Thursday, December 2, 2010

Rwanda diancam peningkatan populasi


MASIH ramai lelaki di Rwanda malu apabila bercakap mengenai perancangan keluarga.


"SAYA baru melahirkan seorang anak lelaki pada bulan Februari. Belum merancang untuk mendapatkan anak kedua melainkan dia sudah berusia lima tahun. Kakitangan kesihatan memperkenalkan saya kepada kaedah perancangan keluarga," kata Placide Dusabe, 24, yang mengunjungi sebuah pusat kesihatan untuk tujuan pencegahan kehamilan.

Di Rwanda, secara tradisionalnya, pasangan yang berkahwin akan didoakan agar menerima kesejahteraan dan kebahagiaan sama ada dari segi material mahupun kurniaan cahaya mata. Namun, kadar penggunaan kaedah pencegah kehamilan yang meningkat merupakan perkara baru di sini.

Menurut kakitangan di sebuah pusat kesihatan di Musha, kadar kematian bayi kini semakin merosot. Faktor tersebut dilihat menyebabkan kebanyakan warga Rwanda menerima realiti bahawa bilangan anak yang sedikit boleh menjamin tahap kesihatan dan pendidikan yang lebih berkualiti.

"Sekitar 20 tahun lalu, kebanyakan orang memiliki 10 atau lapan orang anak. Malah, sepasang suami isteri dengan 15 orang anak bukanlah sesuatu yang menghairankan. Kini, purata orang di Musha hanya memiliki lima orang anak," kata Vestine Mukamunana, seorang jururawat yang bertanggungjawab mengendalikan projek perancangan keluarga di pusat kesihatan tersebut.

Sasaran kerajaan adalah untuk mengurangkan jumlah bilangan anak kepada tiga orang bagi setiap isi keluarga.

Rwanda menjadi negara paling padat dengan populasi di tanah besar Afrika sub-Sahara. Sejak lima dekad yang lalu, jumlah populasi di negara itu meningkat sebanyak empat kali ganda. Pada tahun 1960-an, populasi di Rwanda dianggarkan berjumlah sekitar 2.6 juta orang tetapi memasuki tahun milenium angka tersebut meningkat kepada 10 juta orang.

"Kami berharap semua pasangan di Rwanda tidak akan memiliki lebih daripada tiga orang anak," kata Agnes Binagwaho, seorang setiausaha di Kementerian Kesihatan.

Stigma perancangan keluarga

Menurutnya, kadar penerimaan masyarakat terhadap perancangan keluarga telah meningkat sebanyak tiga kali ganda dalam tempoh empat tahun. Kadar kesuburan populasi di negara itu dilaporkan adalah sekitar 5.3 peratus.

Timbalan Naib Presiden Parti Kebebasan (PL), Francois Byabarumwanzi yang turut terlibat dalam urusan pentadbiran negara pula berkata, kadar pertumbuhan demografi di Rwanda adalah sangat menakutkan.

"Apabila kami membina sekolah, pusat-pusat kesihatan mahupun hospital, dengan sekejap sahaja ia melepasi tahap kapasiti," katanya kepada AFP.


KERAJAAN Rwanda berharap dapat mengehadkan sepasang suami isteri dengan tiga orang anak berbanding 10 hingga 15 sebelum ini.


Di Rwanda, pencegah kehamilan adalah satu subjek tabu khasnya beberapa tahun selepas insiden penghapusan kaum. Ia akhirnya menyebabkan populasi Rwanda meningkat mendadak.

Namun, sekitar empat tahun lalu, kerajaan Rwanda baru berusaha untuk mengatasi kadar peningkatan populasi yang kian membimbangkan.

Sesetengah pakar pula berpendapat, pada ketika ini, implementasi langkah-langkah yang tepat adalah lebih baik berbanding mengehadkan pasangan dengan hanya tiga orang anak. Lagipun, jika dilihat pada struktur piramid populasi, 44 peratus daripada keseluruhan populasi di negara itu terdiri daripada golongan remaja berusia 14 tahun ke bawah. Itu sekali gus bermakna pembaharuan tersebut tidak akan memberi sebarang impak ke atas statistik itu.

"Disebabkan kesan fenomena demografi dan pelbagai senario lain, masalah itu masih kekal," kata Christian Thibon, seorang profesor dari Universiti Pau di Perancis yang merupakan seorang pakar tentang hal ehwal di Rwanda.

Tambahnya, jika kadar pertumbuhan populasi tahunan terkini (2.6 peratus) berterusan, jumlah keseluruhan populasi di negara itu dijangka akan melebihi 15 juta menjelang tahun 2025 nanti," demikian kenyataan Biro Rujukan Populasi (PRB) yang berpangkalan di Washington D.C., Amerika Syarikat.

Kaedah pengawalan kehamilan paling popular ialah implan subkutenus dan suntikan. Menurut para pekerja kesihatan, berbeza dengan pengambilan pil, implan tersebut adalah lebih sukar dilihat lebih-lebih lagi bagi golongan suami yang malu untuk bercakap tentang pencegah kehamilan.

Seorang pekerja bank, Joyeuse Uwimgeneye yang memakai skirt lurus dan sehelai jaket formal kelihatan sibuk di pusat kesihatan Nyamata bersama anak perempuannya, Keila, 3 bulan. Dia juga memiliki seorang anak lelaki berusia tujuh tahun.

"Saya cuma mahu dua orang anak. Rakan setugas saya juga mempunyai pendapat serupa. Mereka merupakan golongan terdidik dan tahu bahawa untuk mendidik seorang anak, anda memerlukan kos yang tinggi. Jadi, kami lebih suka untuk memiliki bilangan yang sedikit tetapi memberi tahap pendidikan berkualiti untuk mereka," katanya.

Malah, keluarga mertuanya tidak pernah memberinya tekanan untuk memiliki lebih ramai anak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: