Saturday, December 4, 2010

Mengandung bayi kembar




BERKAT kesabaran menanti sekian lama untuk mendapatkan zuriat sulung, akhirnya Sazzy Falak dan suaminya, Nazril Idrus, mendapat berita gembira apabila Sazzy kini disahkan hamil.

Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Falak, 29, dan suami kini sedang menunggu kelahiran permata hati mereka yang pertama setelah empat tahun menunggu.

Kegirangan pada wajah Sazzy jelas terpancar ketika bersua dengan pelakon dan pengacara kecil molek itu kelmarin di majlis pelancaran Pandora Malaysia di Bangsar Village 2, Kuala Lumpur.

Ini kerana sepanjang ditemu bual, senyuman di bibirnya tidak pernah lekang.

"Kini kandungan saya telah masuk bulan keempat. Saya menyedari perkara ini semasa kandungan saya berumur empat atau lima minggu.

"Itupun suami saya yang mengetahuinya terlebih dahulu kerana doktor kami menelefonnya dan memberitahu dia khabar ini," ujar anak jati Kuala Lumpur itu.

Apa yang jelas pada majlis tersebut, selera makan Sazzy sememangnya besar - simpton normal wanita hamil.

Sebelum ini, Sazzy belum pernah lagi menghebahkan mengenai kehamilannya itu secara terbuka kepada pihak media.

Namun, apabila diminta untuk mengesahkan mengenai perkara itu, Sazzy tidak menafikannya. Malah lebih menggembirakan, Sazzy mengakui dia hamil anak kembar.


SAZZY dan Nazril bersyukur dengan kurniaan Tuhan buat mereka.


"Saya kini hamil anak kembar," tuturnya sambil tersenyum penuh keterujaan.

Malah, dia turut mengakui dirinya kuat makan sekarang ini dan bagi Sazzy, sebagai seorang wanita yang sedang mengandung, dia tidak patut mengehadkan pemakanannya.

Selain pengambilan vitamin untuk kesihatan bayi dalam kandungannya itu, Sazzy juga mengambil pemakanan yang mengandungi unsur-unsur protein seperti ayam dan daging.

Kasut tumit tinggi

Jika hampir dua tahun Sazzy mengamalkan pescetarianisme iaitu hanya makan sayur-sayuran dan ikan sahaja, namun kini dia perlu mengubah corak pemakanannya itu.

"Sebelum ini, saya seorang yang pescetarian, tetapi kini setelah berbadan dua, saya akan makan sekali atau dua hidangan ayam atau daging.

"Bukan apa, saya perlu mengambil sedikit protein untuk kesihatan saya dan kandungan. Sejujurnya, saya memang seorang yang kuat makan dan akan makan apa sahaja yang saya mahu," ungkapnya sambil diselangi ketawa kecil setiap kali bercerita.

Apa yang dapat dilihat, walaupun kuat makan, sosok tubuhnya masih kelihatan menawan. Menarik sekali, walaupun sedang mengandung empat bulan, Sazzy masih lagi mampu memakai kasut bertumit tinggi pada majlis tersebut!

Sememangnya Sazzy seorang selebriti yang senantiasa mengekalkan gaya dan penampilan menarik di mana dan apa jua keadaannya.

Sazzy kini juga semakin kurang melakukan aktiviti dalam bidang seninya terutama lakonan. Bicaranya, itu kerana dia ingin memberi perhatian kehamilannya itu dan menjaga kesihatan diri dan kandungannya.

Selain itu, Sazzy juga bercadang mahu menyertai aktiviti renang, yoga dan senaman pra lahir kerana itu akan menyenangkan proses kelahiran bayi nanti.

"Apa yang saya tahu, amat bagus jika wanita yang mengandung aktif kerana ia akan memudahkan proses kelahiran bayi nanti. Jadi, aktiviti tersebut untuk saya kekal aktif demi untuk kesihatan saya dan bayi juga," tuturnya sedikit serius.

Sudah menjadi kebiasaan pasangan yang berkahwin, apabila isteri disahkan mengandung, si suami pula akan terkena tempiasnya. Nazril tidak terkecuali.

Suami bertambah berat badan

Bergelak ketawa sepanjang menjawab persoalan itu, Sazzy mengatakan, Nazril sering mengikut rentak pemakanannya semasa mengandung sehingga berat badannya bertambah.

"Dia sering menemani saya makan. Apa yang saya makan, dia akan turut sama menjamah. Akhirnya, berat badan dia yang bertambah, bukan saya," kata Sazzy berseloroh.


TETAP bergaya dan menawan meskipun sudah hamil empat bulan.


"Badannya memang jenis cepat naik, saya tidak. Tetapi, kini dia sudah kawal corak pemakanannya dan berat badan pun sudah kembali seperti dahulu," tambahnya.

Wanita bersuara serak-serak basah itu mengakui pada mulanya dia dan suami pernah merancang mahukan anak perempuan atau lelaki sebagai mutiara hati sulung mereka.

Namun, apa yang menjadi keutamaan buat mereka sekarang ini, hanya mahukan bayi yang dilahirkan sihat dan sempurna.

"Mungkin, permulaan sebelum mengandung, adalah saya memikirkan mahu bayi lelaki atau perempuan. Namun, bila sudah mengandung, perasaan itu tiada dan harapan agar bayi kami sihat sudah memadai," kata Sazzy.

Bertuah sungguh nasib Sazzy mendapat suami penyayang seperti Nazril, kerana katanya, semenjak dia berbadan dua, suami menatangnya bagai minyak yang penuh.

Ujar anak sulung dari tiga beradik ini lagi, suaminya itu akan cuba menuruti apa sahaja kemahuannya.

Nazril juga tidak pernah menghalang perjalanan karier Sazzy meskipun dia sedang mengandung.

"Dia adalah jenis lelaki yang sentiasa menyokong isterinya walau apa jua keputusan saya di dalam karier.

"Saya juga rasakan, suami moden kini bukan lagi seperti itu, yang mahukan si isteri mengikut kemahuan mereka," tegasnya mengenai perjalanannya sebagai anak seni tanah air.

Sedar akan keupayaannya setelah mengandung, Sazzy menjelaskan bahawa dia akan memperlahankan aktiviti seninya. Mungkin berehat seketika daripada bidang lakonan dan meneruskan karier dalam bidang pengacaraan pula.

"Sudah semestinya saya akan berbuat begitu, kerana sebagai seorang ibu, saya harus menjaga kandungan saya ini kerana bagi saya itu bukanlah suatu perkara yang mudah.

"Mungkin saya akan mengambil tawaran pengacaraan atau lakonan tetapi bukan seaktif dahulu seperti masih bujang dan belum punya anak," katanya.

Teruja dengan kehamilan anak sulung, Sazzy sudah menggembleng tenaga bersama ibunya berbincang mengenai perancangan perhiasan bilik bayi mereka nanti.

Jelasnya lagi, waktu pantangnya akan dihabiskan di rumah ibunya. Ini adalah kerana katanya, dia mahu menyerahkan segala urusan tersebut kepada ibu dan neneknya yang lebih berpengalaman dari segi penjagaan selepas bersalin.




"Saya memang perlukan bantuan mereka kerana saya masih lagi baru di alam keibuan. Mungkin sebelum ini saya pernah menjaga bayi, tetapi bukan bayi saya. Perasaan juga tidak sama memiliki anak sendiri," jelas Sazzy sambil mengulas mengenai keriangan ibu bapanya yang bakal menyambut kelahiran cucu pertama mereka.

Buat masa ini, Sazzy banyak menumpukan kariernya ke arah bidang pengacaraan kerana waktunya yang tidak memerlukan komitmen yang lama berbanding lakonan.

Selain sedang sibuk menghias semula rumahnya, Sazzy juga sedang aktif menguruskan syarikat produksi milik bersama rakan baiknya, Ashraf Sinclair iaitu Sinclairfalak Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: