
KATA pepatah, meluntur buluh biarlah daripada rebungnya. Kebenaran kata-kata orang lama itu dapat dilihat dengan perjalanan kehidupan seseorang apabila berinjak dewasa. Mendalami sesuatu pembelajaran sama ada secara praktikal atau teori sewaktu minda masih segar dan naif di zaman kanak-kanak atau remaja lebih dilihat memberangsangkan. Ibarat span yang mudah resap, minda anak-anak yang baru mahu mengenal erti dunia seeloknya didedahkan dengan perkara serta aktiviti yang positif.
Sehubungan dengan itu, kem atau klinik muzik yang dilaksanakan oleh beberapa pihak yang prihatin wajar diberi sokongan melalui kehadiran dan keterbukaan pihak ibu bapa untuk menghantar cahaya mata mereka menghadiri sesuatu yang dapat membuka minda kanak-kanak. Isu anak-anak muda sekarang lebih gemar berpeleseran dan membuang masa dapat dibanteras dengan inisiatif yang dilakukan oleh pihak yang mahu bersama-sama menjadikan perkhemahan muzik sebagai salah satu budaya yang wajar diperkembangkan.
Matlamat Kem Muzik

Kem muzik dengan nama Rhytm & Groove Music Nature Camp merupakan satu-satunya kem muzik yang sedang aktif dijalankan setiap tahun. Sudah masuk tahun ke-enam perlaksanaan, kem muzik yang diasaskan oleh pemuzik terkenal, Zahid Ahmad ini mempunyai matlamat tersendiri dalam kem yang diadakan setiap tahun tersebut. Malah kem muzik anjuran Rhythm & Groove Sdn Bhd dengan kerjasama Drumworks Jakarta Drum School ini diuar-uarkan sebagai kem muzik pertama yang diadakan di Malaysia dan mungkin Asia Tenggara. Kali ini kem tersebut bakal dilaksanakan di Melaka pada tanggal 15 hingga 20 Disember 2010.
“Idea ini timbul daripada saya dan rakan bisnes saya. Kami sangat berharap agar kem muzik seperti ini dapat dijadikan satu budaya oleh khalayak. Sepanjang pemerhatian saya, 80 peratus daripada pemuzik di Malaysia terdiri daripada orang Melayu. Kebanyakannya tidak mempunyai asas tentang pengetahuan muzik.
“Tujuan kem ini diadakan adalah untuk membina kesedaran para peserta dan menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi hari-hari depan mereka. Kesedaran yang saya maksudkan adalah manfaat dan impak dalam proses menjadi pemuzik yang berkualiti,” ujar Zahid Ahmad yang juga merupakan pemain dram terkenal.

Tambah adik kepada Yazid iaitu pemain dram Search ini lagi, Ryhthm and Groove akan merealisasikan segalanya melalui pembelajaran, permainan, latihan dan aktiviti luar. Semua rangkaian pembelajaran dalam dan luar kelas tersebut dibentuk untuk membuka fikiran dan meningkatkan kesedaran mereka untuk memahami serta mendalami muzik, kehidupan, alam semulajadi dan lebih penting lagi diri mereka sendiri.
“Kem muzik ini akan disertai oleh tenaga-tenaga pengajar yang bertaraf antarabangsa dan mempunyai pendedahan luas di dalam dan luar Malaysia. Kalau bercakap tentang kelebihan kem ini adalah daripada aspek modul-modul pembelajaran dan tenaga-tenaga pengajarnya yang terdiri daripada pemuzik-pemuzik terbaik di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina,” tambah Zahid lagi.
Kampung para pemuzik
Bakal berkampung di Hotel A’Famosa Resort, Melaka untuk kem kali ketujuh ini, Zahid memperjelaskan lagi misi kem ini diadakan.
“Misi kami jelas iaitu untuk meluaskan lagi pengetahuan dan pemahaman tentang muzik Malaysia dan dapat memberi kepuasan maksimum kepada setiap peserta dengan berkongsi pengalaman dan pengetahuan serta tunjuk ajar yang bermakna kepada setiap setiap peserta. Di samping itu, kem tersebut turut membangkitkan semangat setia kawan serta mampu menolong mengurangkam gejala-gejala yang tidak bermoral seperti lepak atau rempit,” ujar Zahid yang juga merupakan pemilik syarikat Elephant Dance Entertainment.
Kem muzik kali ini merupakan kem kali ketujuh yang dilaksanakan oleh pihak Ryhtm & Groove. Sebelum ini kem muzik ini mendapat sambutan dan kehadiran yang menggalakkan oleh peserta pelbagai usia.

“Ada yang datang beberapa kali. Kami pernah menerima peserta daripada lingkungan usia 11 tahun hinggalah 40 tahun,” tambahnya.
Kali pertama kem muzik ini dilaksanakan di Legenda Golf Resort pada 17 Jun 2007 dan kem keenam dilaksanakan di Legends Golf resort, Kulai Johor pada 4 Jun 2010. Kem muzik tersebut pernah dilaksanakan di Puncakpass, Bandung, Indonesia pada 8 Oktober 2009 dan menurut Zahid sambutan yang diberikan di Bandung amat menggalakkan.
“Kami yakin dengan perlaksanaan kem ini kerana kami menyediakan perkhimatan yang terancang bagi memastikan semua perkara berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Kami juga memastikan perhubungan yang baik di antara peserta selain daripada pertalian rapat yang dijalinkan bersama serta menjadikan perkhemahan ini sebagai kenangan yang sangat bermakna kepada setiap peserta,” tambahnya meyakinkan.
“Antara topik-topik yang bakal dipelajari oleh peserta adalah kesedaran tentang kehidupan dan muzik, peranan sebagai pemuzik, teknik main muzik, asas penting membaca notasi, latihan pendengaran, pembelajaran kord, pembelajaran alunan, menfokusan, persembahan kumpulan dan memahami serta menjiwai pergerakan alam,” ujar Zahid.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: