Perpisahan tidak dapat dielakkan saat kemunculan Sayang & Cinta
SIRNA 2011 yang menjelang menjadi dimensi baru dalam kehidupan Dayang Nurfaizah Awang Dowty apabila bakal mengemudi kerjaya seni sendiri berikutan 'perpisahan' dengan pengurusnya, Shaliza Kader Sultan yang bersamanya sejak 2001.
“Ya… saya sudah sedia dengan ketiadaan Kak Liza (Shaliza) kerana penghijrahannya itu sudah lama dimaklumkan tetapi semua ini mempunyai hikmah tersendiri dalam membentuk diri saya lebih mendalami semua perkara berkaitan showbiz.
“Kalau mengikut perancangan, Kak Liza akan ‘terbang’ awal tahun depan namun dia tetap membantu saya dari jauh. Itulah bagusnya teknologi moden, kita masih dekat biar jauh beribu batu,” katanya ketika ditemui selepas pra dengar album barunya, Sayang & Cahaya.
Bagai isi dan kuku, tempoh sedekad bekerja bersama membuatkan Shaliza cukup masak dengan sikap artis dari Bumi Kenyalang itu namun mampukah Dayang bergerak sendiri di saat buah tangan terbarunya bakal menemui khalayak dalam tempoh terdekat ini?
“Memang hakikatnya tampak menyukarkan tetapi segala urusan album hingga persembahan pentas dan promosi Sayang & Cahaya sudah diperhalusi demi memastikan tiada yang tertinggal sepanjang ketiadaannya.
“Sepanjang mengenalinya, dia cukup komited dan bersungguh-sungguh ‘memasarkan’ jenama Dayang sekali gus membuatkan saya yakin dia tidak akan membiarkan saya terkontang kanting sendirian,” ungkapnya lagi yang menganggap Shaliza lebih dari seorang pengurus.
Begitupun, Dayang menegaskan tidak tergesa-gesa mencari pengganti Shaliza kerana memerlukan masa mencari mereka yang berpotensi mengendalikan kerjayanya sekali gus mencari keserasian dengan sesiapa pun yang dipertanggungjawabkan nanti.
Rakam semula lagu Mulanya Di Sini
Bercerita lanjut perihal album studio ke lapan yang diterbitkan syarikatnya sendiri, iaitu DN & AD Entertainment Sdn Bhd, penyanyi ini berasa teruja menantikan maklum balas pendengar cukup kuat bersarang di dalam hati.
Bersama garapan 12 pilihan lagu, akui pemilik mata galak itu, awalnya pihaknya merancang menerbitkan hanya lima lagu dalam sebuah album EP namun satu persatu gubahan yang diterima cukup bagus untuk disimpan.
“Saya sedar corak pasaran album tempatan kini lebih menjurus kepada album EP. Namun apabila menerima lagu yang bagus, saya tidak mampu menolak atau menyimpannya. Tambahan pula peminat Dayang tetap mahu memiliki album fizikal kerana mereka lebih puas jika ada album yang boleh disimpan, seperti mana saya,” katanya.
Sekali pun mengambil masa lebih setahun penghasilan produk terbabit, terserlah kepuasan hati Dayang apabila sepanjang sesi pra dengar, apabila mulutnya rancak menceritakan kenangan atau insan di sebalik nukilan berkenaan.
Sejumlah RM70,000 diperuntukkan bagi keseluruhan proses penerbitan yang turut mendapat sentuhan pengarah muzik popular, Chuckii Booker iaitu pemuzik yang pernah bekerja dengan Mary J Blige dan Lionel Ritchie. Jumlah itu tidak termasuk promosi.
Selain Sayang & Cahaya, lagu lain adalah Mulanya Di Sini yang pernah dipopularkan kumpulan Freedom serta Sayang, Rahsia Cinta, Sabarlah, Kau Bintangku, Sempurna Selamanya, Hingga Ke Akhirnya, Saat Itu, Life With You, Perlukan Cinta dan Ku Temu Cahaya yang menjadi lagu tema Yayasan Aid Malaysia.
“Lebih setahun diperlukan bagi merealisasikan Sayang & Cahaya disebabkan jadual saya sebelum ini dipenuhi untuk Mentor dan pembabitan saya dengan program amal namun nampaknya ia berbaloi.
“Sebagai contoh peluang menyampaikan lagu Chuckii Booker yang diperkenalkan penulis lirik, Zuriani Zonneveld menerusi seorang peminat. Inilah yang dinamakan takdir serta hikmah tersembunyi di sebalik setiap kejadian,” katanya lagi sambil tersenyum manis.
Seperti biasa, pertanyaan mengenai cinta umpama soalan nakal yang sering diaju kepada Dayang apatah lagi usianya bakal memanjat angka 30 tahun depan selain kecenderungannya yang tampak cukup mesra dengan dendangan berunsur cinta.
Sambil ketawa mendengar usikan yang mengatakan dia menyembunyikan kekasih hati, katanya hingga kini dirinya masih sendiri dan menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Ilahi.
ABPBH eratkan semua anak seni
Sebagai bintang kesayangan ramai, penghasilan album terbabit juga melayakkan Dayang berada dalam senarai calon awal kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.
Akuinya, pengiktirafan Berita Harian yang sudah memasuki edisi ke 24 terhadap anak seni dari pelbagai bidang menunjukkan penghargaan akhbar dan peminat terhadap sumbangan golongan artis dalam industri hiburan.
“ABPBH secara tidak langsung memerlukan setiap artis dan penggiat seni bekerja keras meningkatkan pencapaian dan memartabatkan industri malah bagi saya populariti seseorang artis sentiasa memberi impak terhadap produk yang dihasilkan.
“Istimewanya majlis penganugerahan ini turut mendekatkan semua karyawan daripada pelbagai bidang kerana acara beginilah yang membolehkan kita mengenali teman seperjuangan lain sekali pun dari aliran berbeza,” ulasnya jujur.
PROFIL: Dayang Nurfaizah Awang Dowty
TARIKH LAHIR: 20 Julai 1981
ASAL: Kuching, Sarawak
ALBUM: Dayang Nurfaizah (1997), Seandainya Masih Ada Cinta (2001), Hembusan Asmara (2002), Dayang Sayang Kamu (2004), Kasih (2005), 20 07 Dayang (2007),
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: