|
|
TAHUN ini genaplah usia Elly Mazlein 30 tahun. Kalau mengikut yang pernah direncanakan oleh wanita berbibir mungil ini, katanya dia mahu menamatkan zaman bujangnya pada tahun 2010.
Namun apabila melihat pada kalendar, sekarang sudah pun masuk bulan Disember dan tak lama lagi tirai 2010 bakal dilabuhkan. Tetapi tiada pula khabar gembira daripada si penyanyi dan ratu drama Melayu ini.
Ketika berpeluang bertemu mata dengannya dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini, Elly ditanya mengenai perancangannya untuk berkahwin.
Makin bergetar hati apabila mata ternampak-nampak kilauan cincin yang terikat elok di jari manis empunya diri.
Apalagi, maka timbullah bermacam-macam andaian mengenai dirinya yang mungkin benar sudah bergelar isteri kepada seorang lelaki yang masih lagi menjadi misteri.
Pertanyaan lantas terus dihala kepadanya. Tetapi, wanita kelahiran Slim River, Perak ini langsung tidak melenting mahupun menunjukkan reaksi marah.
“Saya masih seperti dahulu, sangat sukar membuka mulut mengenai soal peribadi. Soal cincin ini saya tidak mahu komen. Lagipun saya memang suka memakai aksesori. Jadi tak seharusnya cincin yang saya pakai ini menjadi isu,” katanya.
Mengakui masih belum mahu membuka rahsia mengenai hal peribadi, Elly bagaimanapun menolak bahawa dia cuba bersikap stereotaip seperti mana sesetengah artis yang cuba lari daripada mendedahkan kebenaran.
“Tidak, saya bukan tidak mahu berkongsi mengenai berita baik dengan masyrakat terutamanya peminat saya.
“Saya tahu perkahwinan adalah satu perkara yang baik, tetapi saya lebih suka jika saya menyimpan ia sebagai sebahagian daripada hak peribadi.
“Tunggu sahajalah, sampai masa nanti saya akan beritahu kepada semua, itu janji saya. Cumanya, buat masa sekarang saya lebih suka berahsia,” katanya sambil menyimpul senyuman.
Mengakui tidak peduli dengan cakap-cakap orang terhadap dirinya, kata Elly dia lebih gemar membuka mindanya terarah kepada pemikiran yang positif.
Imej ala Wonder Girls
Gelombang pengaruh Kpop yang sinonim dengan artis dan selebriti negara Korea di Malaysia rupa-rupanya tidak hanya terkena pada kelompok peminat fanatiknya sahaja.
Kalau anda perasan, Elly Mazlein juga turut ‘berjangkit’ pengaruh Kpop ini. Malah, ia boleh dilihat apabila dia kerap muncul dengan imej yang trendy dan comel dan terkadang nampak seperti Wonder Girls pula. Kongsi Elly, sebagaimana jutaan peminat fanatik Kpop, dia juga mengaku Korea sangat dekat dengan hatinya.
“Saya memang suka menonton drama Korea begitu juga dengan lagu-lagu mereka. Malah, saya juga punya banyak koleksi drama Korea di rumah.
“Saya juga pernah ke Korea semasa menjalani sebuah pengambaran drama di sana. Apa yang saya perhatikan, imej gadis dan wanita Korea sangat trendy. Macamanalah tak jatuh cinta.
“Cara mereka berpakaian memang menarik. Memang ada yang kata imej wanita Korea seksi, tetapi tak semua begitu. Imej sopan mereka juga tampak menarik dan bergaya.
“Kalau ada yang kata imej saya macam mereka, maka saya jawab ya..apa salahnya. Yang penting tak seksi,” katanya.
Please Forgive Me
Diam tak diam, Elly Mazlein sebenarnya sudah merancang untuk kembali mewarnai dunia seni suara selepas puas muncul sebagai pelakon di skrin televisyen.
Kalau benar perkara ini berlaku, maka ia pastinya dapat mengubat rindu peminat-peminat yang sabar menanti kehadiran album Elly selama lima tahun.
Mengesahkan perkara itu, kata Elly, buat masa ini semua lagu sudah disiapkan dan hanya menunggu masa untuk dilancarkan.
Bercerita lanjut, menurut Elly, lagu yang bakal menjadi taruhannya berjudul Please Forgive Me ciptaan penuh komposer terkenal Julfekar.
Saat diaju soalan mengapa judul lagu tersebut menggunakan bahasa Inggeris, Elly berkata, ia adalah sebahagian daripada usahanya untuk memberi sesuatu yang baru dan segar dalam industri muzik tanah air.
“Memang tajuknya dalam bahasa Inggeris, tetapi kalau dalam lagu hanya satu perenggan sahaja yang menggunakan bahasa Inggeris, selebihnya bahasa Melayu.
“Selain Please Forgive Me, lagu berjudul Kata Saja I Love You turut dijangka menjadi hits. Malah lagu itu juga merupakan lagu runut bunyi untuk filem Awan Dania The Movie yang bakal ditayangkan tak lama lagi,” ujarnya.
Selain itu, Elly sempat membocorkan rahsia mengenai konsep albumnya yang dikatakan turut mempunyai pengaruh Kpop seiring dengan imejnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: