Tuesday, November 23, 2010

Banduan Muda Bertaubat Menerusi Pendidikan

Ali (kiri) menceritakan kepada penulis pengalamannya belajar di Sekolah Integriti Penjara Kajang.

SESAL dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Bagaimanapun, ramai banduan muda yang menyesal ekoran kesilapan mereka sebelum ini yakin masih ada sinar harapan di hujung terowong.

Ini rentetan daripada keberkesanan pendidikan dalam penjara yang membolehkan mereka bermuhasabah diri dan memberi ruang kepada mereka untuk bertaubat sekali gus membuka lembaran baru dalam kehidupan mereka.

Seorang banduan muda, Ali (bukan nama sebenar), 22, telah menetap di penjara selama tiga tahun atas kesalahan rogol.

Atas kesalahannya itu, dia dipenjarakan lapan tahun dan dikenakan empat sebatan.

Dia bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 23 November ini.

Ketika ditemuramah Mingguan MStar, katanya, dia begitu yakin menanti kedatangan hari tersebut kerana sudah bersedia untuk menduduki peperiksaan.

“Saya boleh belajar dengan bersungguh-sungguh di sini. Saya lebih suka belajar di sini,” katanya.

Jelas Ali, dia tidak dapat belajar sebelum ini kerana banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya.

Malah dia mengakui keputusan peperiksaan di dalam penjara adalah jauh lebih baik daripada keputusan akademiknya sebelum dipenjarakan.

“Guru-guru tunjuk ajar sampai saya boleh. Saya juga belajar secara berkumpulan selepas waktu pembelajaran biasa,” katanya yang akan menduduki peperiksaan untuk subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Agama Islam, Sejarah, Perdagangan dan Tasawur Islam.

Ali yang berasal dari Terengganu sudah insaf dan berharap mendapat pengampunan dan bercita-cita nak menjadi pengurus perniagaan.

Sementara itu, Sunil (bukan nama sebenar), 20, yang dipenjarakan seumur hidup kerana membunuh rakannya turut akan mengulangi peperiksaan SPM tidak lama lagi.

Dia akan mengambil peperiksaan untuk subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Perdagangan.

Sambil mengakui dirinya dan banduan lain bukan bodoh, Sunil memberitahu, dia membuat persediaan rapi dan tidak sabar-sabar lagi menduduki peperiksaan itu.

“Di sekolah dulu, saya tidak dapat belajar kerana tidak berminat dan selalu ponteng kelas. Namun, guru dan pegawai penjara selalu memberikan nasihat dan semangat kepada saya untuk menumpukan perhatian pada pelajaran,” katanya yang telah menghuni Penjara Kajang selama empat tahun dan berharap mendapat pengampunan Sultan suatu hari nanti.

Sementara itu, Hong (bukan nama sebenar), 21, yang telah meringkuk di penjara selama tujuh tahun tidak mensia-siakan kehidupannya di sebalik tirai besi. Dia dipenjarakan seumur hidup atas kesalahan bunuh.

Dia kini sedang mengikuti kursus Diploma Pengurusan dan belajar secara dalam talian kendalian Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

“Saya mengemukakan soalan-soalan kepada pensyarah menerusi emel. Untuk mendapatkan jawapan dengan segera, saya akan menyertai forum dalam talian,” katanya yang mengambil subjek Elements of Laws, Basic Interpretation of Laws dan Discrete Mathematics dalam semester kedua tahun pertama.

Dia mengikuti pembelajaran ala-campuran (blended learning). Pensyarah atau tutor akan datang sekali pada setiap dua minggu. Setiap sesi mengambil masa selama tiga jam 20 minit.

Malah selepas menghabiskan pengajian Diploma tersebut, Hong sudah memasang impian untuk mengikuti program Ijazah pula yang akan memakan masa tiga tahun pengajian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: