Tuesday, December 14, 2010

Bantu ringankan derita komuniti




HIDUP bermasyarakat merupakan satu cabaran kepada golongan muda hari ini terutamanya mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Kelangsungan hubungan yang erat antara mahasiswa dan masyarakat dapat diukur melalui pengisian program-program seperti aktiviti gotong-royong, motivasi, bantuan pendidikan kesihatan yang mampu memberi kesan positif kepada kedua-dua belah pihak.

Justeru, pelbagai usaha dijalankan oleh IPT tempatan supaya ilmu yang diperoleh dapat dikongsi bersama menerusi program komuniti.

Bagaimanapun, bagi mengelakkan program tersebut sekadar melepaskan batuk di tangga, sebuah universiti swasta tempatan, Management and Science University (MSU) melancarkan program bagi merapatkan hubungan antara universiti dengan masyarakat.

Melalui program Dari Universiti Ke Komuniti MSU 2010, Jabatan Pembangunan Pelajar dan Kerjaya MSU menggalakkan kira-kira 2,000 pelajar dari pelbagai program pengajian berbakti kepada masyarakat dengan memberi tumpuan kepada lima kumpulan sasaran utama iaitu masyarakat Orang Asli, golongan miskin bandar, anak-anak yatim, isu alam sekitar dan kesihatan.

Graduan holistik

Sehubungan itu, pelaksanaan dan pendedahan pelajar kepada aktiviti jalinan masyarakat sama ada dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa merupakan sebahagian daripada perancangan pihak universiti untuk melahirkan graduan holistik dan mempunyai soft skill yang mantap.


MURID-MURID sekolah juga didekati melalui program motivasi dan bantuan pendidikan.


Wakil pelajar yang mengetuai kategori miskin bandar, Mohd. Syahidan Alias, 23, berkata, program itu bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi golongan miskin bandar melalui program Briged Ekonomi MSU.

Katanya, sebanyak 22 keluarga dikenal pasti untuk dibantu bagi menjana pendapatan dan menawarkan motivasi kepada anak-anak miskin bandar di samping menyemai sifat prihatin dalam kalangan mahasiswa.

“Semasa Ramadan lalu, seramai 58 pelajar MSU secara sukarela menyediakan 200 pek juadah sahur seawal pukul 3 pagi untuk golongan yang merempat di sekitar Lebuh Ampang, Dataran Merdeka, Puduraya dan Masjid Jamek.

“Melalui pendekatan itu kami dapat mengetahui punca sebenar mereka merempat. Kebanyakan mereka yang ditemui menjangkau usia emas yang melarikan diri daripada rumah. Maklumat yang dikumpul membolehkan kita membantu mereka mendapatkan tempat yang lebih sesuai seperti rumah orang tua,” katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Grafik MSU itu memberitahu, usaha membantu golongan miskin bandar tidak terhenti begitu sahaja.

“Kami merancang beberapa program baru seperti Program Jana Pendapatan dari rumah bersama alumni MSU, program bantuan kelengkapan sekolah selain program motivasi kepada anak-anak miskin bandar secara berkala,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Orang Asli berilmu

Sementara itu, wakil pelajar yang mengetuai kategori masyarakat Orang Asli, Siti Nur Omaira Razali, 22, berkata, kumpulannya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi tumpuan kepada masyarakat Orang Asli untuk mewujudkan masyarakat celik ilmu supaya mereka lebih berdikari.


MENDALAMI budaya dan gaya hidup masyarakat setempat juga menjadi pengisian program.


Melalui program Kelas Dewasa untuk Orang Asli dan Pribumi (Kedap) pihaknya akan membantu masyarakat tersebut dalam aspek motivasi, pendidikan dan kesihatan.

“Untuk tujuan kesihatan, kami akan membuat kajian tentang penyakit cacing dalam kalangan Orang Asli selain menyumbangkan ubat cacing sebagai langkah pencegahan penyakit tersebut,” jelasnya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan itu memberitahu, pihaknya akan bergerak ke beberapa perkampungan Orang Asli di Semenanjung Malaysia seperti Negeri Sembilan, Perak, dan Selangor bagi memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Sasaran utama kita adalah golongan kanak-kanak kerana mereka lebih mudah mempelajari sesuatu perkara. Bukan itu sahaja, usaha yang dilakukan ini agar kanak-kanak ini mampu mengubah nasib komuniti mereka pada masa hadapan,” ujarnya.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan, Grace Vani Thiyagarajan, 22, yang mewakili kategori anak yatim, memberitahu, untuk menjadikan program lebih berkesan, MSU sendiri mengambil beberapa rumah anak yatim sebagai rumah angkatnya.

Selain itu, kumpulannya mengambil inisiatif berniaga secara sambilan untuk mendapatkan dana selain sumbangan wang daripada setiap pelajar MSU sendiri. Wang yang dikumpul itu digunakan bagi membantu anak-anak yatim dalam bidang pendidikan serta membeli peralatan sekolah.


PESERTA program komuniti melakukan kerja gotong-royong tanpa mengira latar kaum dan agama.


“Saya rasa program yang dianjurkan ini berkesan kerana kita tahu secara spesifik apa yang diinginkan oleh kanak-kanak. Tambahan pula setiap bulan kita akan datang melihat perkembangan mereka.

“MSU sendiri memperkenalkan GeMS (Graduate Employability Skills) yang mewajibkan pelajar MSU terlibat secara aktif dalam aktiviti ko-kurikulum untuk melahirkan graduan yang mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi,” ujarnya.

Selain tiga kategori berkenaan, kategori isu alam sekitar turut menjadi tumpuan apabila sampel mikro organisma dari kawasan penempatan, pusat komuniti, pasar, sungai dan sebagainya akan dikenal pasti sebagai langkah awal mengenai risiko penyakit berjangkit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: