Monday, December 6, 2010

Idham buktikan kehebatan Digital Mix Stage Finas


Jika sebelum ini, ramai pengiat perfileman tempatan, mendapatkan khidmat sistem audio Dolby Digital di luar negara, seperti Bangkok, Thailand dan juga Mumbai, India, untuk mendapatkan hasil yang terbaik terhadap produk mereka.

Namun kali ini dengan adanya portfolio, Senjakala, mereka tidak perlu lagi ke luar negara kerana segala kemudahan dari segi jadual dan peralatan di studio Digital Mix Stage Finas, adalah yang terbaik di Asia Tenggara dan pasti mampu menarik penerbit filem tempatan juga antarabangsa.

Malah hasil dan kualiti studio pos produksi, Digital Mix Stage Finas, yang selama ini dipertikaikan akhirnya terbukti dengan filem Senjakala yang julung kalinya menggunakan sepenuhnya kemudahan di studio berkenaan.

Filem terbaru arahan Ahmad Idham di bawah produksinya, Excellent Pictures Sdn Bhd, itu telah dijadikan kajian kes oleh pihak lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) setelah ada ura-ura cadangan penswastaan studio berkenaan baru-baru ini.

Bagi Idham, studio itu mempunyai sistem Dolby setaraf dengan produk perfileman antarabangsa termasuk, Australia. Jelas Idham, dia sangat berpuas hati dengan hasil kerja dari studio tersebut.

“Saya pernah menjalani proses adunan bunyi di luar negara untuk filem terdahulu dan ia setanding dengan apa yang ada di Finas sekarang.

“Selain berkualiti, ia dapat menjimatkan kos produksi secara keseluruhannya. Malah saya berpuas hati dengan hasil Senjakala yang menggunakan khidmat studio ini,” kata Idham yang juga Ahli Lembaga Pengarah di perbadanan itu.

Idham berkata, kehebatan studio Digital Mix Stage Finas turut mendapat pujian Penasihat Dolby Digital, Bruce Emercy.

“Beliau pernah memberitahu saya, hasil kerja anak tempatan ini boleh dibanggakan kerana ianya setaraf hasil studio terbaik yang berada di Australia.

“Ini merupakan satu penghargaan kepada tenaga kerja studio Digital Mix Stage khasnya dan produksi Senjakala kerana ia pengiktirafan yang mampu menarik minat syarikat produksi tempatan mahu pun luar negara untuk menggunakan kemudahan di studio ini,” katanya selepas selesai sesi tayangan tertutup Senjakala.

Sementara itu, Pengerusi Finas, Datuk Mohammed M Daud, turut berpuas hati dengan kualiti yang ada pada studio Digital Mix Stage, setelah menonton sendiri kehebatan Senjakala.

“Ianya membuktikan, kemudahan dan tenaga kerja di sini akan dapat memenuhi keperluan industri perfileman tempatan. Dengan cara ini, industri perfileman kita akan lebih maju dan berdaya saing dengan studio digital luar negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: