Tuesday, December 14, 2010

Nostalgia menghafal al-Quran


KENANGAN bersama Sheikh Dr. Yusof al-Qardawi yang berkunjung ke Malaysia untuk menghadiri satu persidangan.


SAMBIL menyandarkan badannya di sebuah tiang yang dihiasi jubin rona biru putih, seorang lelaki berjubah dan lengkap berkopiah tekun membaca kitab suci al-Quran.

Raut wajah lelaki berjanggut putih berusia lebih separuh abad itu kelihatan tenang sekali tatkala mulutnya lancar melafazkan kalimah suci yang dihafalnya.

Usai membaca kalam Allah tersebut, beliau bingkas bangun sambil meninjau-ninjau persekitaran di dalam dewan sembahyang Masjid Negara.

Sesekali mulutnya ramah menegur beberapa pekerja yang sibuk menyiapkan tugas memasang permaidani baru di ruang hadapan masjid berkenaan.

"Di sinilah tempat saya menuntut ilmu untuk menjadi seorang hafiz Quran lebih empat dekad lalu lalu. Siapa sangka kini ia menjadi tempat untuk saya mencari rezeki di samping menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

"Kalau nak tahu, di tiang itulah saya selalu duduk seorang diri sambil menghafal dan memperbaiki bacaan al-Quran. Apabila melihat tiang itu semula, nostalgia lampau sewaktu belajar dulu kembali segar dalam ingatan," terang Tan Sri Shaikh Ismail Muhammad, 67, yang merupakan Imam Besar Masjid Negara.

Beliau yang dinobatkan sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah 1432H peringkat negeri Terengganu baru-baru ini tersenyum apabila diminta berkongsi pengalaman sebagai pelajar generasi pertama Darul Quran (DQ) dan kumpulan pertama di Malaysia yang menghafal al-Quran secara bersistem di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut anak kelahiran Kampung Padang Pulut, Ulu Dungun, Terengganu itu, kesusahan yang dihadapi oleh keluarganya mendorong beliau untuk mencapai kejayaan dalam hidup.

"Dulu kami tinggal jauh di pedalaman. Kemudahan jalan raya pun tiada. Jadi, kami cuma bergantung melalui jalan sungai. Ayah pula hanya seorang penoreh getah. Pendapatan juga tidak seberapa.

"Kemudian, pada tahun 1950-an ayah kami berpindah ke bandar Dungun semata-mata untuk memberi kemudahan pelajaran kepada saya dan adik-beradik. Selepas tamat sekolah Melayu pada tahun 1958, saya menyambung pelajaran di Sekolah Arab Dungun dan Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin.


SHAIK ISMAIL (tiga dari kiri) bersama rombongan Maahad Tahfiz al-Quran melawat Mufti Syria, Dr. Ahmad Kaftaro dalam satu lawatan ke negara tersebut.


"Apabila sampai empat sanawi, saya mendapat tawaran untuk menyertai sebuah sekolah tahfiz Quran di Masjid Negara pada tahun 1966 dengan biasiswa persekutuan sebanyak RM150 sebulan," jelasnya yang kemudian berjaya menghafaz al-Quran dalam tempoh dua tahun.

Mandi di kolam masjid

Sepanjang belajar di DQ, antara pengalaman yang sentiasa mekar dalam ingatan Shaikh Ismail adalah kenangan mandi di dalam kolam di Masjid Negara.

Cerita beliau, sewaktu sambutan bulan kemerdekaan atau hari-hari kebesaran Islam, biasanya petugas masjid akan membersihkan kolam dan mengisinya dengan air yang baru.

Justeru, apabila tiba waktu malam, beliau bersama beberapa rakan akan terjun dan berenang dengan seronoknya di dalam kolam tersebut.

"Maklumlah, air sudah ditukar baru, jadi kami ingat bolehlah mandi dengan gembiranya. Namun, anggapan kami silap apabila Imam Besar ketika itu datang memarahi dan menegur perbuatan kami sambil berkata: 'Ini rupanya kerja kamu.' Imbau Shaikh Ismail sambil tersenyum mengenang peristiwa lama.

Selepas tamat belajar di DQ, Shaikh Ismail berpeluang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dalam jurusan Qiraat pada tahun 1969 hingga 1974.

Apabila pulang ke tanah air, beliau kemudian memilih untuk bertugas di Jamiyah Dakwah Islamiyah Singapura memandangkan isterinya, Puan Sri Siti Saadiah Shafiq yang dikahwini sewaktu belajar di Mesir pada tahun 1973 berasal dari republik tersebut.

Di Singapura, Shaikh Ismail bekerja sebagai guru dan Setiausaha Akhbar kepada Presiden pertubuhan Islam berkenaan yang merupakan perwakilan Kumpulan Rabitah Alam Islami di Mekah.

Beberapa tahun kemudian, beliau diminta oleh Menteri Besar Terengganu ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad untuk pulang ke Malaysia bagi menguruskan pembukaan sebuah sekolah tahfiz di bawah kerajaan negeri.


SHAIKH ISMAIL (berdiri tengah lima dari kiri) bersama rakan sekelas tahun tiga sanawi ketika menuntut di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu.


"Alhamdulillah, tugas membuka Maahad Tahfiz Quran Negeri Terengganu itu dapat saya laksanakan. Sebagai pengasas, fungsi saya mencakupi pelbagai bidang. Sayalah pengetua, sayalah kerani dan saya juga warden," ujarnya.

Selama sepuluh tahun memegang amanah menguruskan maahad tahfiz tersebut bermula pada tahun 1982 hingga 1992, akhirnya ia berjaya melahirkan 30 pelajar yang berjaya khatam al-Quran dan menyambung pelajaran di Arab Saudi dan Mesir.

Kemahiran yang dimiliki oleh Shaikh Ismail membuatkan khidmatnya ditagih oleh kerajaan Brunei Darul Salam. Justeru, pada tahun 1992, beliau diminta oleh Sultan Brunei untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz di sana.

Pulang ke kampung

Memandangkan maahad tahfiz di Terengganu sudah mula mengorak langkah, maka Shaikh Ismail meletak jawatan dan mengasaskan Institut Tahfiz Quran Sultan Hassanal Bolkiah dan bertugas sehingga tahun 2000.

Ini kerana pemergian bapanya menghadap Ilahi membuatkan Shaikh Ismail membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman. Namun, siapa sangka dalam perjalanan pulang, beliau bertemu dengan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin di lapangan terbang.

Abdul Hamid kemudian menawarkan jawatan sebagai Imam Besar Masjid Putra di Putrajaya kepada Shaikh Ismail. Tawaran itu disambut dengan hati terbuka dan beliau bertugas bermula pada tahun 2001 hingga 2006 sebelum berpindah kepada jawatan sekarang.


SHAIKH ISMAIL bersama isteri, Saedah (kanan) dan anak tunggal mereka, Muhammad Ammar.


"Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan tugas yang dilaksanakan kerana dalam setiap tugas yang dilakukan, saya tidak pernah gagal. Contohnya di Terengganu, walaupun ketika mengasaskan maahad tahfiz tersebut, kelayakan pelajar yang memasukinya tidak memuaskan, tetapi akhirnya mereka tetap berjaya bergelar hafiz Quran selepas dibimbing dengan baik.

"Begitu juga di Brunei, walaupun menghadapi pelbagai masalah tetapi saya berjaya juga melahirkan sepuluh orang hafiz al-Quran yang kemudian menyambung pelajaran di mesir dan sebagainya," ungkap Shaikh Ismail yang berpegang pada falsafah hidup untuk menjadi yang terbaik di kalangan terbaik.

Bagaimanapun, tegas beliau pegangan itu bukan bermaksud untuk bersifat takabbur atau meninggi diri, sebaliknya bagi menunjukkan bahawa golongan orang agama juga mampu melaksanakan sesuatu tugas yang diamanahkan.

"Di samping itu, ia juga bukan kerana untuk mendapat penilaian yang baik daripada manusia tetapi Allah. Cuma, harus diingat, jika apa yang dinilai oleh Allah itu baik, maka Insya-Allah, manusia juga akan menilainya baik. Tetapi, kalau manusia menilainya baik, belum tentu lagi Allah akan menilai perbuatan kita itu baik," luah Shaikh Ismail penuh makna.

Sebagai hamba Allah, apabila kita diberi tugas, maka ia perlu dilakukan dengan baik dan sempurna agar kita tidak tergolong sebagai manusia yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Bapa kepada Muhammad Ammar, 26, itu berharap agar masyarakat kini lebih menitikberatkan pendidikan Islam yang berterusan kepada anak-anak bagi mengelakkan berlakunya gejala sosial yang semakin berleluasa.

"Seharusnya semua pihak berganding bahu untuk melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia agar umat Islam dipandang tinggi dan dihormati oleh bangsa yang lain," luah Shaikh Ismail sebelum mengakhiri pertemuan dengan Kosmo!.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: