ADA KENDURI KAHWIN...balai memasak dan khemah tetamu di atas air.
KUNJUNGAN ke Labuan memang tidak lengkap sekiranya tidak melawat ke kampung airnya dan Kampung Patau-Patau Dua menjadi pilihan.
Petang yang redup dan berangin membuatkan suasana kampung yang dihuni oleh kaum Melayu Brunei itu sungguh indah sekali.
Di jalan masuk utama ada pintu gerbang bertulis Selamat Datang dan terus disambut surau yang agak besar, sesuai bagi kegunaan penduduknya.
Rumah kayu yang dibina di atas air mempunyai laluan kayu umpama titi bagi ruang berjalan dan menuju ke setiap rumah.Kami yang pertama kali menitinya kena berhati-hati dan sesekali terasa gayat namun ia tidak menghentikan langkah untuk terus menikmati keunikan kampung air yang popular itu.
Saiz rumah di situ kebanyakannya besar dan luas. Ramai yang turut menghias anjung dengan pokok bunga pasuan menandakan suasana hijau masih digemari bagi meredupkan pandangan.
Senyuman yang dilempar pada penghuninya yang sedang duduk bersantai sentiasa berbalas dan ini membuatkan penulis tidak malu untuk bertegur sapa.
Mendekati masyarakat kampung air memang mengujakan. Memahami budaya mereka juga sangat unik. Penulis sempat singgah di Kedai Runcit Syukurillah dan tuan kedai serta tuan rumahnya menyambut mesra.
Sebenarnya penulis langsung tidak menyangka adanya kedai runcit di situ.
Rupa-rupanya, ada lebih kurang lapan lagi kedai runcit semuanya. Kami dijemput masuk dan dipersilakan duduk di anjung yang luas.
"Di sini ada lebih kurang lapan kedai runcit rumah air untuk memberi kemudahan kepada masyarakat kampung. Ada lebih 300 keluarga dan kami hidup penuh muafakat dan saling kenal mengenali. Lagipun ramai antara kami bersaudara," kata Zainah Sani, 56, sambil tersenyum manis.
Zainah sudah tinggal di Kampung Patau Patau Dua sejak 34 tahun lalu sebaik berumah tangga dengan Asri Asmat, 63. Anaknya empat orang dan dua daripadanya turut tinggal di kampung air yang sama. Hidup di kampung air sudah sebati bagi keluarga Zainah.
Pasangan suami isteri ini bersama-sama mengusahakan kedai runcit mereka sejak lapan tahun lalu.
"Kami menjual pelbagai barangan dapur, daripada beras, sardin sehinggalah ke rempah ratus dan bawang," kata Asri, seorang pesara Jabatan Laut.
Suasana di Kampung Patau-Patau Dua agak meriah keadaannya. Mungkin ada majlis sedang berlangsung, teka penulis.
Rupanya hari itu ada kenduri kahwin. Hati terdetik, bagaimana suasana majlis perkahwinan di kampung air? Bagaimana menampung tetamu yang ramai? Di mana mereka berkumpul dan memasak?
Bagi kita yang tidak biasa tinggal dalam suasana sebegitu, perkampungan rumah di atas air, tentu tidak boleh membayangkan.
Gores Marang, yang tinggal di situ sejak 1980 membawa kami ke rumah yang baru selesai membuat kerja kahwin. Ada khemah untuk tetamu, balai bekerja gotong-royong dan seperti di kampung lain, ada jiran tetangga yang datang membantu memasak. Kerana kenduri sudah berakhir, orang yang menolong sudah beransur-ansur pulang.
Gores, warga Indonesia yang berkahwin dengan anak tempatan sebenarnya sedang bekerja, mengganti atap baru di rumah Asri yang mempunyai kedai runcit itu. Namun dia sudi menunjuk suasana kampung air kepada kami.
"Atap di perkampungan ini perlu diganti lima atau enam tahun sekali. Ia cepat rosak kerana tempias air masin. Lantai rumah jarang rosak, tetapi lantai laluan berkayu mudah rosak kerana cuaca panas dan hujan," cerita Gores sambil menunjukkan kepada kami laluan ke rumah ketua kampung.
Masyarakat di situ tampak sekali akrabnya dan saling kenal mengenali. Dua gadis sunti pulang membawa plastik berisi lauk.
"Mereka baru selesai membantu di rumah kenduri kahwin itulah," beritahu Gores lagi sambil menerangkan bagaimana cara tiang rumah air dibina.
Sebelum sampai ke rumah yang baru selesai kenduri kahwin, kelihatan budak-budak kecil lelaki tidak berbaju, terjun ke laut bermain air. Mereka riang berendam dan terapung-apung. Sekejap naik ke laluan berkayu dan sekejap kemudian terjun kembali ke laut.
Itu perbezaan ketara dengan anak-anak yang rumahnya di darat yang pasti ruang bermainnya di padang atau kawasan tanah lapang. Anak-anak kampung air, lautlah taman permainan mereka.
Sampai di rumah kenduri yang dimaksudkan walau kendurinya sudah berakhir, tetapi kami dapat melihat khemah dan balai bekerja yang belum dibuka kembali.
"Semua ini dibuat secara gotong-royong. Apabila habis kenduri, khemah dan kayu disimpan untuk kegunaan kenduri seterusnya," kata Gores.
Walaupun ia di atas air, suasana pemuafakatan tidak hilang di kampung ini. Balai dan khemah dibina untuk kenduri-kendara sama seperti kenduri di kampung lain juga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: