BARU-BARU ini, penyanyi yang popular dengan lagu Manifestasi Cinta, Fiq telah membuat kenyataan panas dengan mengatakan rokok telah memantapkan vokalnya sebagai penyanyi rock.
Memetik artikel daripada mStar Online pada 25 November lalu, juara program realiti Mentor itu berkata dia dapat melihat kesan positif tabiat itu pada perubahan vokalnya sejak setahun yang lalu.
Ujarnya, tabiat merokok itu bermula apabila dia sering berasa bosan ketika menunggu waktu untuk rakaman lagu atau pertunjukan.
Kenyataan yang diberikan itu membuatkan ramai yang tidak menerima pendapat Fiq dan menganggap Fiq boleh merosakkan fikiran anak-anak muda yang gemar menjadikan artis sebagai idola mereka.
Bagaimanapun, ketika mendapatkan kenyataan penyanyi itu semula mengenai dakwaan yang dibuat, jelas Fiq, dia tidak berniat untuk merosakkan fikiran peminat-peminatnya mahupun anak-anak muda di luar sana.
“Maafkan saya jika ada yang terasa dengan kenyataan saya itu. Saya tidak bermaksud mahu menggalakkan orang di luar sana merokok.“Ia sekadar pengalaman yang ingin saya kongsi bahawa sejak saya merokok, vokal saya semakin berubah dan lebih mantap.
“Saya tahu, merokok membahayakan kesihatan dan boleh mengundang pelbagai penyakit. Tapi bila difikirkan balik, orang yang tidak merokok pun boleh terkena penyakit sama seperti perokok kerana mereka menyedut asap rokok itu.
“Justeru itu, saya seimbangkan diri melalui pemakanan seperti mengambil makanan tambahan serta bersenam dan ia harus dibuat oleh semua orang tidak kira mereka perokok ataupun tidak. Insya-Allah kita akan sihat,” jelasnya ringkas.
Tambah Fiq, dia berharap penjelasan yang diberikan itu tidak lagi menimbulkan andaian negatif masyarakat terhadapnya.
Dakwaan Fiq boleh kelirukan masyarakat
Seperti semua sedia maklum, tabiat merokok boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit termasuk penyakit yang mengancam nyawa manusia kerana kesan kandungan racun karsinogen yang terdapat dalam rokok boleh menyebabkan kanser mulut, tekak, paru-paru dan kanser saluran makanan (esofagus).
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ketua Unit Kawalan Tembakau dan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC), Doktor Zarihah Mohd Zain, risiko untuk mendapat kanser tekak adalah dua kali ganda bagi perokok tegar yang merokok 20 batang sehari.Sehubungan itu katanya dakwaan Fiq boleh mengelirukan masyarakat.
“Sesiapa saja yang berpengaruh dalam masyarakat (termasuk golongan artis) seharusnya menyokong pendirian dan usaha kerajaan ini. Maka sebarang kenyataan yang dibuat juga seharusnya tidak bercanggah atau menjejaskan usaha berkenaan.
“Mesej yang mengandaikan bahawa merokok boleh menyebabkan suara lebih sedap adalah amat mengelirukan dan tidak seharusnya diungkap lebih-lebih lagi oleh seorang artis yang menjadi tumpuan media dan masyarakat.
“Kenyataan Fiq juga diibaratkan seperti tidak menyokong pendirian dan usaha kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia yang mahu menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak merokok serta menjauhkan diri dari asap rokok,” tegasnya.
Tambah Zarihah, mendapan sebatian tar dari asap rokok bersama bahang terhasil dari rokok yang memasuki tekak manusia boleh menyebabkan suara menjadi garau kerana ia boleh merangsang proses kerosakan kepada lapisan mukosa tekak dan peti suara.
“Jadi, mungkin ada yang berpendapat bahawa suara garau itu adalah sedap. Doktor Pakar Telinga, Hidung & Tekak dengan mudah boleh mengenali seseorang perokok dengan hanya melihat hidung dan tekak mereka yang diselaputi tanda kesan nikotin. Peti suara perokok akan kering dan bengkak dan sentiasa diliputi lendir.
“Para penyanyi yang tegar merokok biasanya mempunyai suara yang disebut sebagai “harsh breathy voice” dan sebutan kurang nyata.
“Merokok dalam jangka masa yang panjang tentu akan menjejaskan kemampuan penyanyi untuk memberi persembahan yang baik. Nasihat saya kepada para artis merokok dan seluruh para perokok juga, agar berhentilah merokok kerana ia mengancam kesihatan dan tidak mendatangkan faedah terutamanya dalam jangkaan panjang,” jelas Zarihah lagi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Maamor Osman berkata dakwaan Fiq tidak berasas dan langsung tidak masuk akal.
Menurutnya, tidak mungkin suara Fiq boleh jadi sedap kerana rokok dan Fiq mungkin keliru, latihan vokal juga mampu memantapkan suara penyanyi tersebut.
“Semua orang tahu yang merokok boleh merosakkan sistem badan manusia. Saya harap artis-artis yang membuat kenyataan perlu mendapatkan sumber yang sahih sebelum memberi pandangan yang sebegitu dan jangan dengar cakap orang tanpa mendapatkan nasihat doktor,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: