Sunday, December 5, 2010

Perkhemahan mantapkan semangat kerjasama


SEBAHAGIAN daripada murid SK Mela yang mengikuti perkhemahan bersepadu unit beruniform selama tiga hari dua malam di padang sekolah itu di Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini.


Kuala Lipis - Seramai 97 murid tahun empat hingga tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Mela menyertai perkhemahan bersepadu unit beruniform selama tiga hari dua malam bagi memantapkan tahap disiplin dan semangat berpasukan mereka di sini baru-baru ini.

Perkhemahan beruniform itu melibatkan pasukan pengakap, tunas kadet remaja sekolah (TKRS) dan persatuan tunas puteri.

Setiausaha perkhemahan, Abdul Khaled Yasak berkata, aktiviti dijalankan sepanjang perkhemahan itu menumpukan kepada aspek kerjasama, tolak ansur, berdikari, keyakinan diri dan hidup berpasukan.

Tambahnya, ia bertujuan melatih murid mempraktikkan nilai-nilai murni yang selama ini hanya dipelajari secara teori di dalam bilik darjah.

"Melalui perkhemahan ini diharapkan murid dapat membina sahsiah diri, meningkatkan disiplin, serta membina ketahanan diri,'' katanya.

Semua murid tidur di khemah yang didirikan sendiri di padang sekolah. Hal ini bagi membiasakan mereka bergotong royong dan saling membantu dal-am menjalankan sesuatu aktiviti.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang perkhemahan itu seperti pertandingan kawad kaki, tunjuk cara memasak, ikatan dan simpulan, membaca kompas, pertolongan cemas, dan aktiviti larian lasak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: