MENGIMBAU semula susur galur perjalanan lima tahun pelakon Gambit Saifullah, 25, dalam industri seni tanah air, siapa sangka anak muda ini sudah mampu mengumpul aset seperti rumah dan kereta mewah dengan hasil titik peluh sendiri.
Bukan hendak menunjuk, sebaliknya pengarah dan penerbit ini mahu mengubah persepsi masyarakat. Ada yang mendakwa Gambit atau nama sebenarnya Mohd Saifullah Rosli memiliki aset mewah atas bantuan bapanya.
Malah berkali-kali dia menegaskan yang dirinya bukan anak Datuk atau orang kaya seperti didakwa sesetengah pihak.
Jelas pemuda berasal dari Kuala Lumpur ini, segala aset yang dibeli menggunakan wang simpanannya. Dia terjun dalam industri lakonan melalui bidang peragaan dan seterusnya menubuhkan syarikat produksi sendiri iaitu Eightball Production Sdn Bhd pada tahun 2008.
Selepas menyepi beberapa ketika daripada industri seni, Gambit membuat kemunculan semula secara aktif pada tahun lalu.
Antara filem terbaru lakonannya yang belum ditayangkan adalah Misteri Jalan Lama, Hantu Bukit Cina dan Karipap Karipap Cinta. Dia juga pernah muncul dalam filem Cinta, Susuk dan Rasukan Ablasa.
Sementara drama lakonannya termasuklah Awan Dania musim ketiga, Siong, Kau Laksana Bulan, Datang Bulan, Ulat Ulat Cinta dan Realiti.
Puas mengembara
Peluang berkunjung ke luar negara atas tiket bekerja pastinya tidak akan dilepaskan peluang oleh sesiapa sahaja. Gambit yang sudah puas mengembara di luar negara akui tidak kekok untuk melakukan penggambaran di mana-mana sahaja tempat yang ditawarkan.
Ajaklah ke mana-mana pun, dia pasti boleh membawa diri ditambah pula dengan kebolehannya bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Sepanyol.
Bercerita mengenai penggambaran Awan Dania di Perth, Australia yang diadakan hujung November lalu, Gambit yang memegang watak Akmal Tan Sri Akbar memberitahu sebelum itu dia telah pergi ke Gold Coast, di negara yang sama untuk penggambaran dokumentari terbitan syarikatnya, kembara A Piece of Gambit Flying Pilot, Gold Coast Australia. Dia turut berlakon dan mengarah dokumentari tersebut pada September lalu.
“Pengalaman saya buat penggambaran di mana-mana pun seronok. Cuma cuaca negara orang dan di negara kita agak berlainan,” katanya.
Menyentuh tentang karakter Akmal dalam drama yang sedang disiarkan di Astro Ria (saluran 104) itu, dia melakonkan watak sebagai seorang usahawan yang kaya dan kacak.
Selain bergelar anak tunggal dalam keluarganya, Akmal juga merupakan seorang kasanova dan bermulut manis serta selalu dikelilingi oleh wanita.
Perancangan masa depan
Setiap langkah diatur dengan penuh bersahaja. Tanpa menerima banyak publisiti meluas dan paparan gosip hangat di media massa, anak sulung dari tujuh beradik ini tidak pernah berputus asa untuk bercita-cita tinggi. Dia menyasarkan untuk bergelar pengarah dan penerbit filem dalam masa lima tahun dari sekarang.
“Saya mahu menghasilkan filem yang mampu mengubah industri perfileman kita. Mungkin filem tersebut ada menyentuh tentang pengembaraan kerana saya suka mengembara. Yang penting, saya akan cuba menghasilkan sesuatu lahir dari hati dan ikhlas.
“Saya lebih gemar kaitkan filem tempatan dengan mentaliti orang kita sendiri. Bukan bermakna perlu mengharapkan filem kita setanding dengan filem Hollywood, tetapi sekurang-kurangnya sesebuah filem itu perlu mempunyai elemen seni dan komersial.
“Jika melihat kebanyakan filem tempatan, banyak elemen komersial yang digunakan berbanding seni. Jadi, penggiat filem kita seharusnya menilai filem sesama sendiri,” katanya yang lebih gemar menjadikan filem Mexico sebagai rujukan.
Tambahnya: “Dulu saya ada persepsi bahawa industri perlu ada seseorang untuk melakukan perubahan tetapi ramai penggiat filem tidak bersetuju sebaliknya memikirkan semua pihak iaitu penerbit, pengarah, pelakon dan penonton perlu bersatu untuk berubah.”
Lantas dia tidak mengetepikan ilmu lakonan dan pembikinan filem itu harus ada dalam diri setiap penggiat filem. Buktinya, dia pernah mengikuti beberapa bengkel termasuk lakonan, latihan suara dan penulisan skrip.
Bagaimanapun, Gambit perhatikan ramai penggiat industri lebih memikirkan wang dan keuntungan. Sebab itu dia kurang bersetuju apabila ada pihak yang menyalahkan dirinya kerana menolak sesetengah tawaran berlakon dan bersikap pemilih.
Mengambil kira pelbagai faktor, graduan Diploma Kejuruteraan Automotif dan Diploma Kejuruteraan Mekanikal ini bukanlah seorang yang terus bersetuju untuk berlakon sesuatu filem atau drama itu tanpa meneliti skrip dan karakternya.
“Saya memilih skrip dan karakter yang bagus demi kebaikan dalam industri. Itu matlamat saya untuk mencapai apa yang saya boleh lakukan,” katanya.
Setakat ini, dia akui puas berlakon filem Karipap Karipap Cinta yang diarahkan oleh Othman Hafsham. Dia seronok bekerja di bawah pengarah berusia 72 tahun itu yang bukan sahaja berdisiplin malah mudah dibawa berbincang.
Ambil lesen kapal terbang
Pada tahun 2011, Gambit merancang untuk melakukan aktiviti yang lebih mencabar dengan mengambil lesen kapal terbang. Dengan ada lesen itu, Gambil bolen memandu kapal terbang atas urusan kerja dan juga untuk kepuasan diri.
“Saya suka belajar sesuatu yang baru. Sekurang-kurangnya, pemikiran saya tidak tertutup. Walaupun saya berfikiran terbuka tetapi masih mengambil tahu tentang adat kita.
“Saya akan memandu kapal terbang untuk meninjau keindahan sesuatu tempat dari awan sambil melakukan penggambaran untuk projek filem atau dokumentari,” jelasnya yang mengakui masih solo.
Menyelak sedikit kisah cintanya, sehingga sekarang dia belum menemui wanita yang serasi.
Dengan wajah serius Gambit turut menafikan dakwaan dirinya seorang kasanova. Dia tidak mencari wanita sebaliknya lebih mementingkan kerjaya.
Dia bercadang untuk menamatkan zaman bujang sebelum usia 30 tahun dan inginkan suri hidup yang mempunyai kecantikan dalaman berbanding luaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: