Saturday, December 4, 2010

Keaslian kebaya Riau dipelihara

KONTEMPORARI...selain unsur tradisional, baju kurung Riau nampak lebih kontemporari dengan perincian manik pada dada dan tangan baju mencetuskan ilham segar kepada si pemakai.
KONTEMPORARI...selain unsur tradisional, baju kurung Riau nampak lebih kontemporari dengan perincian manik pada dada dan tangan baju mencetuskan ilham segar kepada si pemakai.

PAKAIAN bukan setakat membaluti tubuh seseorang bahkan menjadi lambang budaya sesuatu kaum.

Pakaian yang cantik bukan saja mampu menyerlahkan keanggunan si pemakai namun mencerminkan budaya serta jati diri seseorang.

  • Foto

    ANGGUN...merah itu menawan. Baju kurung Riau anggun dipakai si gadis manis dan sesuai digayakan ke majlis rasmi.

  • Foto

    INDAH...selain berbeza dari segi potongan, baju kebaya Riau tampak lebih eksklusif dengan penggunaan fabrik kapas yang dicantumkan selendang pada bahagian tangan

Misalnya baju kurung atau kebaya apabila digayakan si gadis manis pasti mencerminkan kesantunan serta keayuan wanita.

Namun kebanyakan wanita kini semakin melupakan nilai tradisi yang menjadi asas kepada budaya itu sendiri.Berapa ramai yang masih kekal berpakaian tradisional seperti kebaya atau baju kurung atau hanya dipakai pada majlis tertentu?


Berapa ramai pula masih mengenali baju kurung Riau dan baju kebaya Riau yang sangat halus seni jahitannya.

Baju Riau terhasil daripada perhubungan politik dan sosio budaya yang terjalin ketika zaman kesultanan Melayu Melaka sehingga terhasilnya baju kurung dan kebaya Riau yang dikenali juga sebagai baju belah atau baju kebaya Turki.

Menurut Pengurus dan Pemilik Butik Zaida's Collection, Zaida Abd Aziz, apa yang menjadikan pakaian ini istimewa adalah potongannya yang unik dan eksklusif berbeza dengan baju kurung atau kebaya yang biasa dipakai.

"Berbeza dengan pesak baju kurung, kedua-dua tepi baju Riau mempunyai pesak kembang yang disambungkan kekek gantung manakala baju kebaya Riau ada yang berkolar tinggi disertakan tujuh atau sembilan butir butang pada bahagian hadapan baju," katanya.

Zaida masih mengekalkan pakaian tradisional ini kerana mempunyai nilai yang tinggi. Jika tidak dia sebagai pereka dan pemilik butik, siapa lagi yang mahu memelihara budaya Melayu ini.

Cara ini saja mampu memperkenalkan kepada generasi sekarang pakaian tradisional seperti baju kurung dan kebaya Riau yang semakin hilang keasliannya.

"Saya masih mengekalkan keaslian pakaian ini daripada segi potongannya kemudian diperindahkan menerusi jahitan manik serta sulaman tangan pada bahagian tertentu.

"Penggunaan fabrik unik seperti kain linen, kapas, viskos, sutera Thai dan sari menjadikan busana Riau ini unik dan ada kelas tersendiri," katanya.

Tambah Zaida, selain keunikan daripada segi potongan, bagi menjadikan pakaian ini bernilai serta mengikut peredaran zaman, dia membuat kelainan jahitan pada tangan serta menggunakan kain selendang yang dicantumkan supaya memberi impak lain daripada yang lain, sekali gus menimbulkan imej segar serta nampak lebih kontemporari.

Selain baju Riau, Zaida's Collection juga menyediakan baju kurung moden, selendang, tudung sedia pakai, baju kanak-kanak, baju Melayu serta kasual tanpa mengira peringkat usia. Semua himpunan ini dihasilkan sendiri menepati cita rasa serta kehendak ramai.

Walaupun melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis dalam perniagaannya, ini tidak pernah mematahkan semangat Zaida untuk terus berusaha menghasilkan pakaian tradisional, sekali gus mengekalkan keasliannya.

Bagi Zaida, suami serta keluarga adalah pendorong utama selain pelanggan yang tidak putus-putus memberikan semangat.

"Dalam perniagaan ada masa jatuh dan bangun namun semua itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus menghasilkan rekaan tradisional yang sangat bernilai kepada masyarakat," katanya yang mengakui kegembiraan itu datang apabila pelanggan menghargai rekaannya.

Zaida's Collection mempunyai tiga cawangan iaitu di Bandar Baru Bangi, Wangsa Maju dan kini membuka cawangan baru di Tesco Seremban 2 selepas berpindah dari Alamanda, Putrajaya.

Untuk cawangan terbaru di Seremban 2, Zaida's Collection memberikan potongan harga istimewa bermula awal Disember sehingga 31 Disember ini pada harga yang sangat berpatutan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: