HASRAT mengadakan sesi fotografi bersama Ummie Nazeera iaitu antara pelakon utama untuk filem Hantu Kak Limah Balik Rumah tidak kesampaian. Pelawaan Hip ditolak secara baik oleh gadis ini yang kebetulan pulang ke tanah air selama tiga bulan menghabiskan cuti semester daripada pengajiannya di Australia.
Lagipun, rencananya sepanjang percutian ini dia mahu membantu ibunya menguruskan perniagaan. Pada waktu sama, dapatlah dia mempelajari selok belok ilmu pemasaran daripada ibunya.
Awal-awal lagi sebelum kepulangannya ke sini, Ummie nekad tidak mahu terbabit dengan sebarang aktiviti lakonan mahupun memenuhi undangan fotografi kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan ibunya.
Bagaimanapun, dia akan tetap meluangkan sedikit masa untuk turut terbabit dalam sebahagian aktiviti promosi filem keduanya Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid yang menemui penonton bermula hari ini.
“Saya mahu mengambil kesempatan cuti selama tiga bulan ini untuk berehat seketika daripada sebarang aktiviti seni, kerana ingin memberikan tumpuan kepada bidang perniagaan.
“Disebabkan saya bakal menyambung pengajian di peringkat Ijazah Pemasaran pada Februari nanti, lebih elok jika saya gunakan kesempatan ini untuk belajar selok belok berkaitan pemasaran daripada mama.
“Keputusan untuk menolong mama dan berehat seketika daripada dunia lakonan adalah pilihan saya, bukan atas desakan sesiapa. Memanglah rindu juga pada bidang lakonan tetapi saya harus memberikan keutamaan kepada perkara yang lebih penting. Saya sudah mula bekerja sejak beberapa hari kembali dari Australia, dan sepanjang bekerja dengan mama, saya akan mengikut dia berjumpa dengan pelanggan.
“Dengan cara itu, dapatlah saya belajar cara mama berurusan serta berkomunikasi dengan pelanggan,” kata Ummie yang kali pertama berlakon di bawah arahan Mamat Khalid.
Gadis berusia 20 tahun yang mula terbabit dalam dunia lakonan sejak usia 16 tahun ini, membuka cerita, memang sudah lama dia menyimpan hasrat untuk berlakon di bawah Mamat Khalid.
Justeru, apabila tawaran itu datang kepadanya, dia tidak sanggup menolaknya. Namun begitu, Ummie mengaku, dia tetap melihat kepada skrip dan jalan cerita sebelum menerima filem terbitan Tayangan Unggul itu.
Bekerja di bawah Mamat Khalid memberi pengalaman baru kepada Ummie. Dia mengakui pada mulanya agak segan dan kekok dengan Mamat, tetapi selepas duduk berbincang dengan pengarah berkenaan, dirinya semakin selesa apatah lagi dengan sikap gila-gila sutradara berkenaan.
Malu, kekok dengan Mamat dan Awie
SELAIN Mamat, Ummie juga pada mulanya malu apabila terpaksa berlakon di samping Awie kerana pengalaman serta nama besar yang dimiliki pelakon serta penyanyi itu.
Namun Awie juga ternyata seorang yang baik dan tidak lokek berkongsi ilmu.
“Saya mengaku segan pada mulanya apabila pertama kali bergandingan dengan Awie, tetapi selepas bekerja dengannya, ternyata Awie seorang yang mudah untuk didekati. Dia juga suka menolong menyebabkan saya berasa selesa untuk bekerja dengannya.
“Begitu juga dengan abang Mamat. Mula-mula memang rasa segan dan kekok.
Bagaimanapun selepas duduk berbincang dengannya mengenai gaya lakonan saya, ternyata abang Mamat seorang yang gemar memberi semangat. Karakter dia yang gila-gila juga menyebabkan perasaan malu saya hilang,” katanya.
Bercerita mengenai watak Che Nin, watak berkenaan tidaklah besar tetapi Ummie perlu membawa karakter seorang wanita yang sangat lemah lembut serta terlalu mengagungkan cintanya. Che Nin perlu banyak bermain dengan emosi bagi menunjukkan cinta agungnya terhadap bekas tunangnya Hussein (lakonan Awie).
Kebetulan menyentuh mengenai cinta, soalan berkaitan cinta tidak mahu terlepas daripada diajukan. Khabar angin bertiup mengatakan Ummie kini sedang bermain cinta dengan seorang jejaka yang bertugas di sebuah stesen televisyen.
Difahamkan, jejaka berkenaan kerap berulang alik dari Malaysia ke Melbourne semata-mata untuk bertemu dengannya.
Soalan itu disambut dengan derai ketawa oleh gadis berkulit hitam manis ini sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut.
Katanya, tumpuannya kini adalah pada pelajaran namun dia tidak pernah membataskan dirinya untuk berkawan dengan sesiapa saja.
“Saya berkawan dengan sesiapa saja, manakala dakwaan mengatakan teman lelaki saya datang menjenguk saya di Melbourne tidak benar. Saya mempunyai ramai kawan dan sepanjang setahun berada di sini, sudah ramai rakan-rakan yang datang menjenguk. Setakat ini saya mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran terlebih dulu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: