Friday, November 5, 2010

Tilawah baiki bacaan saudara Muslim


Tuanku Nur Zahirah menyampaikan anugerah Tokoh Saudara Muslim kepada Shah Kirit Govindji Abdullah di Majlis Anugerah Penghargaan Majlis Tilawah Al-Quran Saudara Muslim 2010 di Seri Perdana, Putrajaya baru-baru ini.


SETIAP Muslim perlu memainkan peranan dalam membangunkan syiar Islam. Ia demi mengukuhkan semangat ummah. Sebabnya, pengukuhan ummah tidak akan terbina berasaskan kepada kaum, kerakyatan, kedaerahan, penaklukan, kerabat atau kepentingan istimewa.

Sebaliknya ia merentasi sempadan politik dan nasional. Ini kerana asas ummah dalam Islam adalah prinsip yang membawa kepada pengabdian sepenuhnya terhadap perintah Allah, mematuhi segala perintahnya, dan komitmen penuh terhadap perjuangannya.

Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk menyebarkan syiar Islam adalah dengan menganjurkan majlis seperti tilawah. Ini kerana ia merupakan asas terbaik bagi golongan saudara baru berhimpun dan saling bertukar-tukar pandangan berhubung Islam selain memupuk persefahaman lebih baik berhubung nilai-nilai agama dan Islam.

Pada 24 Oktober lalu berlangsung Majlis Tilawah al-Quran Saudara Muslim 2010 di Bangunan Amphitheatre, Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur.

Majlis itu anjuran bersama Nusantara Iman Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Seramai 98 peserta mengambil bahagian dalam tilawah yang terbahagi kepada lima kategori iaitu kategori terbuka bagi qari dan qariah; kategori millenium (bagi yang memeluk Islam sejak 2006); kategori khas (bagi golongan kurang upaya).

Turut dipertandingkan kategori azan putera (untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun) dan kategori azan remaja (kanak-kanak berusia 12 hingga 18 tahun).

Majlis bertaraf antarabangsa itu adalah di bawah naungan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Raja Rezza Shah berkata, majlis itu bertujuan menyatukan umat Islam sebagai satu ummah dan memberi peluang kepada saudara baru berinteraksi dalam satu majlis keagamaan.

Katanya, ini jelas menunjukkan bahawa semua kaum muslimin sememangnya sebahagian daripada satu komuniti yang tidak hanya mengembangkan kemajuan untuk penyatuan umat, tetapi juga menghargai prinsip syariah.

"Kita berasa terpanggil untuk mendengar bacaan yang indah dalam al-Quran, keajaiban abadi, buku terakhir dari Allah yang dihantar sebagai pedoman bagi umat manusia melalui Nabi Muhammad SAW iaitu nabi terakhir.

"Keajaiban al-Quran dihantar kepada Nabi Muhammad SAW dan ia menghasilkan pengetahuan di benak masing-masing dan di atas semua itu disertakan panduan bagi umat manusia sebagaimana dinyatakan dalam ayat 120 surah al-Baqarah," katanya.

Ibnu Abbas r.a berkata: "Sesiapa yang mengikut al-Quran ini, maka Allah SWT akan memberinya petunjuk, meneguhkannya di dunia dan membahagiakannya di akhirat. Dan sesiapa berpaling dari al-Quran, maka Allah SWT akan menyesatkan ketika dia di dunia, menjadikan kehidupannya sempit dan menghinakannya di akhirat."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: