Friday, December 10, 2010

David Teo berpuas hati


DAVID TEO bersama barisan karyawan drama Takut Bini Sayang Suami.


KEJAYAAN drama bersiri Metrowealth Movies Production (MMP), Siti Kelembai yang ditayangkan di slot Lagenda tidak dapat dinafikan lagi berdasarkan kenaikan rating di saluran TV3 sepanjang siarannya.

Sehubungan itu, MMP sekali lagi telah diberi kepercayaan untuk menghasilkan sebuah lagi drama bersiri yang bermatlamat untuk meraih rating yang tinggi berjudul Takut Bini Sayang Suami yang sedang ditayangkan di saluran TV9, pukul 9 hingga 9.30 malam.

Takut Bini Sayang Suami menampilkan Zul Yahya dan Putri Mardiana yang memegang watak utama sebagai pasangan suami isteri yang berlainan 'darjat', yang mana si suami berpangkat rendah dan si isteri pula berpangkat tinggi dalam kerjaya masing-masing.

Drama genre komedi kekeluargaan ini diserap dengan pengajaran berserta emosi dalam percintaan dan kekeluargaan masyarakat dalam menangani kehidupan di kota metropolitan.

Mengenai penceritaan Takut Bini Sayang Suami, ia adalah sebuah drama yang menonjolkan masalah biasa keluarga yang mempunyai masalah dalaman akan tetapi sebelum ini ia kurang ditonjolkan drama atau filem.

Walaupun judulnya seperti biasa didengari di mana-mana filem atau drama, namun Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), David Teo menjelaskan MIG menampilkan koleksi penceritaan yang eksklusif dari segi perjalanan ceritanya.

Skrip, konsep, judul dan penceritaan, kesemua gabungan mantap itu dihasilkan oleh panel MIG sendiri. "Ia amat sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Bagi saya, ini juga adalah salah satu cara untuk menggilap bakat kanak-kanak.

"Konsep kekeluargaan yang ditampilkan dalam drama ini juga bersesuaian dengan konsep TV9 sendiri," ujar David.

Projek drama itu merupakan kali pertama gabungan MMP bersama pengarah berbakat Along Kamaruddin untuk penghasilan drama.

"Saya sentiasa beri peluang kepada pengarah muda atau yang berpengalaman bekerjasama dengan syarikat produksi kami," ujarnya.

Kini setelah dua tahun aktif menghasilkan drama-drama untuk siaran TV, David berpuas hati dengan perkembangannya. "Kebanyakan drama hasil terbitan MIG akan berada dalam senarai Top 5 drama paling tinggi jumlah penonton.

"Gabungan antara pengarah berpengalaman dan baru juga boleh mencetuskan fenomena dalam sesebuah pembikinan filem atau drama," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: