KUALA LUMPUR 14 Nov. - Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr. Ismail (1) dinobatkan sebagai sekolah kebangsaan terbaik dalam pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 di Wilayah Persekutuan.
Sekolah itu juga dianugerahkan sebagai sekolah kebangsaan yang mencatatkan peratus murid yang memperoleh semua 'A' tertinggi dalam semua mata pelajaran dengan 51.96 peratus.
Sebanyak 105 pelajar daripada 204 pelajar sekolah tersebut yang mengambil UPSR mencatatkan keputusan 'A' untuk semua mata pelajaran.
Anugerah itu disampaikan Pengarah Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan, Mohd. Adenan Deraman.
Beliau yang ditanya mengenai pencapaian SK Taman Tun Dr. Ismail (1) memberitahu, pencapaian itu amat memberangsangkan kerana sekolah itu sentiasa mencatatkan peningkatan dalam peperiksaan UPSR setiap tahun.
"Jabatan akan mempertimbangkan untuk menjadikan SK Taman Dr. Ismail (1) sebagai sebuah sekolah model untuk sekolah-sekolah lain meniru cara pendekatan dan konsep pendidikan yang dilaksanakan.
"Memandangkan sekolah itu mencatatkan peningkatan UPSR setiap tahun, bermakna pendekatan dan konsep yang dilaksanakan berjaya maka seharusnya diaplikasikan kepada semua sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Anugerah Cemerlang UPSR 2010 Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan.
Selain mencatatkan jumlah pelajar paling ramai lulus lima 'A' dalam UPSR, sekolah itu juga mencatatkan jumlah pelajar yang lulus semua mata pelajaran paling tinggi iaitu 97.06 peratus.
Pada majlis yang sama, SK Bukit Damansara merupakan sekolah kedua terbaik dengan mencatatkan jumlah pelajar lulus lima 'A' sebanyak 39.56 peratus dan jumlah pelajar yang lulus semua mata pelajaran ialah 96.7 peratus.
SK Putrajaya Presint 16 (2) pula mendapat tempat ketiga dengan mencatatkan jumlah pelajar lulus lima 'A' sebanyak 28.3 peratus dan jumlah lulus semua mata pelajaran ialah 95.65 peratus.
Sementara itu, Guru Besar SK Taman Tun. Dr. Ismail (1), Nik Nab Sulaiman memberitahu, sekolah itu melaksanakan tiga pendekatan iaitu gabungan pelajar, guru dan ibu bapa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: