Wednesday, December 8, 2010

Cetak rompak jejas karya Bangladesh


AZAM di kediamannya yang serba sederhana di tengah Dhaka, Bangladesh.


KEGIATAN cetak rompak yang semakin berleluasa dalam industri muzik telah menyebabkan ikon pop Bangladesh, Azam Khan, terpaksa menjalani kehidupan papa kedana.

Lebih malang, bintang berusia 61 tahun yang dihormati kerana memodenkan industri muzik Bangladesh telah didiagnosis menghidap kanser mulut pada tahun ini. Dia terpaksa menagih simpati daripada peminat termasuk Perdana Menteri Sheikh Hasina untuk dana rawatan menyelamatkan nyawanya.

"Saya telah merakamkan 17 album terlaris sepanjang kerjaya saya tetapi saya hanya memperoleh royalti kurang daripada AS$10,000 (RM31,500)," kata Azam dari katil di dalam rumah dua bilik yang sederhana di Dhaka.

"Jika saya mempunyai album laris sebanyak ini di Eropah, saya sudah memiliki sebuat jet peribadi. Berbeza pula apabila berada di Bangladesh, pemandu-pemandu lanca akan memberikan saya tunggangan percuma kerana rasa simpati," tambahnya.

Pengalaman Azam merupakan satu contoh terbaik trend global yang menunjukkan permintaan muzik meningkat tetapi cetak rompak jalanan menjadi masalah utama. Muzik disalin melalui cakera padat dan dimuat turun daripada Internet sewenang-wenangnya hingga melumpuhkan syarikat rakaman dan artis terbabit.

Menurut pakar, cetak rompak jalanan merupakan masalah utama di Asia kerana pilihan pengguna membeli atau memuat turun muzik secara sah amat terhad. Sebagai contoh, kedai iTunes Apple Inc. masih tidak banyak di rantau Asia.

"Sukar bagi pengguna mendapatkan album yang asli sedangkan salinannya yang tidak sah didapati dengan banyak cetak rompak," kata Kumar Bishwajit yang mengetuai Persatuan Pemilik-Pemilik Industri Muzik Bangladesh.

Justeru itu, kecurian harta intelektual merupakan satu industri yang berkembang maju di Bangladesh dan senario tersebut secara langsung telah memusnahkan industri muzik tempatan, kata Nazmul Haq, pemilik firma muzik G-Series.

Gulung tikar

Sejak lima tahun lalu, sebanyak 10 syarikat rakaman terkenal yang mengutamakan bahasa Bangladesh telah gulung tikar malah syarikat komunikasi utama secara rutin telah mencuri lagu-lagu popular untuk digunakan sebagai nada dering tanpa membayar royalti, katanya.

"Kalau kita mempunyai album popular, kita hanya boleh menjana wang ketika hari pelancaran sahaja. Keesokannya, cakera padat haram akan membanjiri pasaran dan dijual pada harga lebih murah," tambahnya.

Berdasarkan senarai yang disediakan oleh Business Software Alliance (BSA) bagi 2009, Bangladesh bukan sahaja menghadapi masalah cetak rompak muzik tetapi merupakan negara Asia yang mempunyai kadar tertinggi perisian komputer cetak rompak.

Secara global, kerugian disebabkan perisian cetak rompak adalah melebihi AS$50 bilion (RM158 bilion) pada tahun 2009 dengan AS$16.5 bilion (RM52 bilion) daripada jumlah itu berlaku di rantau Asia Pasifik, kata BSA. Di Bangladesh, kira-kira 91 peratus perisian yang digunakan adalah yang dicetak rompak.

Ia merupakan berita buruk kepada pembangun perisian Bangladesh, kata Mostafa Jappar, Ketua Majlis Komputer Bangladesh yang menjadi perintis hakcipta reka bentuk set aksara bahasa Bangla pada tahun 1989.

"Sebanyak 10 juta komputer di Bangladesh menggunakan rupa bentuk set aksara saya tetapi kurang satu peratus yang menggunakan salinan asli," katanya sambil menambah cetak rompak telah mengakibatkan dia kerugian berjuta ringgit.

"Keadaan ini telah melemahkan usahawan daripada membangunkan lebih banyak perisian bahasa Bangladesh hingga menyebabkan negara terpaksa menyediakan pekerjaan baru," tambahnya.

Penjara 10 tahun

Bangladesh sedang berusaha memerangi lanun cetak rompak dengan memperuntukkan undang-undang lebih komprehensif pada tahun 2000. Ia telah dikemas kini pada tahun 2005 dengan menetapkan hukuman penjara 10 tahun terhadap pesalah lanun cetak rompak dan menubuhkan pasukan polis elit, Rapid Action Battalion (RAB).

Menurut perangkaan RAB, sejak 18 bulan lalu sehingga September tahun ini, pasukan RAB telah melaksanakan lebih 500 serbuan, menahan 1,050 orang yang disyaki lanun cetak rompak dan merampas lebih dua juta cakera padat serta memfailkan 375 kes.

"Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan yang diharapkan," kata Ketua Sayap Anti Cetak Rompak RAB, Mejar Masum Ahmed. Dia juga menambah kebanyakan rakyat Bangladesh tidak menyedari membeli produk cetak rompak merupakan satu jenayah.

Serbuan yang dilakukan memberi tumpuan terhadap muzik, perisian dan filem yang menjadi sasaran utama lanun cetak rompak. Pada bulan Mac, pasukan Masum telah menahan lanun cetak rompak filem dan pemeras paling dikehendaki negara itu, Biplab.

Biplab, yang menggunakan satu nama, akan menyalin filem pada hari pertama ia ditayangkan dan menghubungi pengeluar filem berkenaan untuk memeras wang tunai dalam jumlah besar sebagai syarat perjanjian tidak menjual filem terbabit di pasaran ataupun rangkaian televisyen kabel.

"Saya tidak tahu jika ada penerbit filem di negara ini yang tidak pernah menerima ancaman daripada Biplab. Sejak tiga tahun lalu, dia telah menjadikan industri perfileman sebagai 'tebusan'," kata pengarah dan penerbit filem, Motaleb Hossain.

Pengeluaran filem

Disebabkan ancaman Biplab, pengeluaran filem tempatan telah mengecil sehingga jumlahnya kurang daripada 50 filem setahun berbanding 100 filem setahun pada sedekad lalu, kata Hossain, yang merupakan Presiden Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Bangladesh.

Walaupun kejayaan kecil seperti penangkapan Biplab, Ketua Penguat kuasa Hak Cipta Kerajaan, Manjurur Rahman berkata, tindakan itu langsung tidak menjejaskan empayar lanun cetak rompak.

"Dari segi teknologi, pemasaran dan operasi kegiatan cetak rompak telah menjadi semakin canggih.

"Kita perlu menyedarkan orang ramai bahawa hak cipta adalah penting dan cetak rompak tidak akan memberi hasil jangka panjang. Jika ia berterusan, kita tidak akan mempunyai muzik, filem dan perisian Bangla lagi," kata Manjurur.

Tidak seorang pun daripada dua anak lelaki Azam Khan mengikut jejak haluan ikon pop berkenaan menceburi bidang muzik.

Mereka telah memilih kerjaya di pejabat, yang menurut Azam dalam nada penuh kesal, membayar gaji yang lebih banyak daripada menjadi bintang pop di Bangladesh.

"Ia amat sedih apabila lanun cetak rompak memperoleh berjuta-juta ringgit melalui album saya tetapi saya terpaksa menagih simpati meminta bantuan kewangan untuk rawatan perubatan," luahnya sebelum menjalani rawatan kemoterapi yang dibiayai penderma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: