Monday, November 22, 2010

Remy Tak Alami Kejutan Budaya

PELAKON kacak, Remy Ishak (gambar) menjadi buruan ramai bukan saja kerana lakonan yang diperdagangkannya, malah sisi peribadinya juga tidak terkecuali daripada palitan kontroversi.

Pakej fizikal yang menarik, ketenangan yang terserlah pada wajahnya serta kematangan yang diperagakan menjadi kegilaan gadis-gadis di luar sana dan mengundang kontroversi bersama beberapa aktres jelita.

Profil lakonan jejaka berusia 28 tahun ini mula mencuri tumpuan selepas membintangi filem Anak Halal (2007) arahan Osman Ali.

Namun, penglibatannya dalam drama bersiri popular Nur Kasih merupakan perintis jalan yang benar-benar menyerlahkan anak jati Melaka ini dalam bidang seni.

Remy Ishak boleh berbangga dengan dirinya selepas dilantik menjadi jurucakap produk Dashing.

Pernah dikaitkan dengan dakwaan menjadi kekasih gelap isteri VIP, Remy kemudiannya dikatakan bercinta pula dengan pelakon Ummi Nazeera yang turut sama membintangi drama arahan Kabir Bhatia itu.

Tahun 2009 mungkin mencatat sejarah hitam dalam jurnal hidup aktor ini apabila dipukul oleh sekumpulan lelaki sejurus pementasan teater Natrah di Istana Budaya.

Remy membuka tirai 2010 dengan dakwaan yang mengaitkannya dengan pelakon jelita Maya Karin sehingga menjadi punca keretakan rumah tangga aktres itu.

Tidak bernoktah di situ, baru-baru ini pelakon yang kini bergelar duta produk kecantikan lelaki ini dikatakan intim pula dengan aktres Tiz Zaqyah apabila gambarnya berpimpin tangan dengan gadis muda itu tersebar luas.

Pertemuan dengan bintang yang bakal muncul dalam teater Natrah musim kedua pada 25 November ini, Khamis lalu membuka ruang kepada Mingguan mStar untuk mendekati isi hati dan luahan aktor itu tentang dirinya, kontroversi dan karier.

Pandangan tentang semua kontroversi yang dikaitkan dengan diri Remy Ishak.

Saya tidak mahu ambil tahu dan tidak peduli dengan apa jua cerita-cerita panas yang tersebar.

Reaksi anda apabila dipalit kontroversi yang berterusan dan sejauh mana ia mengganggu fokus terhadap karier?.

Jujurnya, saya tidak lagi membaca sebarang gosip yang disiarkan sama ada di akhbar atau Internet kerana jika terlalu dirunsingkan ia hanya akan memeningkan kepala dan mengganggu kerja saya.

Bagaimana mengawal emosi apabila terbaca atau terdengar kisah kontroversi diri sendiri?

Seperti yang saya katakan, saya tidak perlu baca mana-mana cerita gosip supaya tidak pening kepala.

Jika terdengar juga cerita-cerita itu, saya lebih tenang tanganinya dan tidak mudah melenting. Kebiasaannya saya akan selidik sumber cerita tersebut dan berbincang dengan pihak pengurusan untuk selesaikan masalah.

Respons dan penerimaan keluarga tentang kontroversi yang berlaku?

Mereka lebih bersedia dan biasa saja terhadap apa jua cerita yang timbul.

Mereka tidak lagi terkejut sebagaimana ketika pelbagai kontroversi menghimpit saya awal-awal dulu. Keluarga tahu siapa saya dan kesahihan di sebalik cerita-cerita yang timbul.

Komen tentang cerita hubungan anda dengan Ummi Nazeera, Maya Karin dan terbaru Tiz Zaqyah.

Saya sudah malas untuk mengulas tentang isu tersebut kerana ia tidak berasas.Adakah kontroversi yang timbul disebabkan oleh faktor kejutan budaya selepas bergelar pelakon popular?

Itu tidak benar. Saya tidak fikir saya mengalami kejutan budaya. Saya masih menjalani hidup atas landasan yang betul, waras dan tahu menilai baik buruk serta kesan daripada sesuatu tindakan yang dilakukan.

Jika 10 atau 11 tahun lalu ketika mula-mula berhijrah ke Kuala Lumpur mungkin perkara itu boleh berlaku tetapi bukan sekarang.

Pandangan anda tentang populariti dan karier yang kian melonjak serta pelantikan sebagai duta produk kecantikan.

Alhamdulillah, berkat kerja keras kewujudan saya semakin dihargai dan mendapat perhatian daripada Dashing. Keyakinan saya untuk menerima pelawaan ini adalah kerana kami punya visi dan fokus yang sama iaitu untuk menuju ke fasa baru kehidupan dengan penuh keyakinan. Fokus saya kini adalah kepada kerja dan abaikan sebarang kontroversi yang mengganggu karier.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: