseorang itu menyebut atau membaca Asma al-Husna dalam kedatangan haid atau dalam keadaan kotor?
JAWAPAN:
Asma al-Husna merupakan susunan nama-nama Allah yang dijadikan zikir dan pedoman umat Islam di atas keagungan Allah. Jumhur ulama fekah bersepakat mengharamkan membaca al-Quran sehingga suci.
Apa yang dibolehkan sepanjang tempoh haid adalah berdoa dan berzikir bukan dengan niat membaca al-Quran seperti membaca bismilah, innalillah, subhanallah atau sebagainya dalam al-Quran untuk tujuan doa ataupun zikir. Tetapi bukan membaca al-Quran secara khusus.
Pakailah tudung ikut syarak
PEMAKAIAN tudung bagi kaum hawa mengikut hukum Islam adalah menutupi bahagian kepala sehingga dada. Bagaimanapun, saya kurang pasti tentang penjualan tudung sekarang yang mengikut trend namun tidak mengikut hukum Islam. Adakah ini digalakkan?
JAWAPAN:
Wanita Islam wajib memakai pakaian yang sopan sebagaimana yang dituntut oleh syarak iaitu menutup seluruh tubuh badan selain muka dan tapak tangan. Pakaian juga tidak nipis dan tidak menampakkan bentuk badan.
Islam menetapkan satu etika pemakaian sebagai bukti ia menjaga maruah dan kehormatan wanita sebagaimana firman Allah Taala dalam surah al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud:
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Trend fesyen tudung terkini sesetengahnya tidak menepati ciri-ciri yang ditetapkan dalam Islam. Yang jelas ia hanya mengejar keuntungan komersial tanpa mengambil kira panduan hukum yang ditetapkan oleh Allah Taala dalam surah an-Nur ayat 3 yang bermaksud: "Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya."
Berdasarkan dalil itu ia jelas bertentangan dan tidak digalakkan trend fesyen itu berterusan dalam masyarakat kita. Ramai wanita kini bertudung tetapi tidak sempurna seperti kain yang jarang, tidak menutupi dada kerana kononnya mengikut fesyen terkini. Tidak salah berfesyen jika ia menepati dengan kehendak syariat Islam.
Marilah kita berfikir jika kita bertudung kerana Allah kita akan terpelihara sekali gus selamat dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: