
MAJLIS Anugerah Industri Muzik (AIM) yang diusahakan sejak 17 tahun lalu oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) akan mengalami beberapa perubahan di bawah pucuk pimpinan barunya dengan Norman Abdul Halim, yang dilantik pengerusi bagi mengendalikan organisasi itu untuk penggal 2010 hingga 2012.
Norman berkata, RIM bukan memfokus kepada majlis anugerah yang meraikan karyawan muzik Malaysia itu semata-mata, malah akan membawa pembaharuan dengan memperkenalkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Muzik.
Menerusi pelan itu, RIM antara lain akan mewujudkan semula carta-carta lagu popular di stesen-stesen radio yang dibahagikan kepada bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil. Selain itu, forum-forum muzik akan diadakan dengan menjemput tenaga pengajar dalam bidang muzik, penyiaran, syarikat rakaman dan strategi dalam pemasaran bagi mencapai hasrat tersebut," jelasnya pada sidang media baru-baru ini.
Sesuai dengan kewujudan RIM sejak 32 tahun lalu, pelan yang diperkenalkan itu bukan perancangan jangka pendek atau sekadar mengikut acara yang bersifat santai.
"AIM yang masih tetap diadakan pada suku keempat tahun depan bagaimanapun akan mengalami perubahan pada 2012..
"RIM akan memperkenalkan penganjuran empat acara AIM mengikut segmen bahasa berbeza iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan India. Keputusan ini dibuat untuk memfokuskan segmen tertentu," ujarnya.
Katanya lagi, langkah itu akan merancakkan lagi perkembangan lagu-lagu dan album-album dalam pelbagai bahasa yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat rakaman tanah air.
"Ada artis tempatan berjaya di luar negara tetapi tidak mendapat pengiktirafan di negara sendiri. Jadi dengan adanya segmen berbeza seperti ini, sebagai contoh artis Melayu yang mempunyai album dan lagu Inggeris boleh bertanding untuk AIM Inggeris," jelasnya selepas mengumumkan Astro sebagai penyiar rasmi baru AIM yang baru.
Bagi tempoh pencalonan pula, Norman berkata ia dilanjutkan sehingga 30 Jun 2011 untuk memberi peluang pada artis fokus kepada aspek kandungan dan kualiti lagu yang dihasilkan.
"Walaupun kos penganjuran AIM dijangka meningkat, tetapi dengan adanya stesen radio yang membawa bahasa berbeza, RIM mempunyai cara untuk mendapatkan penaja," jelasnya.
Produk Digital
Dalam pada itu, saban tahun, industri muzik tanah air malah dunia berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya 'perang' pasaran antara jualan album dalam bentuk fizikal iaitu kaset, cakera padat (CD), cakera padat video (VCD) serta cakera video digital (DVD) dengan produk muzik yang dipasarkan secara digital.
Malah mengikut kajian dan ramalan PricewaterhouseCoopers, perbelanjaan untuk produk digital akan melebihi produk fizikal sebanyak 70 peratus dan ini tentunya memberi peluang amat cerah pada perkembangan perniagaan menerusi telefon bimbit dan Internet. Justeru itu, RIM menjangkakan penjualan digital akan berterusan pada masa akan datang.
"Walaupun mendapat saingan hebat dari jualan secara digital yang meningkat dengan cepat, penjualan album fizikal sebenarnya tidak turun mendadak. Menerusi peruntukan seperti Dana Industri Kreatif, ia diharap akan terus membantu penggiat seni tempatan," katanya.
Sebagai daya tarikan, RIM berhasrat mengadakan beberapa acara lain seperti Persembahan Carta RIM sepertimana yang pernah dikenali pada zaman 80-an dan 90-an. Ia akan dibuat mengikut format baru dengan mengiktiraf jualan muzik digital seperti 20 lagu terlaris mengikut segmen berbeza iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan India.
Sementara itu menurut Norman, RIM menyasarkan pendapatan dalam industri rakaman album tempatan mencecah RM300 juta setahun dalam masa lima tahun akan datang.
Katanya, persatuan yang dianggotai seramai 189 syarikat rakaman itu boleh mencapai perolehan tersebut seperti mana yang pernah diraih lebih 10 tahun dulu.
"Sekarang ini pendapatan dalam industri tersebut hanya RM100 juta setahun yang mana pada dua tahun lalu pendapatannya paling rendah iaitu hanya sebanyak RM80 juta setahun," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: