|
|
KALAU sekali imbas anda ingatkan calon Pencarian Kacak Bergaya 2011 minggu ini Remy Ishak, jangan salahkan mata anda. Anda bukanlah orang pertama dan mata anda tidak silap menilai.
Malah sudah banyak kali pemilik nama Azrel Ismail ini ditegur peminat Remy semasa bertemu di pusat membeli-belah. Malah ada yang siap menghulurkan buku nota memintanya menandatangani autograf.
“Pernah sekali tu semasa saya berjalan-jalan di Pavillion, ada orang menepuk bahu saya dan meminta bergambar dengan saya kerana mereka sangkakan saya ini Remy Ishak,” kata Azrel.
Semasa nama Remy Ishak belum popular, ada ramai kawan yang mengatakan wajahnya mirip Remy. Ada juga yang menyangkakan dia adik kepada pelakon teater Natrah itu.
“Semasa kali pertama orang kata wajah saya macam Remy, sebenarnya saya tak kenal pun Remy tu siapa. Kawan saya memberitahu Remy ialah pelakon drama Nur Kasih yang sedang popular pada masa itu.
“Saya luangkan masa menonton drama itu kerana mahu melihat sendiri wajah Remy di kaca televisyen. Selepas kali pertama menonton, saya terus tertarik dengan drama itu. Bukan kerana wajah saya mirip Remy, sebaliknya jalan ceritanya yang sangat menarik.
“Saya sendiri belum pernah berjumpa dengan Remy secara bersemuka. Kalau ada peluang berjumpa dia, teringin juga,” akui Azrel yang kini mulai lebat dihujani tawaran berlakon iklan.
Sekarang beberapa buah iklan lakonannya mula ditayangkan. Antara iklan TV yang menampilkannya ialah Lat Tali Lat untuk Old Town White Coffee. Terbaru iklan Safi Balqis bersama duta barunya Shila Amzah.
Azrel juga sempat berlakon watak kecil dalam filem dan drama antaranya, Hanyut (filem), Katrina Kamelia, Kau Yang Aku Sayang, Apa Itu Cinta dan beberapa lagi.
“Saya bekerja di bahagian pemasaran hotel, jadi tak boleh nak aktif sangat dalam lakonan. Kalau berlakon iklan yang memakan masa singkat bolehlah. Bos saya tahu saya buat kerja separuh masa dalam peragaan,” katanya yang minat dengan aktiviti ekstrem.
Percaya atau tidak, Azrel ini seorang yang gemar aktiviti lasak seperti mendaki bukit. Dia kerap mengikut kumpulan kawan-kawannya yang gemarkan aktiviti yang sama.
“Ada orang tanya, apa kepuasan mendaki bukit, memasak dan makan di atas bukit kemudian turun semula ke bawah? Sebenarnya ia bagus untuk stamina dan mengekalkan kecergasan kita.
“Ia macam kita bersukan juga. Mendaki bukit pun ada teknik bergantung kepada tempat yang kita daki. Cabarannya juga berbeza. Bila kita berjaya mengharungi cabaran itu, rasa puas semacam dalam diri kita,” katanya.
Antara bukit yang pernah didakinya ialah Gunung Nuang di Hulu Langat, Gua Tempurung di Perak dan beberapa gunung lagi.
“Biasanya kami tak bermalam. Kami akan naik sebelah pagi. Bila sampai di kemuncak ataupun pertengahan gunung itu, kami akan memasak dan makan bersama-sama. Selepas itu kami turun sebelum matahari terbenam,” jelas Azrel.
Di Gua Tempurung cabarannya berlainan kerana ada kawasan yang batunya licin dan berair. Ada kawasan yang memerlukan mereka merangkak, malah ada tempat yang membolehkan mereka meluncur semasa menuruni bukit.
Apa harapan Azrel dalam Pencarian Kacak Bergaya? Terus terang Azrel mengakui dia sangat teruja apabila penyertaannya diterima kerana melihat pendedahan yang bakal mereka terima selepas ini.
Liputan menyeluruh yang diberikan kepada nama baru dan wajah baru yang mencari tapak dalam bidang seni boleh membantu mereka memajukan diri.
“Saya lihat acara ini sangat besar liputannya dan saya pasti ramai lagi anak muda yang tunggu masa untuk sama-sama menyertainya,” kata Azrel yang penah menyertai beberapa pertandingan pencarian lelaki sebelum ini namun belum berjaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: