Monday, December 27, 2010

Bront tidak berubah




TUJUH tahun bergelar seorang pelakon, tetapi baru tahun ini nama Bront Palarae mula menjadi tumpuan.

Semuanya kerana anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu berjaya meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Belukar pada Festival Filem Malaysia ke-23 pada 24 Oktober lalu.

Rupa-rupanya, pengiktirafan terhadap dirinya tidak terhenti di situ sahaja. Mengulangi kejayaan yang sama, Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin sekali lagi meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem juga menerusi filem yang sama pada Anugerah Skrin 2010 yang berlangsung Sabtu lalu, di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Dua kemenangan yang diperolehi tahun ini, meletakkan Bront pada tahap yang berbeza. Dia kini tersenarai dalam kalangan pelakon kelas A seiring dengan popularitinya yang semakin bertambah.

Meskipun begitu, Bront yang ditemui sejurus usai pengumuman senarai pemenan majlis anugerah tersebut memberitahu dia masih dalam proses menyesuaikan diri, dengan tumpuan yang diperolehinya hari ini.

"Saya bersyukur dengan anugerah yang saya terima dan masih terkejut dengan pengiktirafan yang diberikan. Secara jujur, saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan tumpuan orang kerana saya tidak rasa saya popular, popular ke?," soalnya kembali.

Tegasnya, meskipun dia semakin ligat berlakon dan sudah memenangi dua anugerah yang besar tetapi tiada perubahan yang besar berlaku dalam hidupnya.

"Saya masih Bront yang dulu, sama, tidak berubah pun. Bayaran lakonan yang saya terima masih sama. Kalau nak kata peminat mula kenal saya, mungkin juga, tetapi situasi itu sudah berlaku sejak saya membintangi drama bersiri Sindarela.

"Setakat hari ini tidak ada situasi yang buat saya rasa popular. Kalau saya keluar ke mana-mana, masih ramai orang yang buat tidak tahu dengan saya yang mana saya rasa itu adalah situasi normal.

"Cuma kadangkala ada orang minta bergambar, baru saya sedar ada juga orang minat saya. Selama ini, saya berlakon kerana minat bukannya mahu popular," katanya yang pernah menjadi pengacara Beat TV bersama pengacara dan pelakon, Dynas Mokhtar.

Bonus dan impak


BRONT lebih gemar dikenali kerana hasil kerja berbanding heboh dengan kisah peribadi.


Tidak menyifatkan pengiktirafan yang diterima terlalu lewat kerana baginya kejayaan hari ini merupakan permulaan buatnya.

"Kalau ikutkan agak awal, saya baru berusia 32 tahun belum tua sangat (ketawa). Saya seronok buat kerja yang saya suka, bila orang bagi anugerah itu saya terima dengan hati yang terbuka.

"Bagi saya, apa yang diperolehi hari ini adalah satu permulaan kerana ada orang seni yang sudah berbelas tahun berlakon dan berkarya tetapi belum dapat sebarang pengiktirafan walaupun mereka bagus.

"Anugerah ini satu bonus, apa yang lebih penting adalah impak sesebuah karya kepada penonton kerana satu anugerah tidak akan diperolehi tanpa kerjasama seluruh tenaga produksi," balas Bront yang berdarah Melayu-Pakistan sebelah ibu dan Siam-Cina sebelah bapanya.

Jarang muncul dalam majalah ataupun akhbar untuk tujuan publisiti membuatkan ramai peminat yang kurang mengenali Bront. Jika ada pun, semuanya menceritakan perihal kerja. Akuinya, dia lebih suka peminat mengenalinya menerusi kerja-kerja seninya bukannya kisah peribadi.

"Saya lebih suka orang kenal saya melalui kerja dan kejayaan berbanding kisah peribadi, lagi pun tidak ada kisah peribadi yang boleh saya ceritakan.

"Lebih baik popular kerana kerja, ada pelakon seangkatan saya yang pernah popular sudah tidak kelihatan.

"Akhirnya yang tinggal adalah kualiti kerja bukannya populariti. Jadi untuk kekal dalam industri, saya seorang pelakon yang memilih karya, jika watak yang ditawarkan pernah saya bawa sebelum ini, saya tidak akan ambil," ujarnya lagi.

Watak Nik seorang penyiasat insurans dalam filem Belukar membawa tuah kepada Bront, tetapi tegasnya disebabkan pengarah filem itu Jason Chong, merupakan seorang pengarah yang bagus, sesiapa sahaja yang memegang watak Nik selainnya juga akan menang.

"Saya berterima kasih kepada Jason kerana beri watak itu kepada saya. Dia seorang pengarah yang bagus. Kalau watak Nik itu diberi kepada pelakon lain, saya percaya orang itu turut akan bawa pulang anugerah.

"Kerjasama yang baik dalam seluruh produksi dan watak Nik itu sendiri memang agak berat menyebabkan saya dapat anugerah ini," tuturnya dalam senyuman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: