Tuesday, November 23, 2010

Sekolah Integriti Penyambung Hayat Banduan

Kebajikan dari segi pendidikan sentiasa dititkberatkan oleh kerajaan dan semua penghuni penajara.

RAMAI beranggapan bahawa mana-mana pesalah jenayah khususnya juvana apabila disumbatkan ke penjara atau sekolah pemulihan akhlak, maka gelaplah masa depan mereka.

Tiada lagi destinasi untuk mereka tuju dalam masyarakat, malah mereka bakal disisihkan atau hidup merempat atau dilabel sebagai sampah negara ekoran jenayah yang mereka lakukan termasuk merogol, membunuh dan merompak.

Stigma sosial seperti itu sememangnya berlaku dalam masyarakat Malaysia sebelum ini.

Bagaimanapun situasi itu kini kian berubah, lebih-lebih lagi apabila Jabatan Penjara mengorak langkah membuka peluang kepada ‘banduan-banduan bijak’ meneruskan pelajaran mereka sehingga ke peringkat ijazah pertama bagi memastikan masa depan banduan terbabit lebih terjamin apabila dibebaskan kelak.

Darusalam Budin

Jabatan itu memperkenalkan sistem pembelajaran dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan pusat pengajian tinggi tempatan bagi membolehkan pesalah-pesalah berkenaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga ke peringkat ijazah pertama melibatkan 187 banduan berusia antara 15 hingga 22 tahun.

Sekolah Integriti, Henry Gurney

Bagi pesalah juvana mereka akan mengikuti pembelajaran di Sekolah Integriti yang terletak di enam zon, iaitu Penjara Kajang di kawasan tengah; Kluang (selatan); Marang, Terengganu (timur); Sungai Petani, Kedah (utara); Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah (Malaysia Timur).

Sekolah-sekolah ini berfungsi sama seperti sekolah kebangsaan atau sekolah menengah kebangsaan di luar.

Ia mengguna pakai kurikulum dan sukatan pelajaran, tempoh pembelajaran dan guru-guru yang sama ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran dengan ditawarkan kelas-kelas seperti pemulihan 3M (membaca, menulis dan mengira), persediaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), PMR, persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan SPM berbanding sekolah biasa yang turut menawarkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Pengarah Bahagian Pemulihan dan Rawatan Jabatan Penjara, Timbalan Komisioner Penjara Darussalam Budin, UPSR dan STPM tidak ditawarkan di sekolah dalam penjara kerana wujudnya kelas 3M dan kerjasama akademik dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Malaya (UM).

Tambahnya, buat masa ini tujuh banduan berusia 22 tahun yang merupakan kumpulan pertama sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana muda di Sekolah Integriti, Penjara Kajang.

Katanya, enam orang menuntut di bawah program kendalian OUM manakala seorang lagi mengikuti program Universiti Malaya (UM) dengan kos pengajian ditanggung oleh ibu bapa masing-masing.

“Bukan semua kursus ditawarkan kerana ia harus sesuai dengan keperluan dan tuntutan penjara. Antara kursus yang ditawarkan buat masa ini ialah Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Islam.

“Pihak penjara akan menyediakan kemudahan sekiranya para pelajar melahirkan minat untuk melanjutkan pelajaran,” jelasnya.

Darussalam berkata, usaha penjara ini adalah selaras dengan falsafah “Pendidikan Untuk Semua” oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

Jabatan itu percaya peluang pembelajaran yang disediakan kepada mereka dengan ilmu, kemahiran dan sikap positif (ASK) banduan yang juga pelajar itu dapat kembali ke pangkuan masyarakat sebagai warganegara yang produktif dan berguna kepada bangsa, agama serta negara.

“Tetapi peluang ini dikecualikan kepada banduan yang dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ataupun yang sedang menanti hukuman gantung sampai mati,” jelasnya.

Pembelajaran di bawah satu bumbungSetiap banduan yang didaftarkan masuk diwajibkan mengikuti sama ada bidang akademik, kemahiran atau vokasional.

Banduan baru dikehendaki menjalani tapisan atau ujian diagnostik 3M terlebih dahulu.

Daripada hasil ujian 3M tersebut, mereka akan dibahagikan kepada segmen/ bahagian tertentu.

“Mereka yang dipenjarakan seumur hidup melainkan mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja masih dibenarkan belajar lagi.

“Banduan yang lemah dalam bidang akademik akan diletakkan di bahagian kemahiran manakala yang sederhana dan cemerlang pula, diserapkan ke dalam bidang akademik dan vokasional,” jelas Darussalam.

Mereka kemudian akan mengikuti kurikulum dan tempoh pembelajaran dengan guru-guru yang serupa seperti sekolah biasa.

“Yang membezakan kedua-dua sekolah tersebut adalah Sekolah Integriti dijalankan di penjara. Malah, para pelajar menyertai acara tahunan seperti berpidato dan deklamasi sajak di Sungai Petani dan terlibat dalam aktiviti sukan dan olahraga di Johor,” katanya.

Tambah beliau, waktu persekolahan di Sekolah Integriti bermula lewat iaitu pada pukul 8 pagi kerana para pelajar perlu menjalani rutin penjara terlebih dahulu seperti pemeriksaan, kawad dan sebagainya.

Bagaimanapun, masa persekolahan akan ditamatkan pada pukul 2 petang berbanding sekolah biasa yang tamat lebih awal.

“Lebih unik lagi, Sekolah Integriti menempatkan sekolah rendah, menengah dan universiti di bawah satu bumbung,” jelas beliau.

Proses jangka panjang

Proses pemulihan banduan juvana melalui pembelajaran adalah proses yang panjang. Oleh kerana itu, banyak pembaharuan atau peningkatan perlu dilakukan dari semasa ke semasa, kata Darussalam.

“Kita berharap kejayaan dan pencapaian dalam bidang akademik oleh banduan tersebut diiktiraf oleh komuniti sama seperti pelajar normal. Selepas menjalani rehabilitasi di penjara, semoga mereka diberi peluang kedua untuk balik ke pangkal jalan,” katanya.

Mengenai perancangan pada masa depan, Darussalam berkata, pihak penjara memfokus kepada pembelajaran di dalam negara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan kerjasama dengan pusat pengajian luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: