SUDAH hampir satu jam Yaman Ibrahim, 44, berdiri berhampiran sebuah gerai durian yang terletak di kaki lima berhampiran Jalan Alor di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu.
Tangannya yang menggenggam erat kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) jenis Nikon D3 yang disangkut pada leher dirasakan sedikit kebas, kakinya juga tidak terkecuali. Bagaimanapun, lelaki bertubuh rendah dan berbadan sasa ini, masih belum berganjak dari tempatnya.
Yaman sedar ada mata-mata liar yang memerhatikannya. Namun, dia tidak ambil pusing. Perhatiannya masih tertumpu di hadapan gerai peniaga berketurunan Cina itu.
Dia tidak mahu terlepas sebarang aksi dan gelagat pelanggan yang singgah di gerai itu, jika tidak sia-sia dia bergelumang dengan debu dan menghirup asap kenderaan yang lalu-lalang.
Jika beberapa tahun lalu, Yaman tidak bersusah-payah begitu. Selaku pengarah kanan kreatif dan multimedia di sebuah syarikat penerbitan di ibu negara, dia mempunyai unit jurugambar yang boleh diarahkan melakukan tugas itu.
Dia boleh duduk selesa di atas kerusi empuk ruang pejabatnya yang berhawa dingin, cukup bulan terima gaji. Namun, kepuasan yang hilang dalam berkreativiti akhirnya menyebabkan lelaki itu rela melepaskan keselesaan yang dikecapinya. Dia mahu mengejar impiannya menjadi seorang jurufoto.
Mencipta gambar
Lamunannya terhenti secara tiba-tiba. Dua orang pelancong asing yang melintas di hadapan gerai menarik perhatiannya. Tatkala si bapa berjalan tenang, si anak pula kelihatan seperti terseksa menikmati aroma durian yang tajam.
Yaman tersenyum puas, itulah aksi yang ditunggu-tunggu. Reaksi spontan kanak-kanak itu menutup hidung dengan bajunya, memegang perut dan mimik muka loya akhirnya tersimpan rapi dalam memori kamera Yaman.
Biarpun ia dirakamkan kira-kira dua tahun lalu, namun ia sesuatu yang besar bagi Yaman. Gambar yang menceritakan wajah-wajah di Kuala Lumpur itu telah diangkat sebagai pemenang tempat pertama pertandingan fotografi Picture KL 2008.
“Gambar yang baik tidak selalu datang kepada kita. Kita perlu mencari, melihat dan mencipta gambar, agar gambar yang dihasilkan tidak sama seperti orang lain,” katanya berfalsafah.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata, biarpun berkebolehan menghasilkan karya yang mencakupi pelbagai tema, namun dia lebih selesa merakamkan fotografi berbentuk dokumentari dan jalanan.
Ujarnya, elemen kehidupan dan kemanusiaan yang sering mendasari kedua-dua tema itu cukup dekat dengan jiwanya dan menarik untuk diterjemahkan melalui lensa kamera. Merakamkan gelagat manusia di jalanan menjadi kegemaran Yaman. Kata Yaman, fotografi di jalanan lebih dekat untuk menggambarkan kehidupan sebenar rakyat Malaysia.
“Saya gemar merakam gambar-gambar yang mempunyai mesej cerita, ekspresi dan emosi kerana ia mampu menghubungkan jiwa-jiwa manusia,” jelasnya yang menetap di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Namun, kata Yaman, bermain dengan subjek hidup seperti manusia memerlukan seseorang jurugambar memahami pelbagai faktor bagi menonjolkan subjek tersebut.
Tambah Yaman, faktor kedudukan subjek, pencahayaan dan teknik yang betul bagaimana untuk berinteraksi dengan subjek penting bagi memastikan foto yang dirakamkan menarik dan tidak kaku.
“Ia ibarat menghasilkan lukisan di atas kanvas kerana selain memerlukan pengetahuan tentang fotografi, seseorang itu perlu kreatif dan sedikit sebanyak mempunyai jiwa seni,” katanya yang berpengalaman bekerja di dalam bidang penerbitan lebih lapan tahun. Pengalaman tersebut banyak membantunya memahami aspek dimensi dan pengimejan dengan lebih jelas.
Kebetulan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya (UM) ini berdarah seni.
“Dulu saya sering melukis mural di sekolah. Malah, ketika bergelar guru sebelum ini pun saya turut mengajar subjek pendidikan seni,” kata bapa kepada dua cahaya mata iaitu Farahanis, 19 dan Faris, 16.
Menurut Yaman, pembabitannya dalam bidang fotografi bermula kira-kira empat tahun lalu.
Dia mendekati anak-anak buahnya untuk belajar fungsi teknikal kamera DSLR. Internet dan laman-laman rangkaian perkongsian sosial seperti Flikr juga membantunya. Malah, dia juga tidak malu menyertai kelas fotografi.
“Saya berhenti kerja dua tahun lalu dan sejak itu saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi,” katanya.
Perkenalannya dengan rakan-rakan sealiran seperti Bazuki Muhammad, seorang jurugambar profesional yang terkenal di kalangan pengamal media dan peminat fotografi di negara ini banyak membantunya mendalami bidang tersebut.
Bagaimanapun, perjalanannya penuh ranjau berduri. Bidang itu bukan sahaja menuntut kesabaran yang tinggi malah pengorbanan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.
Pengalaman diherdik oleh sekumpulan wanita ketika Yaman asyik mengambil gambar mereka membeli-belah di sebuah pasar raya, pelanggan yang memperlekehkan karyanya sedikit pun tidak melunturkan semangatnya.
“Itu merupakan asam garam yang perlu dilalui oleh seorang jurugambar. Saya positif, tiada istilah kecewa sebaliknya hanya keinginan untuk memperbaiki diri,” kata Yaman.
Melihat karya yang tersimpan di studio miliknya, Neo Edition yang terletak di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur jelas Yaman gemar menjadikan kanak-kanak dan warga emas sebagai subjek utamanya.
Merakamkan gambar kanak-kanak satu kepuasan kerana ekspresi dan emosi yang dipamerkan tulus dan ikhlas. Mereka tidak berpura-pura.
Terbitkan buku
“Begitu juga dengan warga emas, saya suka mendengar pengalaman hidup mereka. Sedikit sebanyak kisah itu saya cuba tonjolkan melalui lensa kamera,” ujarnya sering mendapat galakan isterinya, Rita Aziz, 30.
Sejak itu, Yaman aktif mengembara hampir ke seluruh pelosok negara bagi mendapatkan rakaman terbaik di samping meneroka kepelbagaian masyarakat serta adat dan budayanya.
Kunjungannya di sebuah kedai buku kerana mahu mencari bahan rujukan mengenai fotografi Malaysia membuatkan lelaki itu tersedar daripada lena.
Selama ini, kebanyakan bahan rujukan yang terjual dipasaran dihasilkan dari kaca mata orang luar. Lidahnya kelu melihat nama-nama Inggeris tertera pada senarai nama penulis, jurugambar dan penerbit. Rata-ratanya bukan anak tempatan.
Situasi itu menyemarakkan semangat Yaman untuk menerbitkan buku bertajuk, Malaysia The Walk of Life yang diterbitkan bulan lalu.
Buku yang mengandungi 180 keping gambar koleksi peribadi Yaman yang dikumpulkannya sejak lima tahun lalu itu dihasilkan dalam versi bahasa Inggeris.
“Saya harap buku ini mampu menceritakan perspektif budaya, adat resam dan masyarakat di negara ini dengan lebih dekat kepada pelancong asing.
“Saya berharap untuk menjelajah ke negara-negara Asia dan bercadang menerbitkan buku yang sama mengenainya,” jelasnya.
Bersempena pelancaran buku terbaru itu, Yaman turut mengadakan pameran fotografi bertajuk, Malaysia The Walk of Life yang akan diadakan bermula 29 Disember 2010 hingga 14 Januari 2011 di Map KL, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Adakah Yaman menyesal meninggalkan dunia seni bina yang boleh memberikan masa depan yang jauh lebih baik daripada menjadi seorang jurugambar?
Jawab Yaman, fotografi adalah kerjaya yang serasi dengan jiwanya dan mampu memberinya kepuasan.
“Saya sering mengingatkan diri, jika orang lain boleh buat, kenapa tidak saya,” ujarnya penuh makna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: