![]() |
| Vincent Kong (empat dari kiri) menerima hadiah daripada Dr. William Wong sambil disaksikan Pengurus Pejabat Pendaftaran dan Kaunseling ICSK, Alan Ho; Naib Pengetua (Pentadbiran) ICSK, Stanley Gona serta ibu bapanya. |
KUCHING - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arang Road, Vincent Kong Tze Kong, 16, dinobat juara peraduan laman sesawang mikro Belum-Temengor Forest di sini baru-baru ini.
Selaku johan pertandingan anjuran umpulan Pendidikan INT itu, Vincent Kong membawa pulang sebuah komputer riba netbook jenama Lenovo.
Hadiah disampaikan oleh Ketua Eksekutif dan Pengetua Kolej INTI Sarawak (ICSK), Dr. William Wong pada majlis perhimpunan sekolah tersebut di sini baru-baru ini.
Vincent Kong dipilih sebagai pemenang berdasarkan karangannya yang berkongsi kebimbangan tentang masalah pencemaran alam sekitar di Hutam Belum, Temenggor, Perak.
Peraduan laman sesawang mikro yang baru diperkenalkan buat kali pertamanya bermula tahun ini merupakan sebahagian daripada pertandingan i-Challenge 2010 tajaan syarikat The Body Shop dan dianjurkan dengan kerjasama Malaysian Nature Society (MNS).
Dalam i-Challenge, semua pelajar dan kakitangan sekolah itu telah bekerjasama mengumpul sebanyak satu tan kertas terpakai yang kemudiannya dijual kepada kontraktor terpilih untuk dikitar semula.
Hasil jualan tersebut telah disalurkan kepada MNS untuk membiayai usaha-usaha pemuliharaan yang mereka jalankan.
Pertandingan itu memberi peluang kepada pelajar untuk memberi sumbangan terhadap peningkatan mutu kehidupan masyarakat terutamanya alam sekitar.
Ia juga merupakan platform yang sesuai untuk menggalakkan mereka belajar dengan cara lebih berkesan menerusi proses berfikir dan bertindak yang lebih kreatif.
Sejak diperkenalkan pada 2005, pertandingan i-Challenge yang diadakan setiap tahun menerima penyertaan dari ratusan pelajar dan telah menawarkan biasiswa serta hadiah bernilai lebih daripada RM500,000.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: