Monday, December 13, 2010

Meredah belukar Kemensah


SEBAHAGIAN daripada ahli kelab kembara Monash Wild Adventure Club yang mengikuti aktiviti ATV, baru-baru ini.


KELAB kembara Monash Wild Adventure Club (MWAC) Universiti Monash kampus Sunway menyahut cabaran meneroka hutan dengan menggunakan kenderaan pelbagai permukaan (ATV) di Kemensah, Selangor baru-baru ini.

Pada aktiviti semester kedua tahun 2010 itu, Hasanul Asyraf Hanafi yang merupakan penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal bertindak sebagai pengarah projek.

Hasanul Asyraf berkata, program bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai aktiviti lasak dengan menunggang motosikal beroda empat jauh ke dalam hutan.

Berdepan dengan pelbagai halangan semula jadi seperti akar-akar kayu serta laluan berbatu yang mencabar dapat memupuk semangat kerjasama dan keakraban di kalangan peserta.

"Aktiviti di hutan tidak semestinya mendaki, ia boleh juga dilakukan dalam tempoh waktu yang singkat dan tidak begitu memenatkan.

"Sekurang-kurangnya aktiviti seperti ini dapat mengurangkan risiko penglibatan generasi muda daripada terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral,'' katanya.

Perjalanan dari kampus di Bandar Sunway ke Hulu Kelang mengambil masa kira-kira satu jam. Setibanya di Kemensah, para peserta diberi taklimat berkaitan aktiviti dan ciri-ciri keselamatan yang perlu dipatuhi.

Di akhir taklimat, peserta diagihkan kepada tiga kumpulan bagi memudahkan pergerakan dikawal oleh pihak pengurusan ATV.

Sebelum ke trek cabaran ATV, peserta diberi peluang memandu uji ATV masing-masing untuk menyesuaikan diri dengan pemanduannya.

Untuk cabaran kali ini, mereka memilih Pakej A iaitu tunggangan selama 30 minit sebelum berhenti rehat di kawasan air terjun berdekatan.

Perjalanan melalui denai-denai hutan yang dipenuhi pohon buluh, laluan becak dan berliku dengan gaung cukup untuk membuatkan peserta gayat.

Selepas beberapa ketika, segala keresahan mula luntur dari fikiran sebaik sahaja melihat panorama flora dan fauna yang mendamaikan di sekeliling. Bunyi unggas dan cengkerik yang bersahut seakan-akan menyambut kehadiran peserta.

Para peserta juga berkesempatan untuk beriadah di kawasan air terjun selama 30 minit sebelum pulang semula ke pusat aktiviti lasak itu.

Sebelum keluar dari kawasan air terjun tersebut, mereka tidak melepaskan peluang bergambar kumpulan sebagai kenangan.

Namun begitu, malang tidak berbau. Salah seorang peserta, Sarah Chong Mun Teng secara tidak sengaja memecut ATV yang ditunggangnya menyebabkan beliau mengalami kemalangan kecil semasa dalam perjalanan pulang. Nasib baik kerana Sarah dan seorang lagi ahli kelab MWAC, Amira Abd. Hamid hanya mengalami luka ringan.

Dengan kecekapan pihak pengurusan ATV segalanya dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.

Kemalangan kecil seumpama itu adalah perkara biasa jika para peserta tidak mengikuti ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan.

Aktiviti berakhir lebih kurang pukul 3 petang.

Menurut salah seorang peserta, Rose Nazihah, dia berasa begitu teruja sepanjang aktiviti itu dilakukan.

Katanya, kehidupan yang sibuk dengan pelbagai tugasan di universiti tidak menghalangnya untuk menceburi akviti itu.

Bagi Nik Abdul Hakim Nik Abdul Aziz, keseronokan pertama kali menunggang motosikal roda empat itu memberikan pengalaman yang baru malah menguji ketahanan mental dan fizikal terutama melalui kawasan curam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: