Saturday, December 4, 2010

Endang S Taurina masih mantap


ENDANG sudah menghasilkan 80 buah album.


PEMINAT-PEMINAT artis legenda Indonesia sudah pasti kenal benar dengan nama dan vokal seorang Endang S Taurina yang memiliki nama berdaftar Endang Sukesih Taurina.

Figura itu begitu popular dengan lagu Apa Yang Ku Cari sekitar era 1980-an dahulu.

Sepanjang bergelar artis, Endang telah menghasilkan 80 album di negaranya sendiri dan lagu-lagu nyanyiannya masih lagi diingati walaupun sudah 30 tahun bergelar penyanyi.

Vokalnya masih lagi mantap dan penonton masih lagi terpukau dengan persembahannya. Sehingga ke hari ini, permintaan bagi mengadakan persembahan masih lagi tinggi bukan sahaja di negaranya sendiri malah di Malaysia juga.

“Menyanyi sudah menjadi seperti darah daging saya, jadi agak sukar untuk saya berhenti walaupun pernah sekali terlintas di fikiran saya.

“Tetapi bila saya umumkan hasrat untuk berhenti menyanyi, tawaran datang secara terus menerus. Oleh sebab itu, saya mengambil keputusan untuk meneruskan karier sebagai seniman selagi hayat dikandung badan,” bicaranya yang tidak pernah berasa jemu menghiburkan peminatnya.

Selain aktif dengan aktiviti nyanyian, kini Endang juga sibuk mengendalikan syarikatnya yang menguruskan artis-artis baru di Indonesia bagi tujuan persembahan dan promosi.

Vokalnya yang masih lagi merdu sehingga kini mungkin mengundang pertanyaan apakah rahsia atau petua Endang sehingga boleh mampu utuh bertahan selama lebih tiga dekad.

“Antara petua yang saya amalkan ialah menjaga kesihatan diri. Bagi saya, sebagai penyanyi, suara adalah aset utama.


ENDANG di samping teraju utama drama Cikgu Kemisah Kirkby, Liza Othman.


“Ada banyak manfaat menjaga kesihatan diri dan buktinya sehingga kini saya masih boleh menyanyi,” ujar Endang yang menekankan soal kesihatan dalam kehidupan.

Endang yang dijemput membuat persembahan semasa pelancaran drama Cikgu Kemisah Kirkby di Kuala Lumpur baru-baru ini meluahkan rasa bersyukur kerana dipilih untuk merakamkan lagu runut bunyi drama arahan Raja Ahmad Alauddin yang sedang ditayangkan di saluran TV2 kini.

Drama 26 episod yang ditayangkan setiap Khamis dan Jumaat, pukul 9 malam itu dibintangi Liza Othman, Rozita Che Wan, Ako Mustafa, Linda Hashim, Roy Jalani dan Shahrul Nizam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: