![]() |
| SALAH seorang sukarelawan Pfizer memeriksa seorang penduduk yang datang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. |
JIKA beberapa puluh tahun lalu bilangan wanita di negara ini yang menjalani pemeriksaan kesihatan seksual dan reproduktif secara berkala boleh dibilang dengan jari, namun kini keadaan itu semakin baik.
Jika dahulu, pemahaman wanita mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan tersebut kurang menggalakkan, tetapi hari ini mereka lebih bijak, berilmu dan mengambil berat.
Keadaan positif itu berlaku antara lain ekoran komitmen tinggi secara berterusan Persatuan Perancangan Keluarga (PPK) yang ditubuhkan sejak 53 tahun lalu iaitu pada 1957.
Bagi Pengurus Negeri Persatuan Perancangan Keluarga Kelantan (PPKK), Wong Mei Lin, hal yang sama berlaku di negeri itu.
Katanya, badan bukan kerajaan (NGO) itu diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran terutama di kalangan wanita mengenai kepentingan kesihatan seksual dan reproduktif.
Ujarnya, PPKK berperanan memberikan pelbagai perkhidmatan dan menjalankan program berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif termasuk perancangan keluarga, masalah kesuburan, penyakit tularan seks, kanser payu dara, menopaus, kanser serviks, isu remaja dan keganasan rumah tangga.
“PPKK mengadakan pemeriksaan kesihatan, memberi rawatan dan ubat-ubatan pada harga yang amat berpatutan.
“Kami juga mengadakan sesi penerangan, perbincangan, seminar, ceramah dan demonstrasi kepada wanita dan lelaki di sekolah, kampung, bandar, kawasan tumpuan masyarakat dan klinik kami di seluruh Kelantan.
“Kami adalah satu-satunya NGO kesihatan yang menjalankan usaha menangani isu-isu penting kesihatan yang kurang mendapat perhatian orang ramai,” katanya yang sudah 26 tahun berkhidmat bersama PPKK.
Beliau berkata demikian kepada rombongan media yang mengadakan kunjungan ke PPKK Daerah Machang sempena program Ekspedisi Saringan Kesihatan Kelantan Pfizer Care-A-Van di Kelantan, baru-baru ini.
Program empat hari bermula 5 Oktober lalu yang dianjurkan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. itu bertujuan menjalankan saringan kesihatan kepada penduduk sama ada wanita atau lelaki di enam kawasan perkampungan di Machang dan Tanah Merah, Kelantan.
Dikendalikan doktor, jururawat dan pegawai Pfizer bertauliah, penduduk berpeluang menjalankan pelbagai ujian pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma termasuk tahap kandungan gula, kadar kolestrol, tekanan darah, payu dara serta pap smear.
Mei Lin berkata, pada awal penubuhan PPKK, banyak cabaran ditempuhi pegawainya terutama terlalu sukar ‘membuka mulut’ bercerita mengenai kesihatan seksual dan reproduktif kerana mentaliti masyarakat yang kurang memahaminya.
Katanya, punca yang menyebabkan penduduk tidak terbuka ketika itu adalah takutkan rawatan, kurang memahami isu berkenaan dan menganggap perancangan keluarga haram di sisi Islam. Namun dengan usaha berterusan, ia semakin menunjukkan perkembangan positif.
Selain itu, jelasnya, usaha yang dijalankan PPKK itu akan lebih berkesan dengan kerjasama, sokongan dan komitmen daripada syarikat korporat, agensi kerajaan dan swasta.
“Justeru, PPKK amat menghargai dan berterima kasih kepada Pfizer kerana menganjurkan saringan kesihatan secara percuma ini kerana ia menggalakkan orang ramai terutama penduduk di kawasan kampung untuk menyertainya.
“Pengunjung turut berpeluang mengikuti sesi penerangan dan perbincangan sementara menunggu giliran menjalankan pemeriksaan.
“Di kesempatan ini, saya ingin menasihatkan kepada semua orang, pemeriksaan kesihatan berkala tidak boleh diambil ringan kerana ia amat penting dalam membantu menjamin kualiti hidup yang terbaik,” ujarnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: