Monday, December 6, 2010

Scha akui sudah ‘berborak’ mengenai perkahwinan


Sejak muncul dalam drama bersiri Awan Dania, nama Scha Al Yahya semakin mendapart tempat. Lakonan yang berkesan membuatkan dirinya semakin dikenali. Tidak hanya itu, kisah cintanya sering menjadi perhatian umum.

Pengalaman putus cinta bersama selebriti tidak mematahkan semangatnya untuk mencintai dan dicintai. Bertemu Awal pada saat diri keseorangan, Scha mengakui amat bahagia dalam meniti hari sebagai pasangan kekasih.

Kini setelah setahun memadu kasih, Scha akui sudah mula berborak mengenai perkahwinan bersama Awal.

“Nak kata kami berbincang tu mungkin tidak, tapi kami sudah mula berborak mengenai perkara itu. Saya senang dengan Awal yang sangat mengambil berat dan menghargai diri saya. Kami ada keserasian dan senang untuk berbincang.

“Setakat ini, kami memang bahagia. Cuma kalau ditanya mengenai lanjutan kisah cinta kami tu, memang tak dapat saya nak cakap sebab ia masih terlalu awal.

“Lagipun kami masih mengenali hati budi masing-masing. Proses mengenali tu bagi saya tak akan tamat sampai bila-bila. Setiap hari pasti ada yang kita tak tahu mengenai si dia. Jadi, kami masih di peringkat permulaan lagi,” katanya dengan nada gembira.

Pernah digandingkan di dalam drama Prebet Jamilah bersama Awal, Scha akui Awal seorang lelaki yang bijak dan pandai mengambil hati.

“Alhamdulillah, hubungan kami mendapat restu daripada keluarga kami. Walaupun kadang-kadang ada juga terdengar caka-cakap minta kami cepat-cepat kahwin, tapi mereka juga faham kerjaya kami sebagai anak seni.

“Kalau ikutkan mak saya, tak ada majlis pertunangan, terus kahwin sahaja, tapi nanti dululah kerana saya mahupun Awal mahu kukuhkan diri kami dalam bidang seni ini dahulu. Bila semua dah ok, insyaAllah kami akan khabarkan berita gembira kepada semua,” katanya lagi.


Awal hadiah kad dan hadiah

Katanya lagi, walaupun Awal seorang yang tegas, namun Awal juga seorang lelaki yang sangat romantis. Buktinya, Awal telah menghadiahkan sekeping kad dan hadiah istimewa sempena setahun hubungan mereka.

“Saya agak terkejut dengan kejutan yang diberikan Awal kepada saya. Rasa dihargai sangat. Tak sangka akan dapat hadiah dan kad. Itu yang membuatkan saya lebih menyayanginya,” katanya sambil merahsiakan hadiah pemberian Awal kepadanya.

Menurut Scha lagi, dia amat berharap hubungan dengan Awal akan berkekalan dan dapat diakhiri dengan sesuatu yang baik.


Saya tak pernah benci wartawan

Baru-baru ini, timbul dakwaan mengatakan Scha telah memberikan kata-kata kurang menyenangkan dan ditujukan secara sengaja kepada pihak wartawan. Antara kata-kata tersebut berbunyi ‘bunch of monkeny in productions’ yang telah mencetuskan tanda tanya terhadap Scha. Apakah Scha benar-benar membenci pihak media?

Pun begitu, Scha mengakui tidak pernah membenci wartawan apatah lagi memberikan kata-kata kurang enak terhadap wartawan dan media. Scha yang agak terkejut dengan dakwaan itu mengakui tidak bermaksud apa-apa.

“Saya mengaku memang saya yang taip ayat tu. Tapi saya tak tujukan kepada sesiapa pun lebih-lebih lagi pihak media. Saya ambil tu daripada kawan saya yang ada syarikat produksi. Tapi saya tak ada niat apa-apa. Ia secara umum sahaja.

“Tiba-tiba ada seorang pelakon baru yang seakan berlebih-lebih pula. Pada saya, saya tak mahu panjangkan perkara ini kerana saya pun tak kenal artis itu dan tak perlulah saya nak buat apa-apa.

“Cuma saya berharap ia tidak berlarutan kerana saya memang tak tujukan kepada wartawan. Saya agak risau juga kalau saya tak betulkan nanti hubungan baik saya dengan wartawan akan terjejas,” katanya.


Awan Dania 3

Drama bersiri Awan Dania terus mendapat sambutan hingga dilanjutkan kepada musim ketiga. Mula ditayangkan pada 22 November baru, ia turut memberi perubahan baru terhadap siri itu.

Scha yang bangga dengan kejayaan Awan Dania merasakan puas dapat memberi sesuatu kepada penonton.

“Saya teruja kerana drama ini sudah masuk musim ketiga. Tapi ia masih ada penonton setia. Tak banyak beza lakonan saya dengan musim lalu.

“Cuma watak saya kali ini saya dinaikkan pangkat sebagai pramugari eksekutif di Syarikat Penerbangan D’nest yang menyediakan perkhidmatan jet peribadi.

“Cabaran bermula apabila Dania yang terpaksa menempuh pelbagai dugaan sebelum dapat menggalas tanggungjawab yang diberi. Walaupun kurang berpengalaman dalam perniagaan kabin kelas pertama. Tambahan berlakon dengan Gambit, satu pengalaman baru buat saya,” katanya lagi.

Kelainan drama ini apabila pihak produksi Nusantara Seni Karya Sdn Bhd telah melakukan sesi penggambaran di luar negara iaitu di Seoul, Korea dan Perth, Australia.

Menampilkan watak baru seperti Gambit Abdullah, Marsha Londoh, Memey Suhaiza, Dynas, Irma Hasmie dan ramai lagi Awan Dania akan disiarkan setiap hari Isnin pada jam 10 malam di saluran Astro Ria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: