Saturday, December 4, 2010

Tanam kekasih dalam penjara

pix_middle

LIMA: Seorang banduan membunuh teman wanitanya dan menyembunyikan mayat mangsa dalam bilik kurungannya tanpa dikesan selama tiga bulan.

Warga Belanda, Jackson Conquet mengaku mencekik hingga mati Leslie Paredes, 22, apabila dia melawatnya di sebuah penjara di ibu negara Peru ini.


Dia membunuh Leslie apabila kekasihnya itu menyuarakan hasrat untuk menamatkan hubungan mereka.

Mayat Leslie kemudian disembunyikan di bawah bangku konkrit yang dibina Conquet di atas kubur mangsa.


Polis hanya menyedari kejadian itu apabila mereka menyiasat bau busuk dari bilik kurungan itu.


Conquet, 32, mengaku melakukan pembunuhan itu di Penjara Lurigancho di Lima, tempat lebih 8,000 banduan ditahan, sebahagian besarnya penjenayah berbahaya. Warder penjara sering mengawasi bilik kurungan bagi memastikan setiap pelawat meninggalkan penjara itu selepas mengunjungi banduan.Bagaimanapun, tidak ada yang menyedari Leslie tidak meninggalkan penjara berkenaan selepas melawat Conquet pada Ogos lalu, kata Ketua Penjara Peru, Wilson Hernandez.


Beberapa jam selepas membuat pengakuan, polis menyerbu penjara itu di daerah San Juan de Lurigancho.

Ketika diwawancara sebuah rangkaian radio tempatan, Hernandez berkata, pasangan kekasih itu bergaduh di dalam bilik kurungan dan berakhir dengan Conquet mencekik wanita itu.


“Conquet mengaku membina bangku konkrit dalam bilik kurungannya dan dia menanam mayat Leslie di situ,” katanya.


Mayat wanita itu digali pegawai penjara dan dibawa ke sebuah rumah mayat.


Conquet ditahan di penjara berkenaan sejak Mei 2009 kerana kesalahan membabitkan dadah. Video yang dibekalkan polis menunjukkan beberapa pegawai bersenjata memeriksa seluruh kawasan penjara berkenaan, termasuk bilik air dan kemudian mempamerkan senjata yang mereka rampas.


Dadah dan senjata dikatakan begitu mudah dibawa masuk ke penjara berkenaan.


Ia dibina pada 1960-an untuk menempatkan 2,000 banduan tetapi kini jumlah penjenayah yang ditahan adalah empat kali ganda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: